Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 29 Disember 2013

Tempias kewujudan Bandar Chiku

Bandar Chiku kini pesat membangun dengan pembinaan bangunan perniagaan yang tersusun untuk faedah peneroka Felda di kawasan tersebut. 
GUA MUSANG: Peneroka di Tanah Rancangan Felda Chiku 3, dekat sini, bersyukur apabila diwujudkan sebuah bandar baharu dikenali sebagai Bandar Chiku sejak beberapa tahun lalu hingga keadaannya berubah dan jauh lebih maju berbanding sebelum ini.

Pembukaan bandar baharu itu juga membuka peluang kepada penduduk menjana pendapatan dengan membuka perniagaan.

Terletak di tengah perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai dan lokasinya juga strategik, antara faktor lebih banyak projek pembangunan akan dilaksanakan kerajaan dan juga pengurusan Felda peringkat Pusat.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, suasana Bandar Chiku kini jauh berubah dan sentiasa sibuk serta menjadi tumpuan terutama jika terdapat pasar sehari.

 Seorang peneroka, Zulkifli Yaacob, 58, berkata, dahulu peneroka terpaksa ke bandar Gua Musang, hampir 50 kilometer dari rumah semata-mata untuk membeli pelbagai barang keperluan.

 Namun katanya, selepas Bandar Chiku diwujudkan, ia memudahkan peneroka untuk mendapatkan barangan keperluan tanpa perlu lagi ke bandar Gua Musang.

"Pelbagai kemudahan disediakan di Bandar Chiku, sekali gus menjadi platform kepada peneroka menceburi dunia perniagaan, tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada hasil ladang untuk menambahkan pendapatan keluarga.

 “Kami amat gembira dengan usaha kerajaan dan Felda yang memberi tumpuan ke arah membangunkan Bandar Chiku supaya lebih pesat lagi," katanya.

Seorang lagi peneroka, Alwi Yusoff, 57, berkata, ada juga orang luar yang mengambil peluang berniaga di Bandar Chiku dengan membuka perniagaan pada skala lebih besar.

"Memang banyak perubahan yang boleh dilihat. Dahulu kebanyakan peneroka yang berniaga di Bandar Chiku hanya membuka gerai kecil tetapi kini seiring dengan kemajuan yang ada, mereka sudah mampu membina bangunan kedai sendiri, sekali gus membesarkan perniagaan sedia ada.

“Kita sama-sama bersyukur dengan kewujudan Bandar Chiku yang memberi faedah, bukan sahaja kepada peneroka tetapi juga kepada generasi kedua Felda yang mempunyai minat dalam perniagaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 29 Disember 2013

Pahang kuat kuasa Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013

KUANTAN: Sebanyak 71 seksyen kesalahan jenayah syariah telahpun dikuatkuasakan di bawah enakmen baharu iaitu Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 bermula 1 Dis lepas.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata perkara itu diperkenan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada 25 Okt lepas.

"Sebelum ini kesalahan jenayah syariah terletak di bawah Enakmen Pentadbiran Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang 1982," katanya kepada pemberita di sini Khamis. Beliau berkata dalam 71 seksyen di bawah enakmen itu terdapat dua seksyen tambahan.

"Dua Seksyen tambahan itu ialah Seksyen 13 iaitu berhubung dengan kesucian agama Islam dan institusinya, termasuk kesalahan menghina atau mengingkari Sultan serta agensi agama yang bernaung di bawahnya.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Wan Abdul Wahid berkata satu lagi seksyen tambahan ialah Seksyen 33 dan 34 iaitu berkaitan lelaki berlagak (berkelakuan) seperti perempuan dan perempuan berlagak seperti lelaki di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak berakhlak.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Beliau juga berkata penguatkuasaan enakmen baharu itu turut membabitkan beberapa tambahan dari segi jumlah denda.
 
Sumber: BERNAMA | 26 Disember 2013

Sabtu, 28 Disember 2013

Stacy pelajari tentang agama Islam daripada Akim Ahmad

PETALING JAYA: Penyanyi Stacy mengakui semakin memahami ajaran agama Islam selepas banyak mendapat bimbingan daripada kekasihnya, Akim Ahmad.

Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam, 23, berkata, Akim banyak menjelaskan tentang agama itu setiap kali mereka berjumpa dan dia juga banyak bertanya tentang perkara yang tidak difahaminya.

"Akim banyak memberitahu saya tentang ajaran Islam dan banyak yang saya pelajari daripadanya," katanya katanya selepas pelancaran single berjudul Hello duet bersama kumpulan SM*SH yang diadakan di Auditorium Bently Music di sini, Jumaat. Turut hadir Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura, Darren Choy.

Stacy yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah bagaimanapun berkata, jika suatu hari nanti hatinya terbuka untuk memeluk agama Islam dia mahu keputusannya itu didorong kerana kehendaknya sendiri dan bukan semata-mata kerana ingin berkahwin dengan pemuda itu.

Jelas Stacy, soal agama bukan sesuatu yang boleh dipersendakan dan dia sangat menghormati perkara itu. "Soal agama bukan perkara main-main dan saya sangat menghormati agama lain termasuk Islam dan sebab itu jika saya ingin menjadi seorang Muslim bukan hanya kerana cinta atau mahu berkahwin dengan seseorang sebaliknya ia perlu datang dari hati yang ikhlas," katanya.

Dalam pada itu, Stacy berkata, pergaulannya dengan rakan-rakan beragama Islam turut mendedahkannya dengan pelbagai perkara yang tidak diketahui sebelum ini.

"Dulu semasa di kampung pergaulan saya terhad dan komuniti di sana kebanyakannya penganut Kristian dan apabila berpindah ke Kuala Lumpur saya lebih banyak didedahkan dengan masyarakat Islam.

Dari situlah hati saya terbuka untuk mengetahui mengenai agama ini dengan lebih mendalam,” jelasnya. Sementara itu, bercakap mengenai kolaborasinya dengan kumpulan SM*SH dari Indonesia Stacy berkata, ia adalah peluang cukup besar untuk dia memperkenalkan namanya di negara itu.

Jelas Stacy, pengaruh kumpulan itu sangat kuat selain mempunyai pengikut yang cukup ramai di Indonesia dan Malaysia. "Bayangkan pengikut Facebook saya sudah mencecah satu juta sejak lagu kami dilancarkan dan pengikut baharu itu rata-rata dari Indonesia.

"Saya melihat ia satu perkembangan baik untuk kerjaya saya dan bertuah dapat melakukan kolaborasi dengan mereka," katanya. Pada majlis tersebut, Stacy dan SM*SH turut menyampaikan beberapa buah lagu termasuklah lagu duet mereka iaitu Hello di hadapan 100 peminat.

Sumber: mStar Online | 28 Disember 2013

Kes kematian akibat denggi meningkat 151%

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto: BERNAMA
PUTRAJAYA: Sebanyak 88 kematian akibat denggi dilaporkan bagi tempoh Januari hingga 21 Disember tahun ini, meningkat 151 peratus berbanding 35 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor mencatat angka tertinggi dengan 24 kematian, diikuti Johor (21), Melaka (9), Kuala Lumpur dan Putrajaya (masing-masing lapan) serta Pulau Pinang tujuh kes.

Perak, Sarawak dan Sabah pula masing-masing empat; Kelantan dan Pahang (2 kes); manakala satu kematian dilaporkan di Perlis, Kedah dan Negeri Sembilan, katanya dalam sidang media, di sini Jumaat.

Menurutnya sepanjang tempoh itu juga sebanyak 41,226 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara, meningkat 92 peratus atau 19,782 kes, berbanding 21,444 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Dr Noor Hisham berkata, kes denggi dilapor meningkat mendadak di 12 wilayah antaranya Melaka (229 peratus), Johor (191 peratus), Selangor (152), Negeri Sembilan (100), Perak (42), Labuan (40), Kuala Lumpur dan Putrajaya (39), Pulau Pinang (31) dan Perlis (30).

Rekod Kementerian Kesihatan menunjukkan kes kematian tertinggi sejak 1970-an direkodkan pada 2010 dengan 135 kematian, manakala jumlah kes tertinggi sebanyak 49,355 kes dilaporkan pada 2008, katanya.

Dr Noor Hisham berkata, tahun ini kes denggi menurun di tiga negeri iaituTerengganu, Sarawak dan Kedah. "Kalau dilihat trend mingguan kes denggi yang dilaporkan sejak 2002, terdapat pusingan setiap dua hingga tiga tahun iaitu negara mengalami wabak denggi yang tinggi pada 2002, 2004, 2007, 2009, 2010 dan kini 2013.

"Malah pada tahun ini juga negara di rantau Pasifik Barat turut mengalami fenomena sama apabila Singapura dan Laos masing-masing mencatatkan peningkatan 387 peratus," katanya.

Beliau mengingatkan masyarakat agar lebih peka dalam menjaga kebersihan persekitaran yang merupakan tanggungjawab bersama bagi mengelakkan pembiakan nyamuk aedes.

Katanya, Program Ayuh Gembur Aedes Perdana akan dilancarkan pada 5 Januari di Selangor bagi meningkatkan penglibatan masyarakat setempat menyertai aktiviti gotong-royong di seluruh negeri itu.  

Sumber: BERNAMA | 28 Disember 2013

Tiada aduan bukti rakyat Malaysia sokong kenaikan harga - Hasan Malek

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia menyokong kenaikan harga berikutan kurangnya aduan yang dibuat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), kata Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek (gambar) pada Jumaat.

"Kita tidak menerima apa-apa aduan. Rakyat tidak mengadu, ini bermakna terdapat sokongan. Kita tidak mengawal harga, tetapi pengguna yang mengawalnya," katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen 'Kembali Ke Sekolah' AEON.

Hasan turut menggesa supaya semua perniagaan untuk bertimbang rasa. "Tolong bantu kementerian dan tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya."

Beliau berkata, pegawai kementerian akan membuat pemantauan, dan meminta pengguna yang menyedari tentang kenaikan harga melampau supaya membuat aduan.

"Kita merancang untuk bekerjasama dengan agensi-agensi lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lain-lain lagi," katanya.

Mengenai kenyataan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Kerajaan seharusnya mengurangkan kos berbanding menaikkan harga, Hasan berkata, beliau menghormatinya tetapi tidak bersetuju dengan pandangan itu.

"Kita akan melihat pandangan Tun serta rakyat. Kita mahukan sistem yang terbaik." Sesiapa yang ingin membuat aduan boleh menghubungi talian hotline kementerian di 1-800-886-800, atau emel kepada e-aduan@kpdnkk.gov.my.

Sumber: mStar Online | 28 Disember 2013

Air mata Mike Tyson di Taman Raudhah

Mike Tyson ketika mengerjakan umrah di Makkah.
"ANGKAT kotak tu!" jerkah sekumpulan remaja lelaki. Kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun akur mengikut arahan. Setiap anak tangga dipijak dengan berat hati. Tiba di atas bumbung bangunan kosong itu, baru dia sedar terdapat burung merpati di dalam kotak itu. Timbul rasa kagum terhadap haiwan berbulu putih dan terus menyukainya.

Tapi seorang daripada mereka mengambil merpati itu dan mematahkan lehernya sehingga ia terkulai mati. Bukan itu sahaja, dia juga menerima tumbukan bersama merpati itu pada mukanya.

Bagaikan harimau yang sedang tidur dikejutkan, kanak-kanak itu Mike Tyson atau nama sebenarnya Michael Gerard sudah tidak tahan dibuli anak jiran yang nakal itu, lalu memukul pembulinya berkali-kali. Sejak itu, sikap Tyson yang pendiam dan pemalu, berubah menjadi berani dan liar untuk sesuaikan diri kehidupan sosial di Brooklyn, kawasan yang baru dia sekeluarga berpindah.

Kenakalan Mike Tyson ketika zaman kanak-kanaknya yang juga dipengaruhi faktor keluarga kurang stabil menyebabkan dia keluar masuk penjara juvana. Pelatih tinju terkenal, Cus D'Amato tertarik dengan bakat Mike Tyson untuk dilatih menjadi peninju profesional. Pada 6 Mac 1985, beliau bertanding secara profesional di Albany, New York dan menang pada setiap pusingan pertama bagi 16 perlawanan.

Tanggal 22 November 1986, Tyson berusia 20 tahun meraih gelaran juara kelas berat apabila dapat menjatuhkan pihak lawannya, Trevor Berbick. Ini menjadikan beliau sebagai juara dunia berat termuda di dunia.

Kerjaya Tyson terjejas apabila dibabitkan dengan kes jenayah seksual terhadap peserta Miss Black America 1991, Desiree Washington pada 10 Februari. Beliau dijatuhkan hukuman dipenjarakan selama tiga tahun.

Belajar Islam di penjara

Berita Tyson dimasukkan penjara di Indiana menjadi tumpuan umum. Tatkala itu terdetik di hati sukarelawan, Muhammed Sadiq berkata, 'mungkin ALLAH dah rancang untuk Tyson belajar dengannya tentang Islam'.

Muhammed pernah memberi nasihat yang berbekas di hati Tyson: "Walaupun anda di dalam penjara, tetapi dunia di luar sana adalah penjara yang sebenar. Ia adalah mudah mengamalkan Islam di dalam penjara berbanding di dunia yang penuh dugaan dan godaan, mampu membelenggu kita yakni perlu mencari perlindungan melalui Islam."

Bagi Tyson, masuk penjara tidaklah seburuk disangka. Malah beliau dapat mengenali Islam, belajar al-Quran. berpuasa ketika Ramadan, mempelajari agama itu lebih mendalam serta mengamalkannya di sana.

Selepas keluar penjara pada 1995, Tyson mengumumkan keislamannya yang dipelajari selama di penjara dan nama barunya, Malik Abdul Aziz. Selepas menjadi Muslim, Tayson dilihat lebih lebih tenang, bersederhana dan menghormati.

Pada November 1996, beliau kembali beraksi di gelanggang tetapi dikalahkan Evander Holyfield. Insiden Tyson menggigit telinga Holyfield pada pertarungan Jun 1997 menyebabkan beliau didenda sebanyak RM9.9 juta. Kehidupan Tyson diuji lagi apabila mengalami bankrap dan kariernya semakin malap sehingga memaksanya untuk bersara pada 2005.

Pada 2 Julai 2010, menjadi detik bersejarah buat Tyson apabila pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah yang diatur CDA, dengan ditemani presidennya, Shazad Mohammad. Pada masa sama kehadiran beliau turut menjadi tarikan pengunjung di sana. Beliau berharap peminat membiarkannya bersendirian untuk menjalani ibadah dengan penuh penghayatan.

Doa setiap hari

Bertubuh gagah, berwajah serius dan tangkas di gelanggang, tetapi bila Tyson dengan hanya berpakaian ihram di berada di Taman Raudah, Masjid Nabawi Madinah, hatinya mula meruntun. Selepas 10 tahun memeluk Islam, barulah beliau menjadi tetamu ALLAH.

"Saya tidak dapat menahan air mata apabila mendapat tahu saya berada di dalam satu daripada taman syurga.

"Insya-ALLAH, ALLAH akan merahmati saya untuk berada di jalan yang benar," katanya yang berada di Taman Raudhah beberapa jam untuk bersolat, mengaji al-Quran dan berzikir.

Beliau akui sangat takutkan ALLAH kerana banyak kesalahan dalam hidup dan mengenangkan neraka kerana dosanya. Oleh itu beliau berdoa memohon ampunan ALLAH setiap hari.

Menurut Shahzad, Tyson menangis lebih setengah jam ketika berdiri di depan makam Rasullah SAW untuk mengucapkan salam sambil mengangkat tangan.

Di Tanah Suci, Tyson turut terpesona dengan kawanan merpati dan sempat memberi makan kepada haiwan kesukaannya itu. Ini mengimbas kenangan ketika usianya 10 tahun, sanggup mencuri wang untuk membeli merpati menjadi peliharaannya.

Tyson mempunyai lapan anak melalui tiga perkahwinan. Anak perempuannya, Exodus, 4, meninggal dunia pada 2009. Kini Tyson menjalani kehidupan berkeluarga bersama isterinya, Lakiha Spicer, dan anak-anaknya di Las Vegas.

"Saya kini gembira bersama keluarga. Tidak perlu keluar ke mana-mana lagi. Setiap hari saya menunggu anak pulang dari sekolah," katanya.

Sumber: Sinar Harian | 27 Disember 2013

Dilema penanam kelapa di Bachok

Zaki (kanan) menunjukkan daun kelapa yang kering akibat kekurangan baja.
BACHOK: Bentuk muka bumi Bachok yang sesuai untuk tanaman kelapa menyebabkan ramai petani semakin berminat untuk mengusahakan tanaman itu terutama kelapa Matag.

Tambahan pula, tanaman komersial lain seperti tembakau tidak lagi diusahakan dan petani beralih kepada tanaman lain yang mampu menjana hasil tinggi.

Bagi seorang penduduk, Muhammad Yaakob, 48, tanaman kelapa diusahakan di Kampung Keluat sejak 1950-an lagi.

“Tanah di sini sesuai untuk kelapa dan memang sejak dari dulu lagi, banyak kelapa ditanam di kampung kami.

“Kelapa jadi pilihan penduduk kerana ia mempunyai permintaan tinggi dan harganya stabil,” katanya.

Guna baja tahi ayam

Namun dalam masa sama, petani masih dibelenggu masalah berikutan kos untuk membeli benih dan baja tinggi, selain memerlukan bimbingan serta pengurusan yang betul bagi menghasilkan kelapa berkualiti untuk memenuhi keperluan pasaran.

Muhammad berkata, petani memerlukan bantuan dari segi anak benih dan baja yang mencecah ribuan ringgit berikutan tidak mampu ditanggung penduduk yang kebanyakannya bergantung kepada hasil pendapatan kerja kampung.

“Harga belian bagi kelapa matag adalah antara RM12 hingga RM15 sepohon menyebabkan mereka terpaksa membeli benih kelapa kampung yang hanya berharga RM5 sepohon, selain menggunakan baja tahi ayam untuk jimatkan kos.

“Akibatnya, pokok bukan saja lambat mengeluarkan hasil tetapi buah kelapa juga tidak berkualiti kerana kekurangan baja," katanya.

Banyak kawasan sesuai

Seorang lagi petani, Zaki Mat, 44, berkata, penduduk masih mempunyai banyak kawasan terbiar yang sesuai untuk kelapa, selain ladang kelapa sedia ada berpuluh tahun dahulu yang perlu diganti dengan pokok baharu.

“Pokok kelapa mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga tahun dengan pengeluaran buah dalam tempoh yang panjang sehingga melebihi 30 tahun.

“Jika ada peruntukan walaupun sekali, saya yakin ia mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya petani komited untuk mengusahakannya,” katanya.

Sementara itu, warga emas, Mohammad Yaakob Abdullah, 60, berkata, tanaman kelapa kini diusahakan secara sampingan sahaja tetapi jika terdapat usaha untuk mengkomersialkan tanaman tersebut, dia yakin akan menarik minat penduduk lain untuk mengusahakan tanaman  kelapa secara serius.

“Sekarang ini kelapa diusahakan secara tradisi atau warisan saja. Mereka jadikan kelapa sebagai sumber sampingan sebab tak mampu nak sediakan pelbagai kos untuk tanaman ini.
“Tetapi jika ada saluran untuk bantu petani, tak mustahil ia boleh menjadi sumber utama penduduk Bachok menggantikan tembakau dan padi,” katanya yang sudah enam bulan mencuba tanaman kelapa.

Input pertanian secara one-off
Penolong Pegawai Pertanian Bachok, Ammar Anuar Yusoff pula berkata, lazimnya bantuan diberikan bergantung pada peruntukan yang diterima melalui Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri tanpa mengikut tempoh masa yang tetap.

Beliau berkata, bantuan benih dan baja tidak lagi disediakan kerana bantuan disalurkan berbentuk infrastruktur seperti membaiki jalan ladang, perparitan dan mencuci ladang mengikut projek yang ditetapkan jabatan.

“Kelapa dan pisang antara yang mendapat permintaan tinggi. Justeru, kami rasa harga belian kedua-dua tanaman ini masih mampu diusahakan penanam. "Jabatan biasanya mengagihkan input pertanian kepada penduduk secara one-off atau sekali saja,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 28 Disember 2013