KUALA LUMPUR: Tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, Kelantan membuktikan komitmen mereka untuk mengelolakan temasya itu apabila merancang membina kemudahan sukan bernilai RM600 juta di beberapa daerah negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata kemudahan itu membabitkan pembinaan kompleks sukan tertutup, kompleks sukan renang, sukan menembak dan velodrom yang akan dibina bermula tahun depan.
Jelasnya, kemudahan terbabit akan dijadikan sebagai pusat riadah kepada penduduk negeri itu selepas digunakan bagi tujuan temasya terbabit.
"Kita sudah ke Johor untuk melihat kemudahan sukan yang ada di sana. Kita juga selesai membuat pengurusan venue bagi infra yang akan dibina di Kelantan dan akan dibawa ke Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk kelulusan peruntukan.
"Kita akan bina stadium dan kompleks sukan di Bukit Merbau dengan anggaran kos RM600 juta. Kita ada 320 ekar tanah tetapi kita akan guna separuh dahulu. Stadium akuatik akan dibina di Kota Bharu dan velodrom pula di Jeli. Semuanya akan bertaraf antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pembangunan Kejurulatihan Bola Sepak Remaja 2020 anjuran Majlis Sukan Negeri Kelantan bersama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), semalam.
Mengulas berkaitan seminar yang dianjurkan, Wan Roslan menjelaskan kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) akan sentiasa bekerjasama dengan NFDP dalam memperkasakan pembangunan bola sepak di Kelantan.
"Hasrat saya adalah supaya jurulatih ada pengalaman yang luas. Biar kita ada kemahiran sendiri seperti Brazil yang terkenal dengan Samba.
"Kita mahu jurulatih kita ada pengetahuan dan ilmu yang tinggi dalam melatih remaja di Kelantan. Terima kasih kepada panel dari NFDP yang sudi berkongsi pengalaman dan tunjuk ajar dengan jurulatih di sini," katanya.
Sumber: Berita Harian Online | 28 September 2020
Tiada ulasan:
Catat Ulasan