Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 6 September 2016

'Pulau Nami’ perlu dibangunkan


Sebahagian bangunan lama yang perlu dirobohkan kerana mencacatkan pemandangan di sekitar Pantai Senok, Tawang, Bachok, Kelantan.
BACHOK: Pengunjung Pantai Senok, dekat sini, menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan kemudahan asas dalam usaha membangunkan kawasan itu sebagai pusat pelancongan di negeri ini.

Biarpun pantai yang mendapat jolokan ‘Pulau Nami Malaysia’ oleh penduduk tempatan kerana keindahan susunan pokok ru yang tumbuh secara semula jadi itu, namun disebabkan tidak diurus dengan baik, kawasan itu kelihatan ‘tercemar’.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pantai yang terletak kira-kira 14.9 kilometer dari bandar ini kelihatan tidak terurus dengan saki baki bangunan lama yang diruntuhkan, semak samun di sekitar benteng pemecah ombak serta tandas dan tong sampah yang tidak mencukupi.

Seorang pengunjung, Rohani Ahmad, 44, berkata, pantai itu seharusnya diberi perhatian oleh PBT untuk menyediakan prasarana yang mencukupi.

Menurutnya, ramai yang berkunjung ke sini untuk me­rakam gambar bersama keluarga kerana keindahan semula jadinya bagaikan di Pulau Nami di Korea Selatan tetapi agak malang kerana tiada kemudahan disediakan untuk pengunjung bersantai le­bih lama di kawasan tersebut.

“Datanglah dan lihat sendiri apabila gambar dirakam. Namun kita menghadapi kesukaran untuk meletakkan kenderaan kerana tidak ada tempat letak kereta yang disediakan dan kedai makan pun tidak banyak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini, hari ini.

Seorang penduduk tempatan, Abdullah Ismail, 40, berkata, lokasi itu dikunjungi orang ramai tanpa mengira hari sehingga menyebabkan kesesakan yang teruk terutama pada hari minggu kerana keadaan jalan masuk yang sempit serta rosak.

Menurutnya, pantai yang ber­dekatan dengan perkampungan nelayan itu juga akan memberikan impak ekonomi kepada penduduk setempat untuk menjalankan perniagaan makanan dan hasil sumber laut sekiranya lokasi berkenaan dibangunkan dengan kemudahan asas serta hiasan lanskap untuk menambah daya tarikan.

“Pihak PBT perlu membina gerai jualan yang lebih menarik berbanding beberapa gerai yang mencacatkan mata memandang yang dibina oleh peniaga yang berdekatan.

“Jalan di persekitaran pantai perlu diperbesarkan dan diturap semula. Tandas awam serta gerai makanan perlu disediakan. Saya yakin kemajuan itu akan memberi rezeki kepada penduduk setempat dan PBT sendiri,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Hafizuddin Mazlan, 17, berkata, Pantai Senok menjadi lokasi kegilaan remaja negeri ini untuk berkunjung apabila keindahan pokok ru di kawasan itu menjadi viral di laman sosial.

Menurutnya, ada juga yang memilih kawasan longgokan daun ru untuk menjadi latar belakang gambar yang konon menggambarkan musim luruh yang tidak pernah ditemukan di negeri ini.

“Amat rugi jika keindahan semulajadi ini dibiarkan tanpa sebarang tindakan susulan yang me­nguntungkan. Kawasan ini menjadi lokasi alternatif selepas Pantai Irama di pusat bandar Bachok.

“Tindakan drastik PBT untuk menyalurkan sedikit pelaburan mampu menaikkan taraf lokasi ini yang bukan sahaja dikunjungi oleh pengunjung tempatan tetapi akan menarik minat pelancong asing,” katanya.

Hafizuddin berkata, kemudahan rumah rehat dan inap desa perlu dibangunkan oleh penduduk setempat untuk pengunjung dari bandar bermalam bagi menyaksikan suasana malam, deruan dedaun ru ditiup angin laut dan yang lebih bernilai menyelami aktiviti nelayan setempat mendaratkan hasil tangkapan di kuala yang berdekatan.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 5 Sept. 2016 | Terbitan 6 Sept. 2016

1 ulasan:

  1. pokok ru tersebut bukan tumbuh semulajadi... tapi ia adalah di tanam oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu ( IADA ) Kemasin Semerak

    BalasPadam