Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 26 November 2018

UM kenal pasti tapak kampus baharu di Kandis, Bachok

KOTA BHARU: Akademi Islam Universiti Malaya (UM) mengenal pasti tapak baharu di Bachok sebagai kampus baharu menggantikan kampus di Nilam Puri sekarang.

Timbalan Menteri Besar, Dato' Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri dimaklumkan perbincangan UM dengan pemilik tanah sudah dilakukan.

"Tanah seluas lebih kurang 25 ekar di Kandis itu merupakan bekas kampus Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST).

“Difahamkan Akademi Islam Universiti Malaya hanya memerlukan kawasan seluas 15 ekar sahaja," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Integriti di Kota Darulnaim hari ini.

Turut hadir Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri, Dato' Shahidani Abdul Aziz, Pengawai Kewangan Negeri, Dato’ Ahmad Robert Abdul Rahim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Adnan Hussin.

Mohd Amar berkata, tanah yang diduduki Akademi Islam sekarang merupakan tanah kerajaan yang diberi hak milik kepada Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), kini dalam proses dinaik taraf sebagai kolej universiti. 

Sumber: Harakah Daily | 26 November 2018

Selasa, 20 November 2018

Projek Jejambat Tanah Merah dijangka siap Ogos tahun depan

Projek Jejambat Tanah Merah di pusat bandar Tanah Merah, Kelantan dijangka siap Ogos tahun depan. 
TANAH MERAH: Projek jejambat dan persimpangan bertingkat bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas teruk di bandar ini dijangka dapat disiapkan lebih awal daripada tempoh sebenar yang ditetapkan.

Pegawai Perhubungan Awam syarikat kontraktor utama, After Image Sdn Bhd, Rasdi Mohamad berkata, pelaksanaan projek membabitkan kos RM153 juta sejak dua tahun lalu itu sudah mencecah 70 peratus.

Rasdi berkata, projek melibatkan pembinaan jajaran sejauh 1.1 kilometer melintasi bandar ini termasuk lintasan kereta api yang dijangka siap Ogos tahun depan itu kini didapati mendahului jadual hampir sebulan lebih awal.

"Berdasarkan data perkembangan awal bulan ini, projek sepatutnya 66.75 peratus siap kalau ikut jadual ditetapkan tetapi realiti di lapangan, projek sudah 69.55 peratus iaitu varian 2.81 peratus.

"Kalau ikut jumlah hari, kita sudah lebih awal daripada jadual yang ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 19 November 2018

Khamis, 1 November 2018

Belanjawan 2019: Kedah taruh harapan bina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim

 
ALOR SETAR: Kebenaran daripada Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) merupakan antara perkara yang diharapkan kerajaan negeri untuk disentuh dalam pembentangan Belanjawan 2019, Jumaat ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, selain itu pihaknya turut berharap supaya beberapa perkara lain dapat diberi perhatian antaranya peruntukan untuk Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam, Projek Bandar Raya Getah di Padang Terap, Litar Lumba di Sungai Petani serta Hospital Pendang.

"Mengenai KXP, kami memang ternanti-nanti kebenaran tersebut tetapi tidaklah kerajaan negeri terasa hati sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak dapat memberi peruntukan besar kepadanya. Kami faham kekangan dihadapi Persekutuan.

"Kalau Kerajaan Persekutuan beri peruntukan untuk KXP, kerajaan negeri sangat mengalu-alukan. Namun kami bersedia jika Persekutuan sekadar memberi kebenaran kerana kami yakin untuk membangunkan KXP menerusi pelaburan luar atau inisiatif pelaburan swasta dengan beberapa pihak sudah menyatakan kesudian berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sumber: Utusan Online | 31 Oktober 2018

Kerajaan tidak akan tunduk desakan haramkan Grab - Menteri Pengangkutan

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan kerajaan tidak akan tunduk terhadap desakan pemandu teksi yang mahu perkhidmatan syarikat e-panggilan (e-hailing) yang menggunakan kereta persendirian, khususnya Grab diharamkan.

Menurut beliau, kerajaan peka dengan permasalahan melibatkan pemandu teksi, namun isu itu perlu dilihat dengan lebih menyeluruh, bukan hanya menerusi pandangan pemandu teksi malah perlu dilihat daripada perspektif penumpang.

Katanya kementerian telah merangka formula menang-menang untuk menjaga kebajikan pemandu teksi dan pemandu yang menggunakan perkhidmatan syarikat e-panggilan.

"Hala tuju kita, kita nak menggalakkan pemandu teksi guna aplikasi e-panggilan, sama ada syarikat Grab atau syarikat-syarikat lain, bukan nak fokus kepada Grab saja, ada 20 hingga 30 syarikat e-panggilan di negara ini, ada banyak lagi pilihan.

"Yang penting, kita nak yakinkan pemandu teksi, kalau kita tak gunakan aplikasi teknologi baharu, kita akan ketinggalan. Kita nak bantu, bukan nak memangsakan pemandu teksi, tapi kalau ikut permintaan sebahagian pemandu teksi yang mahu kerajaan haramkan e-panggilan, haramkan Grab, maka pada hari yang sama orang ramai juga akan adakan demonstrasi membantah keputusan itu," katanya ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeriannya, malam ini.

Mengenai kadar komisyen tinggi dikenakan syarikat e-panggilan, Loke berkata dalam dasar baharu, kerajaan menetapkan had komisyen pemandu kereta persendirian yang boleh dikenakan syarikat e-panggilan diturunkan kepada 20 peratus dan bukan lagi 25 peratus, manakala bagi pemandu teksi komisyen yang dikenakan syarikat e-panggilan dihadkan kepada 10 peratus.

Beliau juga meminta Anggota Parlimen menggunakan peruntukan di kawasan parlimen masing-masing, untuk bersama-sama membantu persatuan pemandu teksi menggunakan telefon pintar bagi membolehkan mereka menggunakan teknologi e-panggilan.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata kerja-kerja penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu, Kelantan melibatkan pembesaran bangunan sedia ada bagi membolehkannya menampung kapasiti penumpang daripada 1.5 juta kepada empat juta dijadual bermula pada 2020 melalui tender terbuka.

Bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, katanya kerajaan masih meneliti beberapa opsyen untuk meningkatkan kapasitinya daripada 6.5 juta penumpang setahun kepada 12 juta.

“Jumlah penumpang dikendalikan LTAPP pada tahun 2017 telah mencapai sebanyak 7.2 juta penumpang iaitu 111 peratus daripada kapasiti sedia ada,” katanya.

Mengenai celahan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bebas-Bagan Serai) sama ada cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang di Bagan Serai yang sebelum ini pernah ditimbulkan akan diteruskan, Loke berkata pihaknya perlu menerima kertas cadangan terlebih dahulu untuk diteliti pihaknya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

Sumber: Bernama | 31 Oktober 2018

Projek: Jangan anaktirikan negeri pembangkang

Mohd. Nasir Ibrahim
KUALA TERENGGANU: Kerajaan diminta memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek-projek berskala kecil melibatkan aspek keperluan menyeluruh rakyat dalam Belanjawan 2019 sekali gus turut membantu memberi ruang kepada kalangan kontraktor bumiputera bernafas.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Terengganu (KMMT) Datuk Mohd Nasir Ibrahim berkata, jika kewangan menjadi kekangan, projek-projek mega sewajarnya dibekukan seketika, bukannya yang melibatkan prasarana di seluruh negara.

"Memang ramai mengeluh kerana sukar bernafas. Kita mengharapkan Belanjawan 2019 turut mengambil kira nasib kontraktor bumiputera.

"Pelbagai projek yang berjalan kini adalah lanjutan daripada sebelum perubahan kerajaan. hampir tiada projek baharu digerakkan, dipecah-pecahkan untuk penyertaan lebih ramai kontraktor kecil,"ujarnya di sini petang ini.

Beliau mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia berhubung nasib kebanyakan kontraktor bumiputera yang berdepan dengan 'pengalaman ngeri' setelah kerajaan Pusat memutuskan untuk menangguh atau memberhentikan projek-projek penyelenggaraan.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf), Tukiman Radion dilaporkan merayu supaya peluang bagi golongan itu tidak terus tersekat.

Menurut Mohd Nasir, Terengganu sebagai sebuah negeri pembangkang turut merasa kesan besar apabila berada di bawah kerajaan negeri yang baharu.

"Di Terengganu sangat berkurangan. Saya berharap kerajaan Pusat tidak mengambil pendekatan politik yang menganaktirikan negeri di bawah pembangkang sehingga boleh menjejaskan kepentingan negeri dan rakyat,"ujarnya. 
 
Sumber: Utusan Online | 30 Oktober 2018

Tok Pa mahu terus jadi ‘jambatan’ di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ketika dewan berhanti rehat semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Darul Naim.
KOTA BHARU: Datuk Seri Mustapa Mohamed (Bersatu - Ayer Lanas) menegaskan kemampuannya untuk menjadi ‘jambatan’ di antara kerajaan Pusat dan negeri tidak perlu dipertikaikan.

Beliau berkata, rekod telah membuktikan bahawa peranan yang dimainkannya sepanjang menjadi wakil kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Katanya, isu tersebut merupakan perkara lama yang dibangkitkan kembali.

“Sebagai contoh pada 19 Disember 2015, semasa Pasar Selising terbakar, esoknya saya melawat pasar itu dan menulis surat kepada kerajaan Pusat untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta.

“Kerajaan terdahulu meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta dan saya sendiri merasmikan pasar itu pada awal Januari tahun ini.

Ini antara contoh bagaimana saya memainkan peranan membantu rakyat Kelantan dan sudah pasti bertanggungjawab bukan sahaja mencadangkan projek-projek tetapi memantau pembinaan Hospital Kuala Krai dan Bachok serta pembinaan lebuh raya di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.

Mustapa merupakan wakil tunggal Kerajaan Pakatan Harapan DUN Kelantan selepas menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini minggu lalu.

Terdahulu ketika sesi soal jawab lisan dalam persidangan hari ini hangat seketika apabila Datuk Hassan Mohamood (Pas-Tawang) memerli tindakan Mustapa yang dikatakan bukan melakukan penghijrahan sebaliknya lari daripada perjuangan.

Malah, Hassan juga mempersoalkan sama ada Mustapa mampu menjadi ‘jambatan’ bagi menghubungkan negeri ini dengan kerajaan Persekutuan sebagaimana ketika beliau bersama BN dahulu. 
 
Sumber: Utusan Online | 31 Oktober 2018

PETRONAS Dagangan umum tiada kenaikan harga perkhidmatan GPHD, caj penghantaran gas

KUALA LUMPUR: PETRONAS Dagangan Bhd hari ini mengumumkan tidak akan ada kenaikan harga bagi perkhidmatan Gas PETRONAS Home Delivery (GPHD) manakala caj penghantaran kekal pada harga yang sama.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan umum dan kebimbangan pelarasan harga caj penghantaran, kata syarikat tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Petronas Dagangan mengumumkan caj penghantaran akan disemak semula sejajar dengan kadar pasaran daripada RM3.20 bagi silinder 12 kilogram dan 14 kilogram sebelum ini kepada RM8.20 bagi silinder 12 kilogram dan RM8.40 bagi silinder 14 kilogram.

Penetapan harga semasa di laman web GPHD menyenaraikan RM25.80 bagi silinder 12 kilogram dan RM29.80 bagi silinder 14 kilogram untuk wilayah tengah, manakala harga bagi wilayah selatan, timur dan utara bagi dua silinder itu masing-masing pada RM25.20 dan RM29.

Sumber: Bernama | 31 Oktober 2018