Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 22 November 2013

Simpan pistol di dalam tin biskut

Jalaluddin (tengah) menunjukkan pistol yang ditemui sambil diperhatikan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng (kanan).
KOTA BHARU: Taktik licik satu kumpulan sindiket penyeludupan senjata api menyembunyikan pistol di dalam tin biskut terbongkar dengan penahanan lapan orang termasuk seorang wanita warga Indonesia di Tumpat, kelmarin.

Dua pucuk pistol bersama 11 peluru hidup itu ditemui di dalam tin biskut berbalut plastik yang disorokkan di dalam longkang berhampiran sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Kebun, Pengkalan Kubor.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, semua mereka ditahan dalam Ops Cantas Khas oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, antara jam 9.30 malam dan 3 pagi.

Katanya, lima daripada mereka ditahan menaiki sebuah kereta ketika melalui sekatan jalan raya Unit Pencegahan Penyeludupan di Neting, manakala tiga lagi ditahan di rumah tanpa nombor tersebut.

“Pihak polis menerima maklumat berhubung satu sindiket senjata api sebelum menahan empat lelaki dan seorang wanita, dipercayai anggota sindiket berkenaan. Berpandukan mereka, anggota dibawa ke sebuah rumah di Kampung Kebun dan di situ, ada tiga lagi yang lain.

“Pemeriksaan di dalam rumah tidak menemui apa-apa barang salah sebelum kelapan-lapan suspek menunjukkan lokasi senjata disorokkan iaitu di dalam longkang yang dipenuhi semak-samun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, semalam.

Berikutan kejayaan menahan kumpulan terbabit, polis yakin satu sindiket yang dipercayai menyeludup senjata api dari negara jiran untuk dipasarkan di nagara ini dapat dilumpuhkan.

“Kesemua mereka kini ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

“Selain pistol, turut dirampas parang sepanjang 41 sentimeter yang dijumpai di bawah tempat duduk pemandu. Kesemua mereka negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta tidak mempunyai pekerjaan tetap,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 22 Nov. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan