Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 18 Mac 2018

Peruntukan RM500,000 naik taraf Masjid Mukim Pulau Lima

PASIR PUTEH: Kerajaan Persekutuan hari ini meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk menaik taraf Masjid Mukim Pulau Lima di sini.

Imam tua masjid berkenaan, Abdul Ghafar Awang, 81, berkata berita gembira itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meluangkan masa untuk solat Jumaat di masjid berkenaan selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya ke-14 (PRU14) Parlimen Pasir Puteh di Kompleks UMNO Uthmaniyah di sini, hari ini.

"Antara naik taraf yang akan dilakukan ke atas masjid ini ialah menyiapkan pembinaan menara dan memperbesar ruang solat berikutan pertambahan penduduk," katanya ketika ditemui pemberita selepas solat Jumaat di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan kerja selama sehari ke Kelantan hari ini menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan yang diimamkan Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh Suhaidi Ismail.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut mengambil kesempatan membaca khutbah pada solat berkenaan.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman.

Mengulas lanjut, Abdul Ghafar berkata projek naik taraf masjid berkenaan akan dilaksanakan secepat mungkin bagi memberi keselesaan kepada kira-kira 1,000 jemaah yang tinggal di beberapa kampung dalam mukim berkenaan.

"Syukur dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang sentiasa mengambil berat mengenai pembangunan syiar Islam," katanya.

Sumber: Bernama | Berita Timur | 16 Mac 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan