Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 15 Februari 2019

Pembinaan Kompleks Mahkamah Kota Bharu 'luar biasa' cepat

Rombongan Kementerian Kerja Raya diketuai Baru Bian bergambar di tapak projek Kompleks Mahkamah Kota Bharu di Bandar Baharu Tunjong, hari ini.
KOTA BHARU: Projek pembinaan Kompleks Mahkamah Kota Bharu di Bandar Baharu Tunjong, di sini, kini sudah mencapai 92 peratus dan kemajuannya dianggap luar biasa kerana berjaya mendahului jadual asal sebanyak 46 peratus atau 537 hari lebih awal.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, projek bernilai RM96.7 juta itu dikendalikan Cakna Enterprise Sdn. Bhd. dan kerja-kerja pembinaan telah bermula sejak 2 Jun 2016 dengan tarikh jangkaan siap pada 1 April 2020.

Katanya, kecemerlangan Cakna Enterprise dalam mengendalikan projek besar terbabit amat mengagumkan dan mereka wajar menjadi contoh kepada para pemaju lain.

"Ini adalah satu perkara yang luar biasa dan saya bila saya tanya apa rahsia, mereka memberitahu terdapat beberapa faktor dengan salah satunya ialah fokus sepenuhnya terhadap kerja serta memberi kerjasama baik kepada semua pihak terlibat," katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Baru meluangkan masa hampir sejam meninjau perkembangan projek tersebut sempena Siri Jelajah FTRoadPedia Zon Timur 2.0 Kementerian Kerja Raya yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Dalam program itu, rombongan Kementerian Kerja Raya meninjau dan membuat lawatan di tapak-tapak projek kerajaan Pusat di negeri ini, Terengganu dan Pahang dengan melalui jalan-jalan persekutuan.

Mengulas lanjut, Baru memberitahu, pembinaan Kompleks Mahkamah Kota Bharu yang baharu itu dibuat menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan bakal menempatkan tiga mahkamah tinggi, lima mahkamah sesyen dan lima mahkamah majistret.

"Pembangunan projek ini adalah untuk menggantikan Kompleks Mahkamah Kota Bharu lama yang mempunyai hanya dua mahkamah tinggi, tiga mahkamah seksyen dan tiga mahkamah majistret.

"Kompleks baharu ini bakal mewujudkan ruang lebih kondusif sekali gus menyumbang kepada perkhidmatan yang efisien dan mencapai sasaran produktiviti iaitu penyelesaian kes sivil dalam tempoh sembilan bulan dan kes jenayah dalam tempoh 12 bulan," katanya.

Katanya, kompleks yang terletak di atas tapak berkeluasan 2.7 hektar itu turut menempatkan 13 bilik bicara, 13 kamar hakim, pejabat pendaftaran, pentadbiran serta ruang pengurusan polis dan Orang Kena Tuduh (OKT).

Sumber: Utusan Online | 15 Februari 2019