Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustafa berkata, projek yang dijangka dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) itu memendekkan masa perjalanan dan mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas terutama setiap kali menjelang musim perayaan.

“Saya yakin pembinaan lebuh raya itu akan memberi kemudahan kepada orang ramai seperti yang diharapkan sebelum ini.

“Bagaimanapun penduduk perlu bersabar dan menikmati pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Ke 33 di Sekolah Kebangsaan (SK) Gua Musang, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Galas, Ab. Aziz Yusoff merangkap Yang Dipertua PIBG SK Gua Musang.

Makhtar berkata, rakyat di negeri ini tidak perlu berasa terpinggir kerana Kerajaan Persekutuan sentiasa merancang dan melaksanakan pelbagai projek yang memberi manfaat kepada mereka.

“Di Gua Musang contohnya, pembangunan semakin rancak dilakukan. Antaranya, 1,000 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dibina untuk penduduk setinggan.

“Malah, Sekolah Menengah Sains Gua Musang dan Projek Agropolitan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang sudah memberi manfaat kepada lebih 1,000 orang golongan miskin tegar,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Kelantan | 19 November 2014