Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 9 November 2016

Pantau nelayan asing di Tok Bali mungkin seludup barangan subsidi

PASIR PUTEH: Pergerakan bot nelayan asing di jeti perikanan Tok Bali di sini perlu dipantau kerana dikhuatiri digunakan untuk menyeludup keluar pelbagai barangan bersubsidi melalui jalan laut.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman yang mencadangkan perkara itu berkata mungkin ada antara nelayan asing itu cuba mengambil kesempatan mendapatkan bekalan barangan bersubsidi untuk dijual di negara masing-masing bagi mendapat keuntungan mudah.

"Nelayan warga asing berpotensi menjadi penyeludup apabila membeli bekalan dalam jumlah yang banyak dengan alasan berada di laut untuk tempoh yang lama.

"Ini tidak mustahil berlaku memandangkan lokasi pelabuhan Tok Bali yang hanya mengambil masa beberapa jam sahaja jaraknya dengan pelabuhan perikanan di Thailand dan Vietnam misalnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Uthmaniah Kampung Pulai Lima, di sini hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak itu mengulas kekurangan minyak masak di Kelantan yang dikatakan berlaku susulan aktiviti penyeludupan yang berlaku di kawasan sempadan.

Sumber: Bernama | 6 November 2016

Aksem Kelantan rampas rokok seludup bernilai RM200,000

KOTA BHARU: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kelantan merampas 2,250 kartun rokok putih disyaki diseludup bernilai RM200,000 selepas menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV)di Kampung Keting, Bachok semalam.

Komander Aksem Kelantan Mohd Asri Yahya berkata semasa pemeriksaan kira-kira 8.30 pagi itu, lelaki berusia 36 tahun yang memandu MPV Toyota Alphard itu turut ditahan untuk siasatan.

"Tangkapan dan rampasan itu dilakukan selepas kami menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan sebuah kenderaan disyaki membawa barangan seludup," katanya kepada pemberita di sini, hari Sabtu.

Mohd Asri berkata ketika anggotanya melakukan risikan, mereka terserempak MPV bercermin gelap itu di Bukit Abal, Pasir Puteh lalu mengekorinya hingga ke jalan Kampung Keting namun, pemandu itu cuba melarikan diri sebelum ia terbabas ke dalam tali air.

Beliau berkata suspek itu, yang ditahan reman 11 hari mulai hari ini, mendapati dia mengambil upah membawa rokok itu dari Kuantan ke Kota Bharu.

Suspek dipercayai diupah sebanyak RM500 untuk membawa bekalan rokok itu yang diperolehi di Segamat, Johor.

Semua rampasan itu diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Sumber: Bernama | 5 November 2016

Risda giat bantu pekebun kecil getah tingkatkan pendapatan

KOTA BHARU: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menyalurkan peruntukan RM37.5 juta kepada pekebun kecil seluruh negara tahun ini bagi melaksanakan pelbagai aktiviti ekonomi yang menjana pendapatan. 
 
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Risda Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad berkata peruntukan itu antaranya digunakan bagi melaksana program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan Program Laman Kebun. 
 
"Melalui program itu, objektif Risda adalah supaya pekebun kecil memperoleh purata pendapatan RM4,000 sebulan menjelang 2020," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Risda Peringkat Negeri Kelantan di sini, hari Sabtu. 
 
Bagi tujuan sama, Risda menubuhkan enam Risda Smallholders Mart (RisSMart) sejak 2015 termasuk yang terbaharu di Bera, Pahang pada Oktober lepas dalam meluaskan jaringan perniagaan.
 
Risda turut menyalurkan peruntukan RM630,000 bagi memberi khidmat nasihat kepada usahawan berhubung proses pembungkusan dan pelabelan standard dan menarik, selain RM126,000 kepada 36 usahawan bimbingan agensi itu untuk mendapatkan Sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). 
 
Bagaimanapun, katanya kesediaan usahawan bersikap terbuka dan mampu menguasai kemahiran teknikal, teknologi serta kaedah pemasaran terkini menjadi aspek penting dalam memastikan pelan tindakan itu berjaya. 
 
Sementara itu, Tokoh Usahawan Muda Risda Ridzwah Mohd Hanafiah, 25, berkata bantuan dan bimbingan Risda sejak memulakan perniagaan serunding pada 2011 telah melonjakkan jualannya sehingga ke luar negara. 
 
Pemegang Anugerah Serunding Kebangsaan Terbaik 2013 itu berkata perniagaan serundingnya dimulakan dengan sebuah kuali sahaja tetapi kini mampu menghasilkan 60 kilogram serunding daging dan ayam sehari selepas membuka kilang pada 2013. 
 
Ridzwah kini meraih pendapatan RM84,000 setahun, sedang giat menerokai pasaran baharu di peringkat antarabangsa.
 
Sumber: Bernama | 5 November 2016

Jumaat, 4 November 2016

Projek ECRL: Pengangkutan alternatif penduduk Terengganu

KUALA TERENGGANU: Cadangan Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) dalam Bajet 2017 diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 Oktober lalu merupakan khabar gembira buat rakyat Terengganu khususnya mereka yang berada di Dungun. 

Projek sepanjang 600 kilometer dari Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan bernilai RM55 bilion itu merentasi Terengganu yang pastinya memberi impak positif terhadap sektor ekonomi dan sosial bagi penduduk setempat.

Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun, Datuk Din Adam ketika dihubungi Bernama berkata ECRL menyediakan satu lagi kemudahan pengangkutan alternatif kepada rakyat dengan lebih selesa dan masa lebih singkat berbanding perjalanan darat sebelum ini.

"Selain Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Kedua dan pengangkutan udara, pengangkutan kereta api melonjakkan lagi potensi Dungun untuk terus mewujudkan lebih banyak pusat pertumbuhan bandar baharu di daerah ini.

"Dungun, sebagai hab pendidikan dan pengajian tinggi di Terengganu mengambil peluang ini untuk merancakkan lagi sektor ekonomi dan pelancongan yang secara tidak langsung dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

"Apabila banyak pusat pertumbuhan baharu dibuka, secara tidak langsung akan menaikkan nilai hartanah dan sosioekonomi penduduk setempat.

"Saya mewakili penduduk Dungun amat gembira dan berterima kasih kepada kerajaan pusat memberi komitmen bagi membangunkan projek ini demi kesejahteraan rakyat untuk jangka masa panjang," katanya.

Sementara itu, seorang penyelia di syarikat pesisir pantai, PFCE-CG berpangkalan di Kertih, Amir Farid Ngah berkata pembinaan sistem kereta api itu kelak mampu mengurangkan kesesakan aliran trafik di kawasan perindustrian Paka dan Kertih terutamanya pada waktu puncak.

"Bagi pekerja 'offshore' seperti saya kadang-kadang terpaksa berhadapan kesesakan melampau terutama waktu pagi dan petang, sama ada disebabkan kenderaan para pekerja atau lori atau treler yang keluar masuk di kawasan perindustrian ini.

"Jadi kita berharap pembinaan laluan kereta api ini dapat melancarkan aliran trafik di sini dan sekali gus dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar dengan asap kenderaan.

"Selain itu, sudah tentu kos pengangkutan turut berkurangan jika menaiki kereta api berbanding mengisi minyak (petrol) dari Dungun ke Kertih sebanyak RM10 setiap hari," katanya.

Sementara itu, Pengarah SME Corp Terengganu, Muhammad Ibrahim berkata ECRL dilihat mampu memacu kesan positif ekonomi kepada pertumbuhan perindustrian kecil dan sederhana di Terengganu terutamanya di kawasan industri di Kemaman dan Besut.

"Projek ini mampu memberi manfaat secara tidak langsung kepada lebih 22,514 PKS yang masih aktif beroperasi di negeri ini.

"Impak ekonomi lebih meluas dijangka dapat ditingkatkan lagi dengan adanya pelan pembangunan sosioekonomi yang mengambil kira pembangunan stesen ECRL dan kawasan sekeliling.

"Projek ini memberi peluang ekonomi yang besar, terutama dalam peluang pekerjaan, pertumbuhan dan peningkatan industri pelancongan, peningkatan industri binaan, peningkatan peluang dalam sektor makanan dan peruncitan.

"Pembinaan landasan kereta api baharu itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi lebih pesat kepada negeri di pantai timur terutamanya Terengganu dan kawasan berhampiran khususnya," kata Muhammad.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT) Ir Azmi Ali berkata projek itu bakal memberi pulangan optimum terutamanya pembangunan fizikal di sepanjang koridor laluan berkenaan.

Katanya, ketika ini lojistik perhubungan pengangkutan Terengganu ketinggalan berbanding negeri lain khususnya negeri di pantai barat Semenanjung.

"Ini terjadi kerana dahulu kereta api tidak boleh diwujudkan di sini dengan alasan faktor muka bumi iaitu Terengganu mempunyai banyak sungai. Tetapi setelah dikenal pasti ia kini boleh dilaksanakan.

"Ia bukan sahaja memberi manfaat untuk pembangunan setempat, tetapi limpahan pembangunannya dapat dinikmati semua lapisan rakyat," katanya.

Katanya, beliau difahamkan kerajaan menaik taraf laluan kereta api sedia ada antara Kertih dan Gebeng (Pahang) untuk membawa barang seperti minyak dan gas ke pelabuhan, yang kini tidak beroperasi sepenuhnya.

"Sekiranya berjalan lancar (projek ECRL), laluan itu turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi sedia ada di kedua-dua tempat berkenaan," katanya.

Sumber: Bernama | 3 November 2016

Selasa, 1 November 2016

Sultan Kelantan hadir Program Penghijauan Diraja

KUALA KRAI: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan menghadiri Majlis Perasmian Program Penghijauan Diraja sempena ulang tahun keputeraan baginda ke-47 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai di sini, hari ini.

Baginda yang tiba di sekolah itu pada 12.15 tengah hari turut diiringi Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Addullah.

Turut mengiringi Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha dan Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim.

Pada majlis berkenaan baginda berkenan menanam sebatang pokok jenis 'Bleu Quandong' sebagai simbolik perasmian Program Penghijauan D'Raja tersebut.

Sementara itu, Mohd Faudzi dalam ucapannya berkata Program Penghijauan D'Raja adalah cetusan idea Sultan Muhammad V sendiri yang bertujuan menghalang tebing sungai di negeri ini daripada hakisan terutama akibat bencana banjir.

Beliau berkata sebanyak 600 anak pokok pelbagai spesies setinggi lima kaki ditanam di sepanjang Sungai Lebir berdekatan sekolah berkenaan.

"Program ini merupakan tanggungjawab kami bagi menghalang hakisan dengan Manek Urai dipilih sebagai tempat pertama ia dilaksanakan," katanya.

Sumber: Bernama | 1 November 2016

Polis tahan tiga pemuda, rampas 381 pil kuda bernilai RM6,680

MACHANG: Polis menahan tiga pemuda dan merampas sejumlah 381 biji pil kuda (methamphetamine) bernilai RM6,680 dalam Op Bersepadu di jajahan ini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Machang DSP Dzulkifli Abdul Ghani berkata penahanan tiga suspek itu dilakukan secara berasingan dalam operasi yang bermula 2 petang hingga 8 malam.

"Tangkapan pertama dilakukan di Pulai Chondong melibatkan seorang pemuda berumur 28 tahun dan merampas sejumlah 88 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM1,780 yang disimpan di dalam poket seluarnya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang di sini, hari ini.

Dzulkifli berkata suspek itu ditahan sepasukan anggota dari IPD berkenaan di tepi jalan raya di Kampung Bagan Dewan Kecil, Labok di sini, pada 3.25 petang selepas berlaku pergelutan.

Beliau berkata tangkapan kedua juga dilakukan di kawasan sama pada 4 petang membabitkan seorang pemuda berumur 31 tahun dan merampas sejumlah 198 biji pil kuda bernilai RM3,980 di dalam sebuah pondok.

"Kes ketiga membabitkan seorang penoreh getah berusia 30-an selepas suspek didapati memiliki 95 biji pil kuda yang disimpan di dalam poket seluarnya. Suspek ditahan pada 7.45 malam ketika sedang berjalan bersendirian," katanya.

Katanya kesemua mereka didapati positif dadah dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan direman selama empat hari bermula semalam hingga Khamis ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

Sumber: Bernama | 1 November 2016

Tukang rumah dituduh bunuh bakal abang ipar

Mohd Hafiz Mohamad
KUALA TERENGGANU: Seorang tukang rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh bakal abang iparnya Oktober lepas.

Tertuduh, Mohd Hafiz Mohamad, 29, dituduh membunuh Muhamad Shukri Husin, 34, di tempat letak kereta hadapan pejabat agama Kompleks Seri Iman pada 11.39 pagi, 16 Oktober lepas.

Mohd Hafiz didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang memakai pakaian lokap berwarna oren mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan tetapi tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Majistret Abdul Hayyi Salim tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 4 Disember ini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Minhad manakala tertuduh diwakili peguam Mazlan Md Zain.

Sumber: Bernama | 1 November 2016