Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 20 Mei 2019

MPSP bakal dinaik taraf sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai

Menara MPSP di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang.
BUKIT MERTAJAM: Pulau Pinang akan menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang kesemua Pihak Berkuasa Tempatannya (PBT) bertaraf bandar raya.

Pulau Pinang mempunyai dua PBT, iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang memperoleh status majlis bandar raya pada tahun 2015, dikenali sebagai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata Kerajaan Persekutuan telah meluluskan permohonan Kerajaan Negeri untuk menaik taraf MPSP kepada majlis bandar raya pada minggu lepas.

"Terdapat 155 buah PBT di Malaysia dan 13 daripadanya bertaraf bandar raya. MPSP akan menjadi PBT ke-14 dinaik taraf sebagai majlis bandar raya dan yang pertama selepas pilihan raya umum ke-14," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata pengumuman rasmi berhubung status MPSP sebagai majlis bandar raya akan dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri setelah semua dokumen siap.

"Kerajaan Negeri perlu membuat keputusan siapa yang akan menjadi Datuk Bandar untuk Majlis Bandaraya Seberang Perai setelah ia disokong," katanya.

Jagdeep berkata warga MPSP mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengekalkan pencapaian sedia ada selepas PBT itu dinaik taraf sebagai bandar raya.

"Ini menjadi satu perkara yang saya ingin tekankan. Rakyat akan mempunyai jangkaan yang lebih tinggi terhadap Majlis Bandaraya Seberang Perai. Proses penyampaian perkhidmatan adalah satu perkara yang dititikberat dan perlu kita tingkatkan," katanya.

Sumber: Bernama | 20 Mei 2019

Tiada ulasan:

Catat Ulasan