Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 1 November 2018

Kerajaan tidak akan tunduk desakan haramkan Grab - Menteri Pengangkutan

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan kerajaan tidak akan tunduk terhadap desakan pemandu teksi yang mahu perkhidmatan syarikat e-panggilan (e-hailing) yang menggunakan kereta persendirian, khususnya Grab diharamkan.

Menurut beliau, kerajaan peka dengan permasalahan melibatkan pemandu teksi, namun isu itu perlu dilihat dengan lebih menyeluruh, bukan hanya menerusi pandangan pemandu teksi malah perlu dilihat daripada perspektif penumpang.

Katanya kementerian telah merangka formula menang-menang untuk menjaga kebajikan pemandu teksi dan pemandu yang menggunakan perkhidmatan syarikat e-panggilan.

"Hala tuju kita, kita nak menggalakkan pemandu teksi guna aplikasi e-panggilan, sama ada syarikat Grab atau syarikat-syarikat lain, bukan nak fokus kepada Grab saja, ada 20 hingga 30 syarikat e-panggilan di negara ini, ada banyak lagi pilihan.

"Yang penting, kita nak yakinkan pemandu teksi, kalau kita tak gunakan aplikasi teknologi baharu, kita akan ketinggalan. Kita nak bantu, bukan nak memangsakan pemandu teksi, tapi kalau ikut permintaan sebahagian pemandu teksi yang mahu kerajaan haramkan e-panggilan, haramkan Grab, maka pada hari yang sama orang ramai juga akan adakan demonstrasi membantah keputusan itu," katanya ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeriannya, malam ini.

Mengenai kadar komisyen tinggi dikenakan syarikat e-panggilan, Loke berkata dalam dasar baharu, kerajaan menetapkan had komisyen pemandu kereta persendirian yang boleh dikenakan syarikat e-panggilan diturunkan kepada 20 peratus dan bukan lagi 25 peratus, manakala bagi pemandu teksi komisyen yang dikenakan syarikat e-panggilan dihadkan kepada 10 peratus.

Beliau juga meminta Anggota Parlimen menggunakan peruntukan di kawasan parlimen masing-masing, untuk bersama-sama membantu persatuan pemandu teksi menggunakan telefon pintar bagi membolehkan mereka menggunakan teknologi e-panggilan.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata kerja-kerja penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu, Kelantan melibatkan pembesaran bangunan sedia ada bagi membolehkannya menampung kapasiti penumpang daripada 1.5 juta kepada empat juta dijadual bermula pada 2020 melalui tender terbuka.

Bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, katanya kerajaan masih meneliti beberapa opsyen untuk meningkatkan kapasitinya daripada 6.5 juta penumpang setahun kepada 12 juta.

“Jumlah penumpang dikendalikan LTAPP pada tahun 2017 telah mencapai sebanyak 7.2 juta penumpang iaitu 111 peratus daripada kapasiti sedia ada,” katanya.

Mengenai celahan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bebas-Bagan Serai) sama ada cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang di Bagan Serai yang sebelum ini pernah ditimbulkan akan diteruskan, Loke berkata pihaknya perlu menerima kertas cadangan terlebih dahulu untuk diteliti pihaknya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

Sumber: Bernama | 31 Oktober 2018

Projek: Jangan anaktirikan negeri pembangkang

Mohd. Nasir Ibrahim
KUALA TERENGGANU: Kerajaan diminta memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek-projek berskala kecil melibatkan aspek keperluan menyeluruh rakyat dalam Belanjawan 2019 sekali gus turut membantu memberi ruang kepada kalangan kontraktor bumiputera bernafas.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Terengganu (KMMT) Datuk Mohd Nasir Ibrahim berkata, jika kewangan menjadi kekangan, projek-projek mega sewajarnya dibekukan seketika, bukannya yang melibatkan prasarana di seluruh negara.

"Memang ramai mengeluh kerana sukar bernafas. Kita mengharapkan Belanjawan 2019 turut mengambil kira nasib kontraktor bumiputera.

"Pelbagai projek yang berjalan kini adalah lanjutan daripada sebelum perubahan kerajaan. hampir tiada projek baharu digerakkan, dipecah-pecahkan untuk penyertaan lebih ramai kontraktor kecil,"ujarnya di sini petang ini.

Beliau mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia berhubung nasib kebanyakan kontraktor bumiputera yang berdepan dengan 'pengalaman ngeri' setelah kerajaan Pusat memutuskan untuk menangguh atau memberhentikan projek-projek penyelenggaraan.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf), Tukiman Radion dilaporkan merayu supaya peluang bagi golongan itu tidak terus tersekat.

Menurut Mohd Nasir, Terengganu sebagai sebuah negeri pembangkang turut merasa kesan besar apabila berada di bawah kerajaan negeri yang baharu.

"Di Terengganu sangat berkurangan. Saya berharap kerajaan Pusat tidak mengambil pendekatan politik yang menganaktirikan negeri di bawah pembangkang sehingga boleh menjejaskan kepentingan negeri dan rakyat,"ujarnya. 
 
Sumber: Utusan Online | 30 Oktober 2018

Tok Pa mahu terus jadi ‘jambatan’ di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ketika dewan berhanti rehat semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Darul Naim.
KOTA BHARU: Datuk Seri Mustapa Mohamed (Bersatu - Ayer Lanas) menegaskan kemampuannya untuk menjadi ‘jambatan’ di antara kerajaan Pusat dan negeri tidak perlu dipertikaikan.

Beliau berkata, rekod telah membuktikan bahawa peranan yang dimainkannya sepanjang menjadi wakil kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Katanya, isu tersebut merupakan perkara lama yang dibangkitkan kembali.

“Sebagai contoh pada 19 Disember 2015, semasa Pasar Selising terbakar, esoknya saya melawat pasar itu dan menulis surat kepada kerajaan Pusat untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta.

“Kerajaan terdahulu meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta dan saya sendiri merasmikan pasar itu pada awal Januari tahun ini.

“Ini antara contoh bagaimana saya memainkan peranan membantu rakyat Kelantan dan sudah pasti bertanggungjawab bukan sahaja mencadangkan projek-projek tetapi memantau pembinaan Hospital Kuala Krai dan Bachok serta pembinaan lebuh raya di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.

Mustapa merupakan wakil tunggal Kerajaan Pakatan Harapan DUN Kelantan selepas menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini minggu lalu.

Terdahulu ketika sesi soal jawab lisan dalam persidangan hari ini hangat seketika apabila Datuk Hassan Mohamood (Pas-Tawang) memerli tindakan Mustapa yang dikatakan bukan melakukan penghijrahan sebaliknya lari daripada perjuangan.

Malah, Hassan juga mempersoalkan sama ada Mustapa mampu menjadi ‘jambatan’ bagi menghubungkan negeri ini dengan kerajaan Persekutuan sebagaimana ketika beliau bersama BN dahulu. 
 
Sumber: Utusan Online | 31 Oktober 2018

PETRONAS Dagangan umum tiada kenaikan harga perkhidmatan GPHD, caj penghantaran gas

KUALA LUMPUR: PETRONAS Dagangan Bhd hari ini mengumumkan tidak akan ada kenaikan harga bagi perkhidmatan Gas PETRONAS Home Delivery (GPHD) manakala caj penghantaran kekal pada harga yang sama.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan umum dan kebimbangan pelarasan harga caj penghantaran, kata syarikat tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Petronas Dagangan mengumumkan caj penghantaran akan disemak semula sejajar dengan kadar pasaran daripada RM3.20 bagi silinder 12 kilogram dan 14 kilogram sebelum ini kepada RM8.20 bagi silinder 12 kilogram dan RM8.40 bagi silinder 14 kilogram.

Penetapan harga semasa di laman web GPHD menyenaraikan RM25.80 bagi silinder 12 kilogram dan RM29.80 bagi silinder 14 kilogram untuk wilayah tengah, manakala harga bagi wilayah selatan, timur dan utara bagi dua silinder itu masing-masing pada RM25.20 dan RM29.

Sumber: Bernama | 31 Oktober 2018

Rabu, 31 Oktober 2018

Single Dad Cendol bukan biasa-biasa

Hasbullah menyediakan cendol di gerainya ‘Single Dad Cendol’.
TANAH MERAH: Single Dad Cendol nama unik diilhamkan seorang peniaga di daerah ini yang menampilkan kelainan tersendiri dengan menjual cendol menggunakan basikal antik diubah suai.

Keistimewaan yang ditonjolkan itu kini menjadi fenomena di daerah ini apabila idea menggunakan basikal antik bagi jualan cendol oleh peminat barangan terbabit, Hasbullah Mohd Nawi, 35, juga mampu membantu dirinya menjana pendapatan sampingan.

Hasbullah berkata, idea itu timbul dalam usaha mengembalikan nostalgia zaman cendol sekitar tahun 70-an dan 80-an yang ketika itu cendol dijual dengan menggunakan basikal.

“Maka saya cuba hidupkan semula jualan cendol menggunakan air batu tongkol dan dikisar menggunakan pengisar air batu secara manual berbanding mesin automatik menggunakan elektrik yang selalu digunakan peniaga sekarang. Lebih menarik adalah air batu tongkol dikisar di atas basikal klasik yang direka khas.

“Sebagai penggiat basikal klasik Kelantan dan Malaysia, saya mahu tonjolkan kepada masyarakat berkaitan basikal antik di jalanan dan konsep itu diilhamkan dalam usaha berkongsi idea dengan pelanggan yang datang di gerai cendol ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurutnya, lebih istimewa apabila basikal yang digunakan itu adalah basikal antik miliknya yang dibawa pulang dari England ketika merantau mencari barangan antik di luar negara.

“Saya harap gerai ini juga dapat mengumpulkan peminat-peminat barangan klasik di satu lokasi dan dapat bertukar-tukar pandangan dan pendapat.

“Usaha saya ini juga selain berniaga, sebenarnya adalah untuk memperkenalkan barangan antik dan mesin kisar yang mungkin tidak pernah dilihat generasi baru,” katanya.

Basikal antik yang diubahsuai antara yang menjadi tarikan di gerai cendol itu.
Hasbullah berkata, dia turut memberi peluang kepada pelanggan untuk mencuba sendiri mengisar air batu tongkol di gerainya yang terletak di tepi Kasut You Bandar Baru Tanah Merah, di sini.

“Nama ‘Single Dad Cendol’ ini sebenarnya dizahirkan dari nama peminat barangan antik yang pada mulanya melalui nama Kami, Karat England dan sebuah Kafe Single Dad Kafe dan akhirnya saya ambil keputusan menggunakan nama ‘Single Dad Cendol’ yang bukan sahaja unik malah mudah untuk diingati.

“Selain itu gerai ini juga turut dihiasi dengan vespa serta basikal roda tiga buatan England sebagai satu lagi daya tarikan ke gerai cendol ini yang dibuka pada jam 10 pagi hingga 5 petang setiap hari,” katanya.

Hasbullah menambah, dia juga mempunyai perancangan untuk terus memajukan gerai cendol ini dengan mewujudkan sudut barangan antik yang akan diletakkan pelbagai jenis radio klasik dan mesin jahit lama semuanya buatan England untuk tatapan umum.

“Di samping itu saya mahu pelanggan rasa cendol kita dengan slogan “Tak Keno Takpo Keno Rindu” yang juga akan menjadi tarikan kepada pelanggan cendol Single Dad.

“Harga bagi semangkuk cendol yang dijual dalam mangkuk besi hanya RM2, RM2.50 untuk tambahan jagung dan kacang dan RM3 untuk hidangan istimewa bersama pulut, tapai, jagung dan kacang,” katanya.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 31 Oktober 2018

Kelantan minta Petronas kemuka jumlah rasmi bayaran royalti

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan meminta Petronas agar mengemukakan jumlah rasmi bayaran royalti yang harus diterima oleh negeri berkenaan sejak pengeluaran petroleumnya bermula 1982.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata ia berikutan sehingga kini Kerajaan Negeri Kelantan tidak menerima sebarang angka yang khusus berhubung perkara berkenaan.

"Cuma untuk makluman Yang Berhormat, setakat ini saya boleh sebut saya rasa, berdasarkan maklumat-maklumat yang kita kumpul daripada laporan dan jawapan menteri di Parlimen, daripada mula-mula pengeluaran petroleum hasil laut yang digali dari Kelantan, kita sepatutnya menerima bayaran daripada Petronas melebihi RM14 bilion.

"Kalau kita dapat harta ini kita dapat melihat berapa banyak sebenarnya duit kita yang telah diambil oleh Kerajaan Persekutuan (selama ini)," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mohd Amar menjawab soalan tambahan dikemukakan Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) yang mahu tahu mengapa Kerajaan Negeri Kelantan tidak memasukkan terimaan hasil royalti dalam Belanjawan 2019 bagi meningkatkan kewangan negeri.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata banyak perkara boleh diselesaikan jika Kerajaan Persekutuan membayar kesemua jumlah tuntutan royalti Kelantan termasuklah masalah bekalan air, perumahan mampu milik dan sampah.

"Bukan kita nak cari alasan tapi itulah realiti, sebab orang Kelantan kata dah, 'takdok pitih bodo selalu, ado duit cerdik selalu'.

"Apa yag kita tuntut adalah hak yang kita. Jadi kalau kita setakat nak minta pinjam RM90 juta pendahuluan tu tak ada apa-apalah sebab duit kita banyak lagi dengan Kerajaan Persekutuan, dan kalau kita berhutang lebih RM300 juta dengan Kerajaan Persekutuan, boleh dikira kecil lagi (berbanding) duit yang disimpan RM14 bilion itu," katanya.

Terdahulu, Mohd Amar menjawab soalan dikemukakan Saiful Adli Abu Bakar (PAS-Salor) yang mahu tahu apakah strategi Kerajaan Negeri untuk meningkatkan jumlah hasil negeri dan adakah Kerajaan Negeri Kelantan mempunyai sumber baharu sebagai alternatif meningkatkan kewangan negeri.

Menjawab soalan berkenaan, Mohd Amar berkata ada beberapa strategi jangka pendek diambil Kerajaan Negeri Kelantan untuk tujuan berkenaan, antaranya pelarasan kadar baharu bayaran perkhidmatan membabitkan bayaran pendaftaran pindah milik pendaftaran gadaian dan bayaran royalti gadaian batuan.

Selain itu, ia membabitkan pelarasan cukai tanah di seluruh negeri, pungutan royalti mineral berasaskan keluaran secara bulanan dan mewartakan kawasan mendulang di bawah Seksyen 14 Enakmen Mineral 2001 bagi membolehkan pihak-pihak yang berminat memohon lesen dan memberi pulangan kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

Sumber: Bernama | 31 Oktober 2018

12,672 bakal isi jawatan MPKK di Kelantan, LTSIP diharap dapat dinaik taraf sebagai sebuah lapangan terbang antarabangsa

Husam Musa
KOTA BHARU: Seramai 12,672 individu akan dilantik menganggotai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kelantan yang diwujudkan di kesemua 792 kampung di seluruh negeri ini.

Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Datuk Husam Musa berkata, pemilihan bagi jawatan tersebut dibuat kedua-dua belah pihak iaitu Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Pas Kelantan dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan.

“Setiap MPKK di kampung-kampung mempunyai 16 anggota dan daripada jumlah itu, 11 anggota dilantik oleh kerajaan negeri manakala lima lagi dilantik oleh Kerajaan Pusat.

“Setiap MPKK akan diberikan geran RM10,000 untuk melaksanakan pelbagai program-program kesejahteraan dan kecantikan kampung,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Santai Petang Bersama Kepimpinan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) negeri di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Husam berkata, MPKK diwujudkan bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dibentuk oleh kerajaan terdahulu.

“MPKK mempunyai peranan sebagai perunding dan pemudah cara di peringkat kampung selain diberi peluang mencadangkan pembangunan projek di tempat masing-masing,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, keputusan Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan projek pembinaan lebuh raya di negeri ini merupakan satu khabar gembira dan rakyat berharap projek tersebut dapat disiapkan secepat mungkin.

Dalam masa yang sama, beliau juga berharap Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa bukan sahaja diperbesar, malah dinaik taraf sebagai sebuah lapangan terbang antarabangsa bagi me­lonjakkan sektor pelancongan negeri ini.

Sumber: Utusan Malaysia | 30 Oktober 2018