Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 4 September 2014

Kes dadah di Kelantan catat peningkatan ketara

Gimik pelancaran yang disempurnakan oleh Mazlan (empat, kiri) bersama pegawai-pegawai kanan dari setiap daerah.
KOTA BHARU: Jumlah tokan pembekal dadah di negeri ini terus bertambah apabila kes membabitkan jenayah pengedaran dadah meningkat sebanyak 48 peratus dalam tempoh Januari hingga Ogos, tahun ini.

Jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 19 kes iaitu daripada 40 jumlah kes dalam tempoh sama dicatatkan tahun lalu melonjak kepada 59 kes untuk tempoh sama, pada tahun ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, walaupun jumlah kes pengedaran dadah tersebut meningkat, pihaknya juga berusaha gigih untuk membanteras jenayah terbabit.

Katanya, hal itu terbukti dengan peningkatan jumlah tangkapan sebanyak 65 peratus kes membabitkan tokan dadah iaitu meningkat daripada 62 kepada 102 tangkapan.

“Kesemua tangkapan ini membabitkan aktiviti pengedaran dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala bagi bekalan dadah mengikut Seksyen 39A(2) ADB 1952 pula, juga meningkat daripada 23 kepada 39 kes tahun lalu dengan 43 kepada 62 tangkapan, tahun ini.

“Bagi jumlah bekalan mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952, sebanyak 253 kes dicatatkan, tahun ini berbanding 192 kes, tempoh sama tahun lalu. Tangkapan pula meningkat iaitu 357 tangkapan berbanding 294, pada 2013,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, pagi tadi.

Mazlan ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Pelancaran Pasukan Petugas Khas Polis Diraja Malaysia Kontinjen Kelantan. Turut sama menghadiri majlis itu ialah Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Rosli Abd Rahman, pegawai-pegawai kanan dari setiap daerah dan pegawai awam serta anggota.

Seramai 18 pegawai dari pelbagai jabatan dinaikkan pangkat daripada Asisten Superintendan kepada Deputi Superintandan termasuk seorang pegawai yang sudah bersara iaitu, Deputi Superintandan Mohd Shaffei Md Noor, manakala anggota-anggota Pasukan Petugas Khas dari tiga jabatan iaitu Jabatan Siasatan Jenayah; Narkotik dan Cawangan Trafik, pula menerima sijil perlantikan.

Mazlan berkata, kesemua jumlah bekalan itu menjadikan angkat keseluruhan kes pada tahun ini ialah 351 berbanding 225, tahun lalu dan 521 jumlah tangkapan berbanding 294 tahun 2013.

“Sementara bagi jumlah pemilikan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 ADB 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, jumlah keseluruhan kes pada tahun ini ialah 1,504 dengan 2,011 tangkapan berbanding 1,270 kes dan 1,781 tangkapan, tahun 2013.

“Jumlah permintaan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Dadah (R&P) 1983 berjumlah 7,340 kes dan tangkapan tahun 2013 menurun kepada 6,304 kes dan tangkapan, tahun ini, manakala jumlah kes pencegahan pula meningkat daripada 45 kes dan tangkapan kepada masing-masing 89 kes dan tangkapan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat 16 kes membabitkan anggota berusia 20-an dan ke atas yang dipercayai terbabit dengan gejala penagihan dadah.

“Kesemua ini akan diambil tindakan tegas kerana kami tidak mahu imej polis tercemar daripada jumlah segelintir mereka ini. Walaupun jumlah tersebut hanya kira-kira satu peratus daripada keseluruhan jumlah anggota, namun kes mereka dipandang serius dan perlu dibawa ke mahkamah, tukar atau buang kerja,” katanya.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 3 Sept. 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan