TUMPAT: Pengalaman tidak dibenarkan menaiki pesawat komersial untuk ke
China dua tahun lalu gara-gara membawa sebotol budu berjaya memberi
inspirasi kepada pengusaha makanan berkenaan, Mat Ismail Jusoh, 63 untuk
mengkomersialkan produk keluarannya.
Jika sebelum ini kilangnya yang terletak di Kampung Ketil, Pengkalan
Kubor di sini hanya mengeluarkan produk budu dalam botol, kini selepas
melalui transformasi, pakej baru budu berasaskan kiub berjaya
dihasilkan.
"Nampak lebih cantik, boleh bawa ke mana-mana termasuk ke luar
negara. Dulu Pak Cik susah nak bawa (budu dalam botol) ke luar negara,
pernah kena tahan masa nak pergi ke China sebab bawa budu.
"Daripada situ (peristiwa dilarang menaiki pesawat komersil), Pak Cik
dapat idea macam mana nak komersilkan produk terbaru ini," katanya
ketika ditemui media di kilangnya di sini, hari ini.
Memulakan perniagaan berkenaan secara kecil-kecilan pada 1984, kini,
bapa kepada lapan anak ini boleh berasa bangga atas usahanya apabila
hasil jualan budunya bukan saja mendapat permintaan tinggi dalam negara,
malah akan dieksport ke luar negara dalam tempoh terdekat.
Mat Ismail mengakui, permintaan dalam negara terutama dari Terengganu
dan Kuala Lumpur sangat menggalakkan, selain masyarakat setempat.
Beliau berkata, kira-kira 5,000 dozen atau 60,000 botol budu
dihasilkan kilangnya setiap hari, dengan jumlah keluaran tahunan
mencecah lebih 10 juta botol.
"Sekarang di kilang ini ada 80 pekerja yang hari-hari buat budu.
Perniagaan ini juga berjaya membantu masyarakat setempat terutama anak
muda mencari rezeki dan pendapatan," katanya.
Dua produk utama dihasilkan kilang Mat Ismail iaitu budu botol
pelbagai perisa yang dijual pada harga RM10 bagi setiap dozen atau
RM0.80 sebotol serta kiub budu atau pati ikan bilis pada harga RM13 bagi
setiap dozen atau RM1 untuk satu kiub.
Terdahulu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri
Mustapa Mohamed melakukan lawatan ke kilangnya sempena Majlis Perasmian
Pelancaran produk baru budu Cap Ketereh keluaran kilang Mat Ismail, di
sini.
Pekerja-pekerja Perusahaan Warisan Ketereh menyiapkan botol-botol yang telah diisi dengan budu sebelum dilabelkan dan dihantar ke pengusaha kedai makan dan kedai runcit. - Foto BERNAMA |
Menceritakan rahsia kejayaannya, Mat Ismail atau nama gelarannya Pok
Wil di kalangan penduduk setempat berkata kerja kuat, jujur, tidak
sombong dan amanah menjadi resipi kejayaan beliau selama ini.
Bagi memastikan produknya kekal lama, Pok Wil berkata bahan utama
iaitu ikan bilis perlu dipastikan segar sebelum diproses bersama garam,
cili, asam jawa dan air manisan untuk menjadi budu.
Dalam pada itu, Mustapa yang ditemui media sebelum itu memaklumkan
kementeriannya sedang berusaha membantu perniagaan Mat Ismail dalam
memasarkan produk berkenaan ke beberapa negara termasuk Arab Saudi,
Dubai serta Singapura, termasuk sedia menyediakan pinjaman melalui SME
Bank.
Sumber: Berita Harian | Bisnes | 20 Sept. 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan