Bandar Chiku kini pesat membangun dengan pembinaan bangunan perniagaan yang tersusun untuk faedah peneroka Felda di kawasan tersebut. |
GUA MUSANG: Peneroka di Tanah Rancangan Felda Chiku 3, dekat sini, bersyukur apabila diwujudkan sebuah bandar baharu dikenali sebagai Bandar Chiku sejak beberapa tahun lalu hingga keadaannya berubah dan jauh lebih maju berbanding sebelum ini.
Pembukaan bandar baharu itu juga membuka peluang kepada penduduk menjana pendapatan dengan membuka perniagaan.
Terletak di tengah perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai dan lokasinya juga strategik, antara faktor lebih banyak projek pembangunan akan dilaksanakan kerajaan dan juga pengurusan Felda peringkat Pusat.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, suasana Bandar Chiku kini jauh berubah dan sentiasa sibuk serta menjadi tumpuan terutama jika terdapat pasar sehari.
Seorang peneroka, Zulkifli Yaacob, 58, berkata, dahulu peneroka terpaksa ke bandar Gua Musang, hampir 50 kilometer dari rumah semata-mata untuk membeli pelbagai barang keperluan.
Namun katanya, selepas Bandar Chiku diwujudkan, ia memudahkan peneroka untuk mendapatkan barangan keperluan tanpa perlu lagi ke bandar Gua Musang.
"Pelbagai kemudahan disediakan di Bandar Chiku, sekali gus menjadi platform kepada peneroka menceburi dunia perniagaan, tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada hasil ladang untuk menambahkan pendapatan keluarga.
“Kami amat gembira dengan usaha kerajaan dan Felda yang memberi tumpuan ke arah membangunkan Bandar Chiku supaya lebih pesat lagi," katanya.
Seorang lagi peneroka, Alwi Yusoff, 57, berkata, ada juga orang luar yang mengambil peluang berniaga di Bandar Chiku dengan membuka perniagaan pada skala lebih besar.
"Memang banyak perubahan yang boleh dilihat. Dahulu kebanyakan peneroka yang berniaga di Bandar Chiku hanya membuka gerai kecil tetapi kini seiring dengan kemajuan yang ada, mereka sudah mampu membina bangunan kedai sendiri, sekali gus membesarkan perniagaan sedia ada.
“Kita sama-sama bersyukur dengan kewujudan Bandar Chiku yang memberi faedah, bukan sahaja kepada peneroka tetapi juga kepada generasi kedua Felda yang mempunyai minat dalam perniagaan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 29 Disember 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan