Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 17 Disember 2014

RTC Kelantan catat nilai jualan RM265 juta

KOTA BHARU: Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di Tunjong di sini, mencatat nilai jualan sebanyak RM265 juta tahun ini sehingga November lepas.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Wilayah Timur 1 Mohd Ariffin Awang berkata nilai jualan itu termasuk sumbangan oleh 623 peniaga runcit dan borong melibatkan sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan daging.

Penganjuran 140 program seperti Karnival RTC Kelantan, Pesta Orkid dan Flora Kelantan 2014, dan Minggu Saham Amanah Malaysia 2014, turut menyumbang  kepada nilai jualan tersebut, katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Mohd Ariffin menjangka RTC itu boleh mencapai nilai jualan sehingga RM280 juta pada akhir tahun ini berbanding RM215 juta tahun lepas, berikutan pengunjung yang  sentiasa ramai.

Beliau berkata seramai 3.8 juta orang telah berkunjung ke RTC itu tahun ini sehingga bulan lepas berbanding 2.5 juta orang sepanjang tahun lalu.

"Ini menunjukkan masyarakat tempatan dan luar negeri ini memberi sambutan yang baik terhadap kewujudan RTC ini dan mereka suka membeli-belah di sini kerana  harga yang ditawarkan berpatutan," katanya.

Beliau berkata pada tahun depan, beberapa lagi kemudahan asas akan dibina termasuk medan selera.

Beliau berkata pada tahun depan, sebanyak 150 program dirancang dianjurkan oleh pelbagai agensi dan jabatan termasuk enam acara oleh Fama.   

Di RTC ini juga orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh beberapa jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pengangkutan Jalan. 

Sumber: Bernama | 16 Disember 2014

Isnin, 8 Disember 2014

PKINK bina lebih banyak rumah mampu milik dan beberapa projek penting lain di Kelantan

KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) akan membina 500 buah rumah mampu milik dengan jumlah pelaburan RM43 juta di beberapa kawasan di negeri Kelantan dan dijangka siap pada 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Dr Wan Zawawi Wan Ismail berkata, projek rumah mampu milik itu dilancarkan beberapa bulan lepas, sudah 10 peratus dalam proses pembinaan.

Menurutnya, PKINK akan membina 300 rumah kos sederhana di seluruh Kelantan dan pangsapuri servis yang dijangka siap menjelang akhir tahun depan.

PKNIK akan membangunkan projek ‘waterfront’ (pesisir air) di Kota Bharu dengan pelaburan RM200 juta dan dijangka siap pada 2017 serta Tok Bali Marine Township. PKINK merancang membangunkan Bandar Baharu Sungai Terah yang dalam perbincangan akhir bersama pemaju.

PKINK juga dalam perbincangan peringkat akhir bersama Kementerian Kewangan untuk membina Pusat Transformasi Bandar (UTC) di KB Cyber Plaza, Kota Bharu.

Pembinaan tersebut melibatkan RM43 juta. Ia dijangka beroperasi pada Julai 2015,” katanya yang berkunjung ke Kompleks Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), kelmarin.

Sumber: Sinar Harian | 7 Disember 2014

PERBADANAN KEMAJUAN IKTISAD NEGERI KELANTAN | PKINK | PROJEK RUMAH MAMPU MILIK | KOTA BHARU WATERFRONT | TEBINGAN KOTA BHARU | PUSAT TRANSFORMASI BANDAR (UTC) KOTA BHARU | KB CYBER PLAZA

Kencing Tikus: Elak mandi di kawasan air terjun

ALOR SETAR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mandi di kawasan air terjun di Kedah buat sementara ini berikutan peningkatan kes jangkitan kencing tikus yang boleh menyebabkan maut.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan Kedah Datuk Dr Leong Yong Kong berkata kes jangkitan kencing tikus atau leptospirosis semakin banyak dikesan di kalangan mereka yang pernah mengunjungi kawasan air terjun.

"Buat masa sekarang, saya nasihatkan orang ramai supaya elakkan daripada mandi di kawasan air terjun.

"Jika hendak mandi, mereka boleh ke hotel-hotel yang menyediakan kolam renang yang kebersihan sentiasa dipantau," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dr Leong berkata kes ini semakin menjadi sejak tiga tahun kebelakangan ini dan banyak aspek yang boleh menjadi penyumbang kepada perkara ini.

"Sejak kebelakangan ini sering berlaku hujan lebat dan banjir kilat jadi kita tidak tahu bahan apa yang telah mencemari air itu dan keadaan cuaca ini boleh menjadi salah satu punca kepada penyebaran virus kencing tikus," katanya.

Beliau berkata jumlah pengunjung ke kawasan air terjun semakin bertambah dan ini sekaligus telah menyebabkan jumlah sampah (sisa makanan) yang dibuang semakin bertambah, yang menjadi punca kehadiran semakin banyak tikus.

"Binatang-binatang seperti tikus yang sebelum ini mencari makan di dalam hutan akan keluar untuk mencari sisa-sisa makanan yang ditinggalkan pengunjung," kata beliau.

Katanya masalah berkaitan tikus ini tidak dapat dielakkan dan ini boleh dilihat pada jumlah tikus yang berkeliaran di kawasan-kawasan medan selera.

Beliau berkata virus kencing tikus ini akan menjadi cabaran besar kepada negeri Kedah.

Perbincangan akan dijalankan bersama Jabatan Kesihatan dan Jabatan Perhutanan bagi menangani masalah ini, kata Dr Leong.

Dua hari lepas, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dari Taman Pinang Merah, Bukit Pinang dekat sini, Amirah Maisarah Zir Omar Khan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), disyaki akibat jangkitan kencing tikus.

Difahamkan kanak-kanak itu dan dua adik perempuannya serta ibu bapa mereka telah pergi ke sebuah pusat rekreasi air di Yan untuk mandi-manda.

Adik mangsa, Nur Syazana, 5, disahkan positif jangkitan kencing tikus oleh sebuah pusat perubatan swasta dan masih dirawat di HSB manakala seorang lagi adiknya, Zaharah Alisa, 3, dan ibu mereka Siti Zaleha Ramlan, 32, mengalami demam.
Sementara itu, sampel darah Amirah Maisarah dihantar ke makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kuala Lumpur untuk dibuat ujian pengesahan jangkitan leptospirosis.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata keputusan ujian pengesahan itu akan diketahui dalam tempoh seminggu.

Katanya, dua lagi adik mangsa, Nur Syazana, 5, dan Zaharah Alisa, 3, masih dirawat di HSB kerana mengalami simptom demam yang sama seperti arwah kakak mereka.

"Adik mangsa yang berusia lima tahun yang mengadu demam, batuk, selesema dan muntah kini dirawat di wad kanak-kanak HSB dan berada dalam keadaan stabil setelah diberi rawatan antibiotik," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, ujian darah Nur Syazana yang sebelum ini disahkan positif jangkitan kencing tikus oleh sebuah pusat perubatan swasta adalah "inconclusive" dan telah dihantar ke IMR untuk pengesahan.

"Adik mangsa yang berusia tiga tahun juga sedang dirawat di hospital yang sama kerana mengalami demam panas dan rawatan antibiotik telah mula diberikan.

"Ujian awal menunjukkan Zaharah Alisa dijangkiti leptospirosis dan sampel darah turut dihantar ke IMR untuk ujian pengesahan".

Sumber: mStar Online | 7 Disember 2014

Tok Bali bakal jadi pangkalan bekalan bagi aktiviti sokongan sektor minyak dan gas

KOTA BHARU: Pelabuhan Tok Bali di Pasir Puteh bakal berkembang setapak lagi apabila ia dicadangkan menjadi pangkalan bekalan aktiviti sokongan luar pesisir dalam sektor minyak dan gas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini kerana Tok Bali mempunyai potensi besar sebagai pangkalan bekalan itu selepas Kemaman, Terengganu.

"Kita difahamkan Kemaman begitu pesat membangun dan padat untuk penambahan lain dan sebab itu Tok Bali mempunyai daya tarikan bagi dijadikan pangkalan sokongan ini.

"Ini kerana aktiviti carigali minyak dan gas di sempadan yang dekat dengan Tok Bali, membuatkan Tok Bali sesuai dijadikan pangkalan baharu," katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam meraikan 44 delegasi mewakili 29 syarikat minyak dan gas di sini, Sabtu malam.

Majlis itu adalah anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Mustapa berkata, Tok Bali yang terletak di lokasi strategik dengan Terminal Bekalan Pukal dan Pangkalan Bekalan Tok Bali bakal menawarkan penjimatan kos memandangkan ia berhampiran lapangan minyak dan gas yang baharu.

Menurutnya, jika pangkalan bekalan itu menjadi realiti, peluang pekerjaan yang banyak akan terhasil dan ia juga akan menarik minat syarikat multinasional seperti Murphy Oil, Exxon-Mobil, Petronas, Haliburton dan Scomi.

"Syarikat tempatan juga berpeluang mengambil bahagian menyediakan perkhidmatan kepada syarikat multinasional terutama di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand," katanya.

Beliau juga berkata, lawatan delegasi itu ke Tok Bali hari ini diharap dapat menarik minat mereka seterusnya bersetuju untuk menjadikan kawasan itu sebagai pangkalan bekalan baharu.

"Tetapi kita juga perlu melihat dari sudut sumber manusia dan industri sokongan yang perlu ada iaitu perusahaan kecil dan sederhana," katanya.

Mustapa berkata, kedatangan delegasi itu adalah usaha berterusan Jawatankuasa Khas Pelaburan Negeri Kelantan bagi membantu membawa pelabur ke Kelantan.

Katanya, Kelantan menerima kemasukan pelabur yang sedikit kerana kekurangan infrastruktur seperti jalan raya dan sebagainya.

"Setahun dua ini sudah ada yang berminat seperti tiga syarikat yang bakal membina kilang simen di negeri ini," katanya.

Sebelum ini jawatankuasa berkenaan membawa beberapa pelabur dari Korea dan Singapura untuk meninjau potensi pelaburan di negeri ini.

Sumber: Bernama | 7 Disember 2014

Atap Senggora masih menjadi pilihan

KOTA BHARU: Atap senggora yang juga dikenali sebagai atap bata dan pernah popular sekitar era tahun 70-an, kini masih mendapat tempat di hati masyarakat bagi pembinaan rumah atau gazebo.

Ketika itu, atap senggora banyak digunakan dalam pembinaan rumah khususnya daripada binaan kayu di seluruh Kelantan dan Terengganu selain di Selatan Thailand.

Atap daripada tanah liat ini, pada asalnya diperkenal dan dibawa masuk dari Singgora (Songkhla), sebuah wilayah di Segenting Kra, Selatan Thailand namun teknik pembuatannya telah tersebar ke Kelantan dan Terengganu yang kini kekal mendapat sambutan penduduk setempat.

Bagaimanapun dek perubahan dan pengenalan teknologi baharu yang moden dalam pembinaan rumah yang lebih cepat dan kos efektif, atap senggora tidak lagi mendapat sambutan seperti dahulu.

Namun, bagi pengusaha atap itu, Noraini Jusoh, 48, permintaan terhadap seramik tradisional itu meningkat sejak lima tahun kebelakangan ini.

"Atap ini kembali menjadi perhatian apabila ramai pengusaha resort menggunakan atap ini di rumah tumpangan mereka. Ia bergantung kepada kreativiti yang digunakan pengusaha resort untuk menghasilkan reka bentuk dan konsep tradisional di resort mereka.

"Saya turut terima tempahan daripada orang perseorangan yang bukan sahaja dari Kelantan tetapi juga Terengganu dan Kuala Lumpur," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Festival Kraf Kelantan 2014, di Pintu Kota Sultan Ismail Petra (Dataran al-Quran) di sini, Ahad.

Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata sejak berkecimpung sepenuhnya dalam bidang pembuat atap lebih 30 tahun lalu, permintaan terhadap penggunaan atap itu mempunyai pasang surut, namun tetap mempunyai permintaan.

"Kalau dahulu, orang buat rumah, bina pejabat tidak ada konsep berbanding hari ini, mereka inginkan konsep Bali, konsep Inggeris dan lain-lain," katanya.

Noraini berkata atap senggora yang berharga RM0.60 sekeping itu diproses menggunakan tulang empat kerat, diuli dan ditekap dalam acuan yang dikenali sebagai sarang bata.

"Ia perlu menggunakan kekuatan kaki untuk menguli tanah liat dan seterusnya menghasilkan kepingan atap yang kemudian akan dikumpul sehingga 40,000 keping sebelum dibakar.

"Kita mengambil masa 10 hari untuk bakar dan 10 hari untuk disejukkan kepingan atap itu," katanya yang mempunyai 16 pekerja di bengkel membuat atap miliknya di Kampung Beris Kubor Besar di Bachok.

Noraini yang merupakan generasi kelima dalam pembuatan kraftangan itu berkata pembuatan atap ini memberi cabaran besar buat diri dan keluarganya kerana pasaran tidak menentu, selain penggunaan kaedah tradisional dalam penghasilan setiap keping atap senggora.

"Tetapi sejak mendaftar di bawah usahawan Kraftangan Malaysia ini banyak keistimewaan dan bantuan disediakan kerajaan dalam memperkembangkan seramik tradisional ini.

"Selain menerima jemputan pada pameran festival di seluruh negara, saya juga dibantu dari segi penyediaan bengkel pembuatan dan diberi khidmat nasihat dalam memasar dan mempromosikan produk," katanya.

Katanya pihak kraftangan juga menyediakan mesin pembakar yang dapat menjimatkan tempoh pembakaran kepada hanya lapan jam.

Sumber: Bernama | 7 Disember 2014 | Oleh Rosmawati Zawawi

Rabu, 3 Disember 2014

Taman Negara Kelantan terancam akibat kerakusan

GUA MUSANG: Pusat pelancongan terkenal di Kelantan, Taman Negara Kelantan di Kuala Koh di sini, dibimbangi berdepan dengan kemusnahan akibat pembukaan ladang kelapa sawit secara meluas di kawasan bersempadan taman negara itu sejak setahun lepas.
Antara kemusnahan yang didakwa akibat aktiviti itu adalah berlakunya pencemaran sungai terutama apabila hujan lebat menyebabkan air berlumpur dari kawasan berkenaan mengalir ke sungai utama di Taman Negara Kuala Kelantan sehingga mengancam spesies ikan seperti kelah.
Selain itu, Orang Asli di kawasan itu turut mendakwa pembukaan ladang sawit itu menjejaskan mereka hingga pernah dihalau keluar dari kawasan itu kerana dianggap menduduki secara haram di Kampung Kuala Koh.
Pengusaha Pelancongan Taman Negara Kuala Koh, Nik Nora Nik Mohd Yussof berkata sejak kebelakangan ini, taman negara itu semakin kurang pengunjung terutama kaki pancing berikutan pencemaran sungai yang menjejaskan minat mereka memancing ikan.
Beliau berkata masalah itu beberapa kali dilaporkan kepada kerajaan negeri dan pihak berkaitan.
"Saya dukacita segala aduan yang dikemukakan tidak diendahkan oleh pihak berkenaan hingga Taman Negara Kuala Koh terus terdedah kepada kemusnahan berikutan berlaku hakisan hingga menyebabkan air sungai berkeladak.
"Perkara paling membimbangkan, pengusaha ladang sawit itu melakukan kerja membaja dan meracun yang boleh menyebabkan air hujan di kawasan ladang terbabit mengalir ke taman negara dan memusnahkan pelbagai spesies ikan sungai," dakwa beliau.
Nik Nora berkata taman negara itu sebelum ini tidak putus-putus dikunjungi pelancong sama ada dari dalam atau luar negara kerana tertarik dengan suasana keindahan kawasan berkenaan yang penuh kehijauan alam semula jadi di samping boleh menyusuri sungai untuk memancing.
Namun, kata beliau dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, mereka tidak berminat lagi untuk ke taman negara itu kerana keadaan tidak lagi seindah dulu.
"Pemandu pelancong juga terjejas teruk kerana berlaku kekurangan pelancong dan chalet juga di kawasan ini banyak yang kosong," katanya.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Kuala Koh, Hamdan Keladi, 46, berkata keluarga Orang Asli di kampung itu beberapa kali dihalau pemaju perladangan kerana kawasan itu sudah menjadi milik syarikat terbabit.
Bagaimanapun, kata beliau penduduk kaum itu tetap tidak akan berpindah kerana sudah lama tinggal di kampung berkenaan dan tidak ada tempat lain untuk dijadikan perkampungan baharu untuk penduduk Orang Asli.
"Kami telah tinggal di sini sebelum ladang itu dibuka, takkan kami hendak tinggalkan kampung ini semata-mata mengalah tindakan pemaju itu berulang kali menghalau kami semua," katanya.
Beliau berkata peluang penduduk Orang Asli untuk mencari sumber pendapatan hasil hutan termasuk rotan dan kayu gaharu juga teruk terjejas selepas kawasan itu ditebang untuk dimajukan sebagai ladang kelapa sawit.
Sumber: mStar Online | 3 Disember 2014

Selasa, 2 Disember 2014

Kelantan pertaruh lapan pemain baharu musim depan

Mohd Norfarhan Mohamad kembali beraksi untuk pasukan Kelantan pada musim 2015.
KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyenaraikan lapan muka baharu termasuk empat pemain import untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Presidennya Tan Sri Annuar Musa berkata pemain berkenaan adalah bekas penyerang Terengganu, Mohd Norfarhan Mohamad, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd Noor Hazrul Mustapha dari Perak serta pemain Harimau Muda A iaitu Mohd Ferris Danial Mat Nasir.

Sementara itu, empat pemain import terdiri daripada pemain Montenegro, Stefan Nikolic, dua bekas pemain kelab Persebaya Surabaya, Indonesia, Emmanuel Kenmogne dan Isaac Pupo serta pemain kelahiran Australia, Jonathan McKain.

Beliau berkata kehadiran pemain ini dapat memperkuatkan lagi pasukan Kelantan setelah bergelut dengan prestasi kurang memberangsangkan musim ini.

"Kita mempertaruhkan keyakinan tinggi dengan barisan pemain pada musim ini dan kita yakin jurulatih (George Boateng) mempunyai lebih banyak pilihan dalam kesebelasan utama," katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan pemain 'The Red Warriors (TRW) 2015' dan penyerahan bas KAFA di sini, pada Isnin.

"Pelbagai usaha dibuat untuk memantapkan lagi pasukan dan kita ingin jadi pasukan yang berada di kelompok teratas," katanya.

Annuar berkata pihaknya meletakkan sasaran sekurang-kurangnya berjaya merangkul sebuah piala dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

"Dalam saingan liga kita sasar untuk berada dalam kelompok empat terbaik manakala dalam saingan Piala FA atau Piala Malaysia kita harap dapat menjuarainya.

"Kita harap pemain dapat tunjukkan komitmen yang tinggi dan naikkan mutu permainan setanding dengan usaha yang dibuat oleh pengurusan," katanya.

Beliau berkata saingan Liga Malaysia musim depan dijangka sengit namun peluang untuk menjadi juara masih terbuka.

"Pasukan seperti Pahang, Terengganu, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan lain-lain sedang membuat persiapan dan ini merupakan liga yang paling sengit sejak saya menjadi presiden.

"Oleh sebab itu kita berbelanja besar untuk bersaing dan mencabar kejuaraan, ini kombinasi terbaik dalam pasukan Kelantan," katanya.

Sebagai rekod, pasukan Kelantan menduduki tangga keenam Liga Super musim ini dengan pungutan 31 mata selain mara ke peringkat separuh akhir Piala FA.

Mereka turut tersingkir daripada saingan Piala Malaysia selepas kalah agregat 3-4 kepada Kedah pada peringkat separuh akhir.

Pada majlis berkenaan, KAFA turut menerima sebuah bas dua tingkat yang bernilai RM300,000 daripada syarikat perkhidmatan bas ekspres Konsortium E-Mutiara Berhad.

Sumber: Bernama | 1 Disember 2014