Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 13 Februari 2015

Allahyarham Nik Abdul Aziz pemimpin Islam dikagumi - Tengku Abdullah

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia malam tadi di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Baharu.

"Al-Fatihah ... Tok Guru Nik Aziz seorang pemimpin Islam yang dikagumi dan dihormati," titah baginda dalam kumpulan media sosial pegawai-pegawai baginda.

Tengku Mahkota Pahang telah menitahkan Setiausaha Sulit Khas baginda, Left Kol (B) Nor Hashim mengutus ucapan takziah daripada baginda sekeluarga kepada keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz.

Baginda turut menitahkan semua masjid di Pahang supaya mengadakan majlis bacaan yasin dan tahlil untuk Allahyarham selepas solat Jumaat hari ini.

Titah baginda itu dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Khas baginda kepada semua imam masjid di seluruh Pahang awal pagi ini.

Sementara itu, lebih 2,000 jemaah Masjid Lapang Besar di sini mengadakan tahlil untuk Allahyarham selepas solat Jumaat sebagaimana titah Tengku Mahkota Pahang.

Nik Abdul Aziz, 84, yang juga Mursyidul Am PAS dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka meninggal dunia di kediamannya di Pulai Melaka di sini pukul 9.40 malam tadi selepas dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 19 Jan lalu kerana kanser prostat.

Di KOTA BAHARU, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kerajaan negeri dan rakyat Kedah berkongsi kesedihan dengan rakyat Kelantan yang kehilangan pemimpin kesayangan mereka.

"Saya sebagai mewakili rakyat Kedah, mengucapkan takziah kepada rakyat Kelantan terutama keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada upacara pengebumian jenazah Nik Abdul Aziz di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka Jumaat.

Mukhriz berkata soal politik yang berbeza tidak menghalang rakyat kedua-dua negeri berkongsi kesedihan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pemergian allahyarham merupakan satu kehilangan yang besar buat negara.

"Ia merupakan satu kehilangan besar bagi negara meskipun kami berbeza pendapat dari segi politik dan aliran parti tetapi sebagai Muslim kami rasai kehilangannya.

"Beliau (Allahyarham) mendidik masyarakat dan umat Islam dalam pendekatan dakwah, saya bagi pihak kerajaan mengucapkan takziah kepada anggota keluarga (Allahyarham," katanya.

Di ALOR SETAR, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyatakan pemergian ke rahmatullah Nik Abdul Aziz merupakan suatu kehilangan yang besar kepada umat Islam di nusantara dan dunia.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata Allahyarham telah meninggalkan khazanah ilmu serta kebijaksanaan sebagai seorang pendakwah.

"Kami meletakkan Almarhum sebagai guru umat yang sangat besar jasanya bukan sahaja dalam arena politik Islam malah dalam pentarbiyahan umat yang sangat mendalam kesannya," katanya dalam kenyataan.

Sumber: BERNAMA | 13 Februari 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan