KOTA BHARU: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed malam ini meraikan menteri-menteri ekonomi ASEAN yang menghadiri Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-21 pada majlis makan malam di sini.
Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan berangkat menghadiri majlis berkenaan yang berlangsung di Hotel Renaissance Kota Bharu.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan wakil-wakil dari Dewan Undangan Negeri, persatuan perniagaan dan organisasi bukan kerajaan.
Majlis makan malam itu juga diserikan dengan persembahan kebudayaan berwarna-warni oleh murid-murid sekolah rendah.
Mustapa, yang dalam ucapannya turut memberi penerangan ringkas mengenai ekonomi dan juga tempat-tempat menarik negeri itu, juga memuji Myanmar yang telah menjadi pengerusi ASEAN tahun lepas.
Menteri-menteri ekonomi ASEAN berkumpul di sini mulai hari ini sehingga 1 Mac bagi menghadiri mesyuarat penting untuk memajukan rancangan bagi penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
Pemukiman itu yang dipengerusikan oleh Mustapa, adalah antara pelbagai mesyuarat ASEAN yang diadakan sempena Malaysia menjadi pengerusi ASEAN pada 2015.
Sumber: BERNAMA | 28 Februari 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan