Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 9 November 2016

Risda giat bantu pekebun kecil getah tingkatkan pendapatan

KOTA BHARU: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menyalurkan peruntukan RM37.5 juta kepada pekebun kecil seluruh negara tahun ini bagi melaksanakan pelbagai aktiviti ekonomi yang menjana pendapatan. 
 
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Risda Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad berkata peruntukan itu antaranya digunakan bagi melaksana program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan Program Laman Kebun. 
 
"Melalui program itu, objektif Risda adalah supaya pekebun kecil memperoleh purata pendapatan RM4,000 sebulan menjelang 2020," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Risda Peringkat Negeri Kelantan di sini, hari Sabtu. 
 
Bagi tujuan sama, Risda menubuhkan enam Risda Smallholders Mart (RisSMart) sejak 2015 termasuk yang terbaharu di Bera, Pahang pada Oktober lepas dalam meluaskan jaringan perniagaan.
 
Risda turut menyalurkan peruntukan RM630,000 bagi memberi khidmat nasihat kepada usahawan berhubung proses pembungkusan dan pelabelan standard dan menarik, selain RM126,000 kepada 36 usahawan bimbingan agensi itu untuk mendapatkan Sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). 
 
Bagaimanapun, katanya kesediaan usahawan bersikap terbuka dan mampu menguasai kemahiran teknikal, teknologi serta kaedah pemasaran terkini menjadi aspek penting dalam memastikan pelan tindakan itu berjaya. 
 
Sementara itu, Tokoh Usahawan Muda Risda Ridzwah Mohd Hanafiah, 25, berkata bantuan dan bimbingan Risda sejak memulakan perniagaan serunding pada 2011 telah melonjakkan jualannya sehingga ke luar negara. 
 
Pemegang Anugerah Serunding Kebangsaan Terbaik 2013 itu berkata perniagaan serundingnya dimulakan dengan sebuah kuali sahaja tetapi kini mampu menghasilkan 60 kilogram serunding daging dan ayam sehari selepas membuka kilang pada 2013. 
 
Ridzwah kini meraih pendapatan RM84,000 setahun, sedang giat menerokai pasaran baharu di peringkat antarabangsa.
 
Sumber: Bernama | 5 November 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan