Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 16 April 2014

Durian punca pesakit hospital dipindahkan di Australia

MELBOURNE: Bau durian menyebabkan para pesakit dipindahkan keluar dari sebuah hospital di sini. Pasukan bomba di panggil ke hospital swasta Mitcham di Doncaster East Road, Mitcham, kira-kira pukul 10 malam Isnin kerana bimbang berlaku kebocoran gas di sebuah daripada wad orang tua hospital itu.
Bagaimanapun, Bomba Metropolitan (MFB) kemudian diberitahu bau pelik itu adalah daripada sebiji durian yang dipercayai dibawa sebagai buah tangan untuk seorang pesakit di situ.
"Terbit satu bau pelik di sini dan pihak hospital mulanya menganggap ia bagi sejenis gas lantas menelefon kami untuk bantuan, " kata seorang jurucakap MFB.
"Pada mulanya kami tidak tahu namanya durian, tetapi seorang jurukamera tv yang tiba di tempat kejadian kenal akan jenis buah itu dan memberitahu kami mengenai bau yang menusuk itu. Kami biasa menerima aduan orang yang tersilap terbau sesuatu dan percaya ia bau gas," katanya.
Ketua Eksekutif Hospital Samantha Dodd enggan memberitahu sama ada pesakit itu seorang warga Malaysia atau Asia. "Kami biasanya tidak mendedahkan maklumat seperti itu," katanya.
Julai lepas, semua kakitangan di lantai sebuah ofis di pusat perniagaan daerah Sydney dikosongkan selepas terbau sejenis durian import yang sedang diuji para pegawai pertanian Malaysia mengenai kesegarannya, yang meresap masuk ke ruang pengudaraan, menyebabkan kakitangan di pejabat-pejabat berjiran, melarikan diri bimbang akan berlaku kebocoran gas.
Beberapa tahun lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane diarah dikosongkan apabila seorang penumpang yang tiba dari Malaysia ditemui memiliki durian dalam bagasinya.
Sumber: mStar Online | 16 April 2014

Selasa, 15 April 2014

Kos baikpulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin cecah RM100 juta

KUALA TERENGGANU: Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini diberitahu kos membaiki Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dianggarkan bernilai RM100 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Rosli Othman berkata ia termasuk RM18 juta untuk membaiki struktur dan lain-lain kelengkapan, RM20 juta membaiki sistem elektrik, RM14 juta membaiki sistem mekanikal dan RM48 juta untuk membina semula bumbung yang baharu.

"Kerajaan negeri sendiri sangat dukacita kerana SSMZA dibina dengan 100 peratus pembiayaan dari kerajaan negeri," katanya dalam sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Menjawab soalan yang dibangkitkan beberapa wakil rakyat pembangkang mengenai tindakan terhadap pihak yang menyebabkan keruntuhan stadium itu, Rosli berkata juru perunding (SSMZA) kini berdepan tindakan perundangan dan masih dalam proses mahkamah.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan status dan identiti juru perunding berkenaan dengan alasan ia boleh mengganggu prosedur mahkamah.

Stadium berkenaan terpaksa menjalani proses baik pulih setelah bumbung utamanya yang bernilai RM292 juta runtuh pada 2 Jun 2009 menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah.

Sumber: Bernama | 15 April 2014

Terengganu yakin projek LPT2 siap Disember tahun ini

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu yakin Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 2 yang melibatkan kos kira-kira RM4.25 bilion dapat disiapkan pada akhir Disember tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, Rosli Othman berkata terdapat tiga hingga empat pakej kerja pembinaan lebuh raya LPT yang masih lagi dijalankan namun sempat untuk disiapkan menjelang tempoh itu.

"Ciri-ciri keselamatan dalam membina projek lebuh raya perlu diambil kira dan untuk menyiapkan sesuatu projek tidak boleh disiapkan dalam keadaan terburu-buru," katanya ketika menjawab soalan Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Beliau berkata kerajaan negeri juga berpuas hati dengan ciri-ciri keselamatan yang diletakkan dalam pembinaan lebuh raya itu termasuk keadaan jalan, lampu jalan serta cerun-cerun bukit di tepi lebuh raya fasa kedua itu.

Sewaktu perancangan untuk membina lebuh raya itu, kerajaan negeri telah membuat kajian terhadap lebuh raya yang dibina bagi menjaga keselamatan pengguna, katanya.

"Malah reka bentuk LPT Fasa 2 itu sendiri mempunyai ciri keselamatan yang lebih tinggi berbanding LPT Fasa pertama," kata Rosli.

Rosli berkata berkata bagi menyiapkan projek LPT Fasa 2 dengan cepat, kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dengan pelaburan sebanyak RM1.8 bilion daripada jumlah kos RM4.25 bilion.

Bagaimanapun LPT Fasa 2 tidak akan diserahkan haknya kepada kerajaan persekutuan 100 peratus memandangkan terdapat juga sedikit bahagian yang dilaburkan oleh kerajaan negeri, katanya.

"LPT Fasa 2 ini mempunyai sedikit kelainan...Bahagian (hak) LPT 2 ini bergantung kepada peruntukan yang telah diberikan oleh pihak kerajaan negeri dan kerajaan pusat (persekutuan)," katanya.

Projek LPT 2 sepanjang 184 kilometer yang bermula dari Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, bahagian utara Kuala Terengganu merupakan kesinambungan projek LPT Fasa 1 iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer yang dimulakan pada Mac 2006 dengan anggaran kos awal projek RM3.7 bilion.

Projek itu terbahagi kepada 16 pakej iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus dikendalikan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Projek yang sepatutnya siap pada akhir tahun 2010 itu bagaimanapun mengalami masalah apabila beberapa kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan kerja mengikut jadual yang ditetapkan berikutan masalah kenaikan harga barang pembinaan di pasaran.

Sumber: Bernama | 15 April 2014

Isnin, 14 April 2014

LPT2 dijangka siap sepenuhnya September depan

Fadillah (dua, kiri) beramah mesra dengan pengguna lebuh raya sewaktu merasmikan pembukaan jajaran Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 dari persimpangan Bukit Besi ke Persimpangan Paka pada Januari lepas. 
DUNGUN: Tempoh perjalanan antara beberapa lokasi di daerah ini dapat dipendekkan  apabila  Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Bukit Besi - Paka sejauh 35 kilometer mula dibuka, semalam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadilah Yusof berkata, lebuh raya sejauh 184 kilometer melibatkan kos keseluruhan RM4.25 bilion itu dijangka siap sepenuhnya September depan.

Menurutnya, LPT2 merupakan projek pembangunan mega di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 untuk Terengganu dan dengan siapnya projek berkenaan ia dapat memendekkan perjalanan selain memberi lebih keselesaan kepada pengguna jalan raya.

“Kerajaan Terengganu memohon projek itu disiapkan sebelum Aidilfitri ini, namun kita akan berusaha agar permintaan tersebut dapat ditunaikan.

“Kira-kira 80 kilometer lagi LPT2 yang masih belum disiapkan di mana kerja-kerja pembinaan kini mencapai 70 peratus,” katanya selepas merasmikan LPT2 jajaran Bukit Besi - Persimpangan Paka melibatkan peruntukan RM514 juta, petang semalam.

Fadilah berkata, antara pakej yang masih belum disiapkan termasuk pakej satu hingga empat selain pakej tujuh, terutama melibatkan kawasan selatan Terengganu yang kini sedang dalam pembinaan.

Beliau yang turut melawat beberapa kawasan dilanda banjir berkata,  hasil laporan awal, pihaknya kini menyediakan peruntukan RM11 juta untuk membaik pulih jalan rosak, cerun serta jambatan di Terengganu.

“Kita masih memperincikan aspek teknikal bagi menentukan berapakah kos sebenar diperlukan untuk  baik pulih jalan, jambatan dan cerun yang terjejas akibat banjir,” katanya.

Sumber: Sinar Harian |  Nasional | 26 Januari 2014

Ahad, 13 April 2014

TKPM Batang Merbau jana pendapatan lumayan

Ariffin Awang (kiri) dan Abdullah Ismail (kanan) menunjukkan buah rock melon yang sedia dituai sewaktu melawat ladang sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Ladang Kontrak Peserta TKPM dan FAMA di Batang Merbau, Tanah Merah, Kelantan, semalam. 
TANAH MERAH: Seramai enam peserta projek Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Batang Merbau di sini, dijang­ka memperoleh peningkatan pendapatan sehingga RM300,000 dalam tempoh tiga musim tahun ini.

Pengeluaran tanaman rock me­lon yang diusahakan menggunakan sistem Sektor Perlindungan Hujan (SPH) di kawasan itu membolehkan mereka menghasilkan tanaman gred A dan mampu mencatatkan harga pasaran yang tinggi.

Permulaan projek yang bermula pada tahun 2009 itu mencatatkan pendapatan RM2,000 sebulan tetapi tahun ini dijangka meningkat sehingga RM4,500 seorang di kawasan tanaman seluas kira-kira 1.1 hektar dengan penggunaan lebih 60 unit SPH.

Pengarah Pertanian Negeri Kelantan, Abdullah Ismail berkata, kejayaan itu diperoleh berikutan kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ne­geri Kelantan yang mengendalikan pasaran hasil tanaman tersebut.

Beliau berkata, peserta hanya menumpukan perhatian mengeluarkan hasil tanaman terbaik tanpa perlu memikirkan pasarannya.

“Kerjasama itu juga memastikan hasil pengeluaran dari projek TKPM itu mendapat pasaran dalam dan luar Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Menandatanga­ni Perjanjian Ladang Kontrak Peserta TKPM Batang Merbau di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah FAMA Wilayah Timur dan RTC Kelantan, Ariffin Awang; Timbalannya, Muhamad Fadlee Hassan; Timbalan Pengarah Pertanian (Bahagian Pengembangan),Che Mohd. Nor Che Endok dan Pegawai Pertanian Jajahan Tanah Merah, Mohd. Nazmin Ismail.

Menurut Abdullah, peserta projek TKPM itu juga dijangka akan menghasilkan kira-kira 36 tan buah tersebut pada musim ini manakala musim kedua dan ketiga akan bermula mengikut keadaan semasa.

“Kawasan untuk tanaman berke­naan juga akan diperluaskan dari semasa ke semasa," katanya. Beliau memberitahu, komitmen yang ditunjukkan oleh FAMA dan Jabatan Pertanian bagi meningkatkan pendapatan petani terlibat membolehkan perjanjian jual beli itu dapat diadakan.

Justeru katanya, setakat ini dua kawasan projek TKPM di negeri ini iaitu kawasan TKPM Lojing, Gua Musang dan TKPM Batang Merbau telahpun mengadakan perjanjian jual beli itu.

Sementara itu, Ariffin Awang berkata, sepanjang tahun 2013, pihaknya mengendalikan jualan barangan berjumlah RM217 juta.

Katanya, pendapatan itu diperoleh melalui penglibatan 617 peserta dalam pelbagai bidang perniagaan dan keusahawanan.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 11 April 2014 | Terbitan 12 April 2014

Sabtu, 12 April 2014

Abdullah Fahmi, Munirah johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kelantan Ke-57

Abdullah Fahmi Che Nor dan Munirah Kasim bersama hadiah yang dimenangi selepas dinobatkan sebagai Johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kelantan Ke-57 di Kompleks Islam Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan, malam semalam.
KOTA BHARU: Qari dari Machang, Abdullah Fahmi Che Nor serta qariah dari Tanah Merah, Munirah Kasim muncul johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kelantan Ke-57 yang berlangsung di Kompleks Islam Darulnaim, di sini malam tadi.

Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000, piala pusingan, pakej umrah, motosikal, cenderamata serta sijil.

Abdullah Fahmi, 30 serta Munirah, 47, juga akan mewakili Kelantan pada Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang di jadual berlangsung di Pahang, pada 13 hingga 17 Mei.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi qari dari Tanah Merah, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah serta qariah dari Bachok, Radziah Ibrahim yang membawa pulang wang tunai RM4,000, piala iringan serta sijil.

Pemenang tempat ketiga pula ialah qari dari Jeli, Khairul Azwar Alias serta qariah dari Kota Bharu, Che Aminah Ceh Awang yang membawa pulang RM3,000, piala iringan serta sijil.

Upacara pengurniaan hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Pene­rangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Seramai 22 qari dan qariah dari seluruh negeri mengambil bahagian pada tilawah kali ini yang bertemakan ‘Al-Quran Asas Perpaduan Ummah’.

Sementara itu, Munirah ketika ditemui pemberita berkata, kejayaan itu menebus kekecewaannya tidak dapat mewakili Kelantan pada tahun lalu apabila sekadar mendapat naib johan selain terpaksa menunggu selama 23 tahun sebelum para qariah dibenarkan bertanding oleh kerajaan negeri.

“Kali terakhir saya menang ketika berusia 15 tahun, iaitu pada 1982 namun tidak layak mewakili negeri kerana bawah umur. Pada 1990, saya terpaksa berhenti kerana kerajaan ne­geri tidak membenarkan qariah bertan­ding," katanya.

Abdullah Fahmi menyifatkan kemenangan itu sebagai pengiktirafan yang akan membakar semangatnya untuk terus mendalami al-Quran dan berazam untuk berusaha sebaik mungkin mewakili Kelantan untuk bertanding di peringkat kebangsaan bulan depan.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 11 April 2014 | Terbitan 12 April 2014

Sukma: MB Perlis kunjung hormat MB Kelantan

KOTA BHARU:  Menteri Besar Kelantan Ustaz Datuk Ahmad Yakob, semalam menerima kunjungan hormat rakan sejawatnya dari Perlis, Tuan Azlan Mat.
Kunjungan hormat Menteri Besar Perlis itu bertujuan mengundang Ustaz Ahmad serta skuad sukan negeri untuk menghadiri temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-17 yang bermula 24 Mei hingga 4 Jun akan datang.
Pertemuan berlangsung di pejabat Menteri Besar, Kota Darulnaim, dekat sini. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Dr Ramli Mamat serta delegasi Kerajaan Negeri Perlis.
Dalam pertemuan ringkas, Azlan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi menerima kunjungannya.
“Saya menjemput Ustaz Datuk serta yang lainnya menghadiri majlis perasmian Sukma yang bakal berlangsung pada 26 Mei serta hari-hari lain sepanjang temasya sukan diadakan,”ujarnya.
Azlan memberitahu, Perlis sejak sekian lama berhasrat untuk menjadi tuan rumah Sukma namun baru sekarang ianya berhasil.
Sementara itu Ahmad mengucapkan tahniah pada Kerajaan Perlis kerana akhirnya dipilih menjadi tuan rumah Sukma Ke-17 selepas Terengganu.
Menurutnya, Perlis walaupun sebuah negeri kecil diharap mampu mencapai kecemerlangan melalui sukan nasional itu.
“Jangan dipandang pada kecil atau besar, belum cuba belum tahu,” ujarnya sambil ketawa kecil memberi semangat kepada Perlis.
Ahmad turut mengucapkan terima kasih di atas kesudian Menteri Besar itu mengunjunginya. “Insya-Allah kita akan mengadakan kunjungan balas nanti,”ujarnya. 
Sumber: Harakah Daily | 11 April 2014