Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 7 November 2013

Jambatan gantung akan dibina semula di Kg. Batu Papan

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan akan membina semula jambatan gantung yang runtuh di Kampung Batu Papan, Gua Musang ekoran arus deras Sungai Galas pada minggu lalu.
GUA MUSANG: Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan membina semula jambatan gantung yang runtuh di Kampung Batu Papan di sini ekoran arus deras Sungai Galas ketika kejadian banjir kilat pada minggu lalu.

Pengurus Besar Kesedar, Mohd. Arshad Ismail berkata, pihaknya dalam proses perbincangan untuk menentukan kos sebenar pembinaan jambatan gantung baharu itu.

Beliau mengakui jambatan gantung yang runtuh merentasi Sungai Galas menghubungkan dengan Gua Madu itu sedikit sebanyak menjejaskan perhubungan penduduk kampung terbabit walaupun ada laluan lain yang lebih selamat.

"Jambatan gantung yang runtuh itu tidak boleh dibaik pulih semula dan kita akan mencari peruntukan bagi membina jambatan baharu supaya dapat memberi keselesaan kepada penduduk," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Dalam kejadian banjir kilat Jumaat lalu itu, sebanyak 26 rumah di tiga buah kampung iaitu 18 rumah di Kampung Batu Papan, lima di Kampung Pulai dan dua di Kampung Kundur ditenggelami air, tetapi tidak ada mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan.

Banjir kilat itu berlaku akibat hujan lebat yang turun tanpa henti lebih enam jam bermula pukul 8 malam menyebabkan air Sungai Galas naik mendadak hingga kebanyakan penduduk terbabit tidak sempat berpindah.

Mohd. Arshad berkata, jambatan gantung yang runtuh itu juga sudah beberapa kali dibaik pulih sebelum rosak dilanda arus sungai berkenaan, tetapi kali ini runtuh terus dan tidak boleh lagi dibaik pulih.

Beliau berkata, sebagai sebuah agensi Kerajaan Pusat di Kelantan, Kesedar sentiasa memberi keutamaan dalam membangunkan rakyat khususnya bagi menyediakan kemudahan asas yang lebih sempurna.

"Kita juga menyampaikan bantuan makanan termasuk beras, sardin, gula dan susu kepada mangsa banjir itu bagi meringankan beban perbelanjaan mereka sebagaimana yang kita pernah berikan kepada mangsa banjir di tempat lain sebelum ini," katanya.

Beliau turut bersyukur kerana banjir kilat yang dianggap terbesar melanda tiga kampung terbabit tidak merosakkan rumah kediaman walaupun ada berlaku kerosakan ke atas harta yang lain.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 6 Nov. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan