KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian akan menganjurkan Program Derma Darah Monsun pada 22 Dis ini bagi menampung keperluan darah sepanjang musim tengkujuh tahun ini.
Penyelaras Unit Perubatan Transfusi HUSM Prof Madya Dr Noorhaslina Mohd Noor berkata program itu penting kerana hospital itu akan berdepan kesulitan untuk mengumpul darah jika berlaku banjir.
"Program ini sebagai persiapan awal mengumpul darah untuk kegunaan pesakit jika berlaku banjir kerana stok darah sedia ada hanya mencukupi untuk keperluan dua minggu sahaja," katanya pada sidang akhbar di HUSM Kubang Kerian di sini, Rabu.
Dr Noorhaslina berkata pada musim banjir tahun lepas, HUSM terpaksa mendapatkan bekalan darah dari Hospital Universiti Malaya (HUM) dan Pusat Tabung Darah Negara berikutan kegagalan mengumpulkan darah kerana banjir.
"Mengikut ramalan Jabatan Meteorologi, hujan lebat akan berlaku pada 25 Dis ini, jadi kita mengambil pendekatan membuat persiapan awal bagi mengelak pengalaman tahun lepas berulang," katanya.
Beliau berkata HUSM memerlukan sekurang-kurangnya 250 beg darah seminggu dan keperluan itu meningkat jika ada kes kemalangan atau bersalin.
Katanya selain sel darah merah, HUSM juga sedang meneliti strategi untuk mengumpulkan sel platlet bagi kes tertentu.
"Selain penderma tetap, kita harap orang ramai dapat tampil menderma pada hari tersebut bagi membantu HUSM menambah stok darah untuk keperluan pesakit," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata HUSM berjaya mengumpulkan 11,500 beg darah sepanjang tahun lepas.
Sumber: Bernama | 16 Dis. 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan