![]()  | 
KOTA
 BHARU: Semua pihak disaran agar mengambil iktibar daripada kejadian 
banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands dan tidak membiarkan 
perkara sama berulang di Tanah Tinggi Lojing, Kelantan.
Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah berkata, jika semua 
pihak membiarkan pihak tertentu rakus memusnahkan tanah tinggi itu, 
kawasannya yang kaya dengan flora dan fauna hanya menunggu masa untuk 
musnah sama sekali.
"Apa yang berlaku di Cameron Highlands sepatutnya sudah membuka mata 
semua pihak. Mereka menganggap menjaga alam sekitar tidak penting, 
tetapi lihatlah apa yang berlaku.
"Kita lupa apa yang telah dibuat itu telah merosakkan alam sekitar 
dan kini tiba masanya kita perlu menjaga Lojing supaya jangan jadi 
seperti itu," katanya selepas majlis menandatangani memorandum 
persefahaman (MoU) di sini hari ini.
MoU itu adalah antara kerajaan negeri Kelantan, Universiti Malaysia 
Kelantan (UMK), Tropical Rainforest Conservation & Research Centre 
(TRCRC) Bhd dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur 
(ECERDC).
Kelantan diwakili Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah, 
Naib Canselor UMK Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose mewakili UMK, Jeanne
 mewakili TRCRC dan ECERDC diwakili Ketua Pegawai Ekesekutifnya Datuk 
Jebasingam Issace John. Turut hadir Penaung Landskap Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi.
MoU itu sebagai kerjasama untuk menjaga 404 hektar kawasan Lojing 
selepas ia diwartakan sebagai kawasan pemuliharaan pada 2010, yang 
mengandungi habitat bunga pakma atau rafflesia.
Jeanne bagaimanapaun merasa gembira kerana terdapat cadangan untuk 
menanam kira-kira sejuta pokok di Cameron Highlands bagi memulihkan 
keadaannya walaupun akan mengambil masa lama.
Mengulas lanjut mengenai Lojing, beliau berkata, kawasan seluas lebih
 400 hektar itu perlu dilindungi dari kemusnahan kerana ia terdapat 
bunga pakma yang boleh dijadikan tarikan pelancongan.
"Ini bukan untuk penjagaan rafflesia sahaja tetapi untuk semua yang ada di tanah tinggi ini," katanya.
Mohd Amar pula berkata, kerajaan negeri sangat peka dengan penjagaan 
alam sekitar dengan mengetatkan syarat bahawa setiap pemaju di Lojing 
perlu mematuhi peraturan Penilaian Alam Sekitar (EIA).
"Ada syarikat yang telah diambil tindakan dan ada yang dibawa ke muka
 pengadilan kerana kegagalan mematuhi peraturan EIA," katanya.
Beliau berkata Jabatan Alam Sekitar perlu lebih peka dalam 
menguatkuasakan undang-undang di tanah tinggi itu jika terbukti ada 
pihak terbabit melakukan pencemaran dan merosakkan alam sekitar di situ.
Mohd Amar bagaimanapun menafikan keadaan di Lojing adalah serius 
seperti yang didakwa dan mendapati keadaannya tidak seburuk seperti yang
 berlaku di Cameron Highlands.
Sementara itu Pengarah UMK Kampus Jeli, Prof Datuk Dr Ibrahim Che 
Omar berkata, pihaknya akan membuat kajian lebih mendalam untuk memohon 
kepada kerajaan Kelantan bagi mewartakan kawasan yang lebih luas di 
Lojing.
"Kalau kita dapati ia menjejaskan kawasan habitat rafflesia, kita 
akan mohon untuk mewartakan kawasan sekelilingnya pula," katanya.
Beliau berkata UMK akan sentiasa membuat pemantauan dan penelitian agar kawasan Lojing tidak menjadi lebih buruk.
Sumber: Bernama | 18 November 2014 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan