Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 22 September 2014

RTC Kelantan penuhi keperluan pengguna

Kompleks Pejabat Fama Wilayah Timur 1 di Bandar Baharu Tunjong, Kota Bharu yang turut menempatkan RTC Kelantan.
KOTA BHARU: Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan, di Tunjong di sini menyaksikan kira-kira 2.2 juta pengunjung dan nilai jualan sebanyak RM145 juta dalam tempoh enam bulan pertama 2014.

Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan memandangkan jumlah pengunjung pada 2013 adalah 2.5 juta orang dan nilai jualan pula berjumlah RM217 juta.

RTC ini yang dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada Mei 2012, terletak di kawasan seluas 20.8 hektar di Tunjong di sini, diuruskan sepenuhnya oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Selain memudahkan rakyat berurusan dengan agensi-agensi kerajaan - Fama, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, TEKUN Nasional, Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Pejabat Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Klinik Bergerak 1 Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, dan klinik gigi bergerak - mereka juga boleh membeli barangan keperluan dengan harga berpatutan di situ.

RTC ini menyediakan pelbagai barangan keperluan harian dan merupakan tempat 643 peniaga mencari rezeki.

PENGALAMAN MEMBELI BELAH YANG MENGUJAKAN

Turut disediakan adalah tapak pembidaan ternakan, tapak florikultur, surau, medan selera, gelanggang futsal dan 1,200 ruang parkir percuma.

"Saya suka membeli barangan keperluan harian di sini, terutama sayur-sayuran dan hasil laut kerana ia segar dan harganya yang rendah," kata Noraini Hamid, 48, suri rumah dari Kampung Kubang Bunut di sini, ketika ditemui di RTC itu.

Beliau berkata ruang niaga yang luas dan berbumbung memberi keselesaan kepada pengunjung manakala peniaga yang ramai memberi banyak pilihan kepada pembeli.

"Mereka yang berkunjung ke sini juga boleh membuat urusan lain seperti membayar bil elektrik, air dan telefon serta mendapatkan khidmat perbankan, secara tidak langsung ini menjimatkan masa kita," katanya.

Kewujudan RTC ini memberi limpahan rezeki kepada petani terutama mereka yang menyertai program ladang kontrak Fama kerana hasil tani mereka dipasarkan terus ke RTC itu.

Seorang penanam buah-buahan dan sayuran, Mohamad Ibrahim, 49, dari Bunohan, Tumpat berkata pihak Fama membeli hasil tanaman pada harga semasa dan memasarkannya di RTC.

"Dengan adanya RTC ini kami tidak perlu bimbang lagi soal tempat untuk menjual hasil tanaman," katanya.

Bercakap kepada Bernama di sini, Pengarah Fama Wilayah Timur 1, Mohd Ariffin Awang berkata berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran nilai jualan pada 2014 iaitu RM220 juta.

LEBIH BANYAK KEMUDAHAN MENANTI

Dalam tempoh tiga tahun akan datang, Fama mensasarkan sebanyak 90 peratus bekalan buah-buahan dan sayuran tempatan dapat menguasai jualan di RTC, katanya.

Mohd Ariffin juga berkata RTC itu turut mempunyai kawasan lapang yang luas yang sering digunakan oleh pelbagai pihak untuk menganjurkan acara yang melibatkan ribuan orang.

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) Wilayah Timur telah memilih RTC ini untuk dijadikan hentian sementara bagi bas ekspres tambahan dan bas sewa khas di Kelantan mengambil dan menurunkan penumpang sempena perayaan Aidilfitri lepas.

Beliau berkata Fama bakal membina sebuah bangunan baharu untuk dijadikan medan selera yang menempatkan 14 lot niaga untuk kemudahan peniaga, penjawat awam dan swasta yang bertugas di situ serta pengunjung menjamu selera.

Tanpa menyebut kos, beliau berkata bangunan baharu itu akan mula dibina hujung tahun ini dan dijangka siap suku pertama tahun depan.

Sumber: Bernama | Rencana | 22 Sept. 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan