Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 4 November 2020

LADA laksana promosi di Kelantan tarik pelancong Pantai Timur ke Langkawi


LANGKAWI
: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bersama-sama pemain industri akan mengadakan program promosi di Kelantan bagi menarik pengunjung dari Pantai Timur ke pulau peranginan bebas cukai itu, seterusnya merancakkan kembali sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19. 

Ketua Pegawai Eksekutif LADA Dr Hezri Adnan berkata langkah itu diambil berikutan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia bakal membuka laluan Kota Bharu ke Langkawi mulai 8 Disember. 

"LADA sedang membuat perancangan bersama-sama pemain industri pelancongan untuk ke Kota Bharu, Kelantan berjumpa dengan pentadbiran kerajaan negeri untuk menguar-uarkan pakej menarik yang ditawarkan kepada pengunjung dari laluan itu. 

“Berkenaan tarikh, LADA masih meneliti waktu sesuai program promosi sama ada sebelum atau selepas laluan penerbangan dibuka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pelepasan Peranti Pengumpulan Ikan/Unjam di Pangkalan Nelayan Kuala Muda. 

Beliau berkata Langkawi kini berada dalam zon hijau berikutan tiada kes aktif COVID-19 dilaporkan selepas pesakit terakhir yang mendapat rawatan di Hospital Sultanah Maliha di sini dibenarkan pulang pada 13 Oktober lepas. 

Hezri juga berkata program pelepasan peranti pengumpulan ikan/unjam adalah satu inisiatif LADA, beberapa agensi kerajaan lain serta komuniti nelayan setempat untuk membantu merancakkan sektor perikanan di pulau itu. 

"Berikutan pandemik COVID-19, kita menyedari peratusan mereka yang turun ke laut semakin meningkat bukan sahaja di Pangkalan Nelayan Kuala Muda ini malahan di seluruh Langkawi. 

“Menerusi jalinan kerjasama ini, kita harap dapat bantu sektor perikanan seterusnya mereka yang hilang pendapatan dalam bidang pelancongan kerana pandemik COVID-19. Selain komuniti nelayan Kuala Muda, kita akan laksanakan program sama bersama beberapa lagi komuniti nelayan di pulau ini," katanya. 

Ketua Komuniti Nelayan Pangkalan Kuala Muda Nazeri Hanafi pula berkata tiga unjam akan dibina menggunakan kira-kira 300 pembetung, 200 cerucuk konkrit, batuan dan 100 batang buluh. 

“Unjam akan diletakkan di tiga lokasi pada jarak 0.4 batu nautika antara satu sama lain dan kira-kira empat batu nautika dari pesisir pantai pada kedalaman 33.5 meter (110 kaki),” katanya. 

Sumber: Bernama | 3 November 2020

Tiada ulasan:

Catat Ulasan