Persembahan Main Puteri di Kampung Kemasin Bachok Kelantan yang merupakan persembahan perubatan tradisi bagi menyembuhkan penyakit berpunca gangguan makhluk halus. |
GEORGE TOWN: Persembahan 'main puteri' yang popular di Kelantan perlu dibangunkan supaya ia tidak lapuk ditelan zaman.
Timbalan Pengarah Produksi Istana Budaya, Rosnan Rahman berkata persembahan tradisional seperti tarian mek mulung, mak yong, menora, saba, ulek mayang dan main puteri perlu dikekalkan dengan mengadakan program mencari bakat baharu untuk dijadikan pelapis.
"Kita tak mahu ia tinggal nama sahaja. 'Main puteri' pun ada masalah untuk mencari pelapisnya. Pada sama sama, kami di kementerian perlu meneutralkan kontroversi antara halal dan haram.
Beliau berkata demikian pada seminar kearifan tempatan, Pemeliharaan Kearifan Tempatan Dalam Amalam Pengubatan' anjuran Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
Main Puteri atau "main teri" adalah seni persembahan yang popular di Kelantan. Tujuan utama persembahan ini adalah untuk perubatan di mana Tok Puteri, Tok Minduk dan pemuzik yang digelar panjak membebaskan "angin" pesakit.
Sementara itu, karyawan "main teri" yang juga dipanggil Tok Teri (ketua kumpulan Main Teri), Che Mohd Zailani Che Moh, 50, berkata persembahan tradisional itu sering kali digunakan untuk merawat penyakit berkaitan 'angin' seperti tekanan, kemurungan, rasukan makhluk halus dan ketidakseimbangan tenaga dalaman.
Beliau berkata menerusi persembahan "main teri" itu semangat pesakit akan dibangkitkan melalui lagu dan nyanyian yang mempunyai maksud tertentu.
Che Mohd Zailani yang turut dikenali sebagai Pak Mat Jedok turut menolak dakwaan masyarakat mengenai penggunaan makhluk halus dalam rawatan tradisional terutama persembahan "main teri" ini.
"Main teri ini selalunya dibuat apabila pesakit gagal sembuh walaupun sudah ke hospital...doktor bagi ubat pun tak sembuh juga," katanya.
Sumber: Bernama | 3 Feb. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan