Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 20 Mei 2019

MPSP bakal dinaik taraf sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai

Menara MPSP di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang.
BUKIT MERTAJAM: Pulau Pinang akan menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang kesemua Pihak Berkuasa Tempatannya (PBT) bertaraf bandar raya.

Pulau Pinang mempunyai dua PBT, iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang memperoleh status majlis bandar raya pada tahun 2015, dikenali sebagai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata Kerajaan Persekutuan telah meluluskan permohonan Kerajaan Negeri untuk menaik taraf MPSP kepada majlis bandar raya pada minggu lepas.

"Terdapat 155 buah PBT di Malaysia dan 13 daripadanya bertaraf bandar raya. MPSP akan menjadi PBT ke-14 dinaik taraf sebagai majlis bandar raya dan yang pertama selepas pilihan raya umum ke-14," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata pengumuman rasmi berhubung status MPSP sebagai majlis bandar raya akan dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri setelah semua dokumen siap.

"Kerajaan Negeri perlu membuat keputusan siapa yang akan menjadi Datuk Bandar untuk Majlis Bandaraya Seberang Perai setelah ia disokong," katanya.

Jagdeep berkata warga MPSP mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengekalkan pencapaian sedia ada selepas PBT itu dinaik taraf sebagai bandar raya.

"Ini menjadi satu perkara yang saya ingin tekankan. Rakyat akan mempunyai jangkaan yang lebih tinggi terhadap Majlis Bandaraya Seberang Perai. Proses penyampaian perkhidmatan adalah satu perkara yang dititikberat dan perlu kita tingkatkan," katanya.

Sumber: Bernama | 20 Mei 2019

Jambatan baharu Pulau Setelu boleh diguna menjelang Hari Raya Aidilfitri

Ab Aziz Yusoff meninjau jambatan kekal Pulau Setelu yang dibina di Kampung Pulau Setelu, Gua Musang, Kelantan.
GUA MUSANG: Impian lebih 5,000 penduduk di 10 buah kampung di sini untuk mendapat sebuah jambatan kekal menjadi kenyataan apabila infrastruktur baharu bernilai RM36.7 juta itu telah siap dibina. 

Selepas hampir lima tahun menunggu, jambatan yang menghubungkan jalan Gua Musang - Jeli sepanjang 700 meter dengan itu bakal dibuka seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri ini. 

Antara penduduk kampung yang menerima manfaat ialah Kampung Pulau Setelu, Kampung Star, Kampung Prak, Kampung Kuala Lah, Kuala Tol, Kampung Jerek, Kampung Bertam Lama, Meranto, Kampung Pasir Tumboh dan Kampung Kala. 

Seorang penduduk Kampung Pulau Setelu, Zainuddin Abdullah, 60, berkata, penduduk gembira kerana jambatan itu telah siap sepenuh­nya dan dapat digunakan oleh penduduk sekitar termasuk anak-anak di perantauan. 

Katanya, penduduk sudah lama berdepan masalah perhubungan selepas jambatan konkrit runtuh dilanda banjir besar pada Disember 2014. 

“Biarpun pihak kerajaan membina jambatan sementara, tetapi ia kerap tenggelam apabila hujan lebat menyebabkan air Sungai Nenggiri naik mendadak. 

“Kita gembira jambatan baharu bakal dibuka sebelum Aidilfitri ini dapat mengatasi kesesakan lalu lintas jambatan sementara untuk warga kota pulang menyambut hari raya di kampung,” katanya. 

Seorang lagi penduduk Ahmad Kamizi Jalil, 51, pula berkata, jambatan kekal itu mempunyai ciri keselamatan kerana kedudukannya tinggi dan bakal mempunyai penghadang kon­krit

Katanya, sebelum ini penduduk bergadai nyawa apabila terpaksa melalui jambatan sementara yang kedudukannya lebih rendah. 

“Penggunaan jambatan sementara kerap kali rosak dan tenggelam arus sungai Nenggiri menyebabkan aktiviti kami tergendala. 

“Kami bersyukur apabila akhirnya akan dapat menggunakan jambatan baharu yang lebih selesa menjelang Aidilfitri ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff yang meninjau persiapan akhir pembinaan jambatan baharu itu berkata, jambatan itu lebih besar kerana mempunyai laluan dua lorong. 

Katanya, jambatan itu dinanti-nantikan pengguna Jalan Gua Musang - Jeli terutama bagi penggunaan musim perayaan nanti. 

“Kita gembira, jambatan baharu itu akan dibuka menjelang Aidilfitri nanti dan kerja-kerja pembinaan juga sudah diperingkat akhir persiapannya. 

“Kita berterima kasih kepada kerajaan terdahulu yang meluluskan peruntukan dan merealisasikan impian penduduk di kawasan Nenggiri ini,” katanya.

Sumber: Utusan Online | 19 Mei 2019