PETALING JAYA: Penyanyi Stacy mengakui semakin memahami ajaran agama Islam selepas banyak mendapat bimbingan daripada kekasihnya, Akim Ahmad.
Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam, 23, berkata, Akim
banyak menjelaskan tentang agama itu setiap kali mereka berjumpa dan dia
juga banyak bertanya tentang perkara yang tidak difahaminya.
"Akim banyak memberitahu saya tentang ajaran Islam dan banyak yang
saya pelajari daripadanya," katanya katanya selepas pelancaran single
berjudul Hello duet bersama kumpulan SM*SH yang diadakan di Auditorium
Bently Music di sini, Jumaat. Turut hadir Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura, Darren Choy.
Stacy yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah bagaimanapun berkata,
jika suatu hari nanti hatinya terbuka untuk memeluk agama Islam dia mahu
keputusannya itu didorong kerana kehendaknya sendiri dan bukan
semata-mata kerana ingin berkahwin dengan pemuda itu.
Jelas Stacy, soal agama bukan sesuatu yang boleh dipersendakan dan dia sangat menghormati perkara itu. "Soal agama bukan perkara main-main dan saya sangat menghormati agama
lain termasuk Islam dan sebab itu jika saya ingin menjadi seorang
Muslim bukan hanya kerana cinta atau mahu berkahwin dengan seseorang
sebaliknya ia perlu datang dari hati yang ikhlas," katanya.
Dalam pada itu, Stacy berkata, pergaulannya dengan rakan-rakan
beragama Islam turut mendedahkannya dengan pelbagai perkara yang tidak
diketahui sebelum ini.
"Dulu semasa di kampung pergaulan saya terhad dan komuniti di sana
kebanyakannya penganut Kristian dan apabila berpindah ke Kuala Lumpur
saya lebih banyak didedahkan dengan masyarakat Islam.
“Dari situlah hati saya terbuka untuk mengetahui mengenai agama ini dengan lebih mendalam,” jelasnya. Sementara itu, bercakap mengenai kolaborasinya dengan kumpulan SM*SH
dari Indonesia Stacy berkata, ia adalah peluang cukup besar untuk dia
memperkenalkan namanya di negara itu.
Jelas Stacy, pengaruh kumpulan itu sangat kuat selain mempunyai pengikut yang cukup ramai di Indonesia dan Malaysia. "Bayangkan pengikut Facebook saya sudah mencecah satu juta sejak lagu
kami dilancarkan dan pengikut baharu itu rata-rata dari Indonesia.
"Saya melihat ia satu perkembangan baik untuk kerjaya saya dan bertuah dapat melakukan kolaborasi dengan mereka," katanya. Pada majlis tersebut, Stacy dan SM*SH turut menyampaikan beberapa
buah lagu termasuklah lagu duet mereka iaitu Hello di hadapan 100
peminat.
Sumber: mStar Online | 28 Disember 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan