Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 17 Disember 2014

RTC Kelantan catat nilai jualan RM265 juta

KOTA BHARU: Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di Tunjong di sini, mencatat nilai jualan sebanyak RM265 juta tahun ini sehingga November lepas.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Wilayah Timur 1 Mohd Ariffin Awang berkata nilai jualan itu termasuk sumbangan oleh 623 peniaga runcit dan borong melibatkan sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan daging.

Penganjuran 140 program seperti Karnival RTC Kelantan, Pesta Orkid dan Flora Kelantan 2014, dan Minggu Saham Amanah Malaysia 2014, turut menyumbang  kepada nilai jualan tersebut, katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Mohd Ariffin menjangka RTC itu boleh mencapai nilai jualan sehingga RM280 juta pada akhir tahun ini berbanding RM215 juta tahun lepas, berikutan pengunjung yang  sentiasa ramai.

Beliau berkata seramai 3.8 juta orang telah berkunjung ke RTC itu tahun ini sehingga bulan lepas berbanding 2.5 juta orang sepanjang tahun lalu.

"Ini menunjukkan masyarakat tempatan dan luar negeri ini memberi sambutan yang baik terhadap kewujudan RTC ini dan mereka suka membeli-belah di sini kerana  harga yang ditawarkan berpatutan," katanya.

Beliau berkata pada tahun depan, beberapa lagi kemudahan asas akan dibina termasuk medan selera.

Beliau berkata pada tahun depan, sebanyak 150 program dirancang dianjurkan oleh pelbagai agensi dan jabatan termasuk enam acara oleh Fama.   

Di RTC ini juga orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh beberapa jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pengangkutan Jalan. 

Sumber: Bernama | 16 Disember 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan