Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 22 Oktober 2016

Lapan keluarga tinggal sehelai sepinggang rumah musnah dijilat api

GUA MUSANG: Seramai 21 orang daripada lapan keluarga yang menghuni sembilan buah rumah kini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Pulai di sini, lewat malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Penolong Kanan Penguasa Bomba Anuar Abas berkata kebakaran dipercayai bermula daripada sebuah kedai menjual input pertanian, sebelum merebak ke rumah-rumah lain.

"Sebuah tokong Cina berusia lebih 300 tahun turut mengalami kerosakan kecil dalam kejadian tersebut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Anuar berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.52 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama dua jentera dan 11 anggota.

"Sepuluh anggota bomba sukarela dari Kampung Baru Gua Musang dengan sebuah jentera turut membantu memadamkan kebakaran. Kebakaran itu merebak dengan cepat kerana rumah papan berkenaan terletak berhampiran antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.

Sumber: Bernama | 22 Oktober 2016

Ahad, 16 Oktober 2016

Adik mangsa tidak sangka bakal suami sanggup tikam abang

KUALA TERENGGANU: "Saya tidak sangka bakal suami saya yang selama ini berperwatakan lembut sanggup bertindak agresif dan menikam abang saya," kata Azlina Husin, 27, adik kepada kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dibunuh di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu (Maidam), di sini Ahad pagi.

Beliau bersama enam anggota keluarganya termasuk abangnya bertolak dari Kelantan kira-kira pukul 10 pagi semalam dan tiba di Pejabat Maidam pada pukul 10.30 pagi tadi bagi mengesahkan status bakal suaminya itu.

Azlina berkata beliau terkejut apabila diberitahu pihak Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Terengganu bahawa suspek yang berumur 29 tahun itu pernah berkahwin, sedangkan dia sebelum ini mempertahankan bahawa dia masih bujang.

"Selepas dimaklumkan dia telah berkahwin, saya terus berkata cukup setakat ini sahaja, kerana saya telah berjanji dengan keluarga saya untuk tidak bersamanya jika dia suami orang. Dia dengan tenang menerimanya (keputusan).

"Sejurus itu abang saya mengajak dia pergi minum. Namun tiba-tiba kami terkejut, bila diberitahu abang saya telah ditikam," katanya kepada pemberita di Bilik Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Azlina berkata dia mula mengenali lelaki tersebut enam tahun lalu menerusi telefon, namun hubungan mereka terputus seketika ekoran kekangan kerja dan kembali berhubung rapat dua tahun lepas.

Beliau berkata hasrat untuk melangsungkan perkahwinan dengan lelaki berkenaan dibuat tahun ini selepas beberapa kali lelaki itu menangguh perkara tersebut apabila diajak berkahwin sejak tahun lepas.

"Abang saya sebelum ini ada memaklumkan bahawa bakal suaminya itu telah berkahwin, namun saya enggan mempercayainya lantas saya membuat keputusan untuk menyemak statusnya," katanya.

Anak keenam daripada sembilan adik beradik ini berkata bakal suaminya itu adalah seorang yang berperwatakan lembut dan sentiasa prihatin, namun tidak menyangka dia bersikap seperti itu.

"Saya harap dia ditangkap segera sebab jika dia boleh lakukan perkara itu pada abang saya, mungkin juga dia boleh lakukan benda yang sama pada saya dan ahli keluarga saya yang lain.

"Sebelum ini abang saya selalu menasihatinya dan meminta saya agar membuat keputusan yang tepat. Abang juga seorang yang sangat bertanggungjawab. Saya sangat terkilan disebabkan saya, abang saya yang menjadi mangsa," katanya.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, mangsa ditikam sebanyak enam kali dengan pisau.

Suspek kemudian melarikan diri bersama seorang rakannya dengan kereta.

Sumber: Bernama | 16 Oktober 2016

Polis minta jangan lindung suspek bunuh bakal abang ipar di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Pihak polis meminta orang ramai agar tidak melindungi suspek yang sedang diburu berhubung kes pembunuhan seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di tempat letak kereta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu (Maidam) di sini pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap individu yang berbuat demikian.

Beliau berkata polis sedang memburu suspek berusia 29 tahun itu, yang berasal dari Manir, kerana dipercayai menikam Mohd Shukri Husin, 34, sebanyak enam kali sehingga maut.

Kejadian bermula apabila mangsa dari Kelantan datang bersama keluarganya ke pejabat Maidam bagi menyemak status suspek yang mendakwa dia masih bujang untuk berkahwin dengan adik mangsa.

Apabila tembelang sebenar suspek diketahui, berlaku pertengkaran dan pergaduhan antara suspek dan mangsa hingga membawa kepada pembunuhan mangsa.

Wan Abd Aziz berkata pihaknya telah melakukan pemeriksaan di beberapa lokasi yang sering dikunjungi mangsa termasuk di rumah anggota keluarganya.

Beliau berkata Ops Tutup turut dilancarkan bagi mengesan suspek dan seorang lagi rakannya.

Suspek dipercayai telah bersedia dengan pisau yang dibalut dengan kertas surat khabar dan disimpan di dalam poketnya, katanya.

Sumber: Bernama | 16 Oktober 2016

Pegawai JPJ maut ditikam di Kuala Terengganu tidak sempat timang anak sulung


TUMPAT: Hasrat seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Mohd Shukri Hussin, 34, untuk menimang cahaya mata sulungnya tidak kesampaian apabila beliau maut ditikam bakal adik iparnya di Kuala Terengganu pada Ahad.

Isterinya Noriah Lah, 34, kini sarat mengandung dan dijangka bersalin bulan depan.

Ketika ditemui pemberita di rumah mentuanya di Kampung Kok Keli 2 di sini, Noriah berkata arwah suaminya adalah seorang yang baik hati dan amat sukakan kanak-kanak kerana belum mempunyai anak sendiri biarpun sudah empat tahun berkahwin.

Beliau berkata beliau hanya mengetahui kejadian yang menimpa suaminya selepas seorang rakan menunjukkan gambar seorang lelaki dalam keadaan berdarah selepas dikatakan terbabit dalam pergaduhan.

"Saya yang melihat gambar tersebut melalui WhatsApp mendapati mangsa berdarah dan dipercayai sudah meninggal dunia itu rupa-rupanya adalah suami saya sendiri," katanya.

Suaminya dilapor ditikam sebanyak enam kali di tempat letak kereta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu (Maidam) pagi tadi.

"Walaupun sedih atas apa yang berlaku, namun saya reda kerana menganggap ia adalah ketentuan Ilahi," kata Noriah.

Polis sedang memburu suspek kes itu yang berusia 29 tahun dan berasal dari Manir.

Kejadian bermula apabila mangsa dikatakan datang bersama keluarganya ke pejabat Maidam bagi menyemak status suspek yang mendakwa dia masih bujang untuk berkahwin dengan adik mangsa.

Setelah status sebenar suspek diketahui, berlaku pergaduhan antara suspek dengan Mohd Shukri hingga membawa kepada pembunuhan mangsa.

"Setahu saya, bakal suami adik ipar saya itu dikatakan sudah berkahwin dan mempunyai anak, tetapi adik ipar saya tidak mengetahui perkara ini," katanya.

Jenazah Mohd Shukri dijangka tiba di kampungnya malam ini untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kok Keli.

Sumber: Bernama | 16 Oktober 2016

Kematian pegawai kastam, Mat Yeh dicari

KOTA BHARU: Seorang lelaki yang dikenali sebagai 'Mat Yeh' sedang dicari bagi membantu siasatan kes kematian seorang pegawai kastam yang dirempuh di Pasir Mas pada 7 Okt lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Din Ahmad berkata Mat Yeh atau nama sebenarnya Mohd Nawawi Husin, 34, beralamat di Kampung Bukit Lata, Pasir Mas.

"Namun siasatan yang dilakukan di alamat itu mendapati rumah berkenaan tidak berpenghuni," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini Ahad.

Pegawai wanita berkenaan Anisah Ali, 54, meninggal dunia pada 8 Okt lalu selepas beliau koma apabila kenderaan yang dinaikinya dirempuh kenderaan tonto sehari sebelum itu di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas.

Kejadian berlaku ketika beliau bersama dua rakannya sedang mengekori sebuah kenderaan yang disyaki membawa rokok seludup.

Sumber: Bernama | 16 Oktober 2016

Pembukaan kilang pembungkusan minyak masak buka peluang pekerjaan kepada penduduk Jeli dan Tanah Merah

TANAH MERAH: Pembukaan kilang pembungkusan minyak masak bersubsidi Menara One Plantation di Kompleks Perniagaan Tok Wan Mat Bukit Bunga menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar jajahan Jeli dan Tanah Merah.

Presiden Menara One Group Of Company Wan Ahmad Shaifuddin Ibrahim berkata kilang itu dibuka selepas menyahut cadangan anggota Parlimen Jeli merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pembukaan kilang ini juga penting kerana secara tidak langsung akan menarik perhatian pelabur lain untuk melabur di daerah ini, katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Kilang Pembungkusan Minyak Masak Menara One Plantation dirasmikan Mustapa pada 9 Okt lepas.

Wan Ahmad Shaifuddin berkata syarikat itu perlu membungkus 200 tan minyak masak untuk diagihkan kepada pemborong yang akan menjualnya pada harga RM2.50 sebungkus kepada pengguna.

Sumber: Bernama | 16 Oktober 2016

Kerajaan terus cakna pembangunan Islam di negara ini - Asyraf Wajdi

Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
PASIR PUTEH: Pembangunan Islam di negara ini yang terus diperkasa dari semasa ke semasa menjadi cerminan kerajaan yang tidak pernah lari daripada tanggungjawab, sekali gus menangkis dakwaan ia tidak cakna kepada pembangunan Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata komitmen itu dapat dilihat termasuk melalui pelbagai program dan peruntukan yang disalurkan kepada jabatan dan agensi berkaitan.

"Sejak selepas kemerdekaan, usaha kerajaan dalam mendaulatkan agama dapat dilihat melalui perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan. Ia juga membolehkan kerajaan memperuntukkan sejumlah kewangan untuk pembangunan Islam dan disusuli pelbagai program dan peruntukan berterusan sehingga kini," katanya selepas majlis penyampaian zakat kepada 220 petani di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Cherang Rotan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kelantan Ab Halim Mohamad dan Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Tengku Husim Tengku Ab Rahman.

Asyraf Wajdi berkata antara usaha kerajaan dalam membangunkan Islam termasuk memperuntukkan RM515 juta setahun kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membayar gaji kepada 14,234 orang imam, selain guru takmir dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara.

Beliau berkata kesungguhan dan iltizam kerajaan dalam pembangunan Islam juga diterjemah melalui pelantikan lebih 58,000 guru pendidikan Islam di bawah Kementerian Pendidikan selain mewujudkan hampir 400 sekolah agama yang sebahagian besarnya dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Sumber: Bernama | 16 Oktober 2016