KUALA TERENGGANU: Cadangan Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) dalam Bajet 2017 diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 Oktober lalu merupakan khabar gembira buat rakyat Terengganu khususnya mereka yang berada di Dungun.
Projek sepanjang 600 kilometer dari Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan bernilai RM55 bilion itu merentasi Terengganu yang pastinya memberi impak positif terhadap sektor ekonomi dan sosial bagi penduduk setempat.
Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun, Datuk Din Adam ketika dihubungi Bernama berkata ECRL menyediakan satu lagi kemudahan pengangkutan alternatif kepada rakyat dengan lebih selesa dan masa lebih singkat berbanding perjalanan darat sebelum ini.
"Selain Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Kedua dan pengangkutan udara, pengangkutan kereta api melonjakkan lagi potensi Dungun untuk terus mewujudkan lebih banyak pusat pertumbuhan bandar baharu di daerah ini.
"Dungun, sebagai hab pendidikan dan pengajian tinggi di Terengganu mengambil peluang ini untuk merancakkan lagi sektor ekonomi dan pelancongan yang secara tidak langsung dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.
"Apabila banyak pusat pertumbuhan baharu dibuka, secara tidak langsung akan menaikkan nilai hartanah dan sosioekonomi penduduk setempat.
"Saya mewakili penduduk Dungun amat gembira dan berterima kasih kepada kerajaan pusat memberi komitmen bagi membangunkan projek ini demi kesejahteraan rakyat untuk jangka masa panjang," katanya.
Sementara itu, seorang penyelia di syarikat pesisir pantai, PFCE-CG berpangkalan di Kertih, Amir Farid Ngah berkata pembinaan sistem kereta api itu kelak mampu mengurangkan kesesakan aliran trafik di kawasan perindustrian Paka dan Kertih terutamanya pada waktu puncak.
"Bagi pekerja 'offshore' seperti saya kadang-kadang terpaksa berhadapan kesesakan melampau terutama waktu pagi dan petang, sama ada disebabkan kenderaan para pekerja atau lori atau treler yang keluar masuk di kawasan perindustrian ini.
"Jadi kita berharap pembinaan laluan kereta api ini dapat melancarkan aliran trafik di sini dan sekali gus dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar dengan asap kenderaan.
"Selain itu, sudah tentu kos pengangkutan turut berkurangan jika menaiki kereta api berbanding mengisi minyak (petrol) dari Dungun ke Kertih sebanyak RM10 setiap hari," katanya.
Sementara itu, Pengarah SME Corp Terengganu, Muhammad Ibrahim berkata ECRL dilihat mampu memacu kesan positif ekonomi kepada pertumbuhan perindustrian kecil dan sederhana di Terengganu terutamanya di kawasan industri di Kemaman dan Besut.
"Projek ini mampu memberi manfaat secara tidak langsung kepada lebih 22,514 PKS yang masih aktif beroperasi di negeri ini.
"Impak ekonomi lebih meluas dijangka dapat ditingkatkan lagi dengan adanya pelan pembangunan sosioekonomi yang mengambil kira pembangunan stesen ECRL dan kawasan sekeliling.
"Projek ini memberi peluang ekonomi yang besar, terutama dalam peluang pekerjaan, pertumbuhan dan peningkatan industri pelancongan, peningkatan industri binaan, peningkatan peluang dalam sektor makanan dan peruncitan.
"Pembinaan landasan kereta api baharu itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi lebih pesat kepada negeri di pantai timur terutamanya Terengganu dan kawasan berhampiran khususnya," kata Muhammad.
Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT) Ir Azmi Ali berkata projek itu bakal memberi pulangan optimum terutamanya pembangunan fizikal di sepanjang koridor laluan berkenaan.
Katanya, ketika ini lojistik perhubungan pengangkutan Terengganu ketinggalan berbanding negeri lain khususnya negeri di pantai barat Semenanjung.
"Ini terjadi kerana dahulu kereta api tidak boleh diwujudkan di sini dengan alasan faktor muka bumi iaitu Terengganu mempunyai banyak sungai. Tetapi setelah dikenal pasti ia kini boleh dilaksanakan.
"Ia bukan sahaja memberi manfaat untuk pembangunan setempat, tetapi limpahan pembangunannya dapat dinikmati semua lapisan rakyat," katanya.
Katanya, beliau difahamkan kerajaan menaik taraf laluan kereta api sedia ada antara Kertih dan Gebeng (Pahang) untuk membawa barang seperti minyak dan gas ke pelabuhan, yang kini tidak beroperasi sepenuhnya.
"Sekiranya berjalan lancar (projek ECRL), laluan itu turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi sedia ada di kedua-dua tempat berkenaan," katanya.
Sumber: Bernama | 3 November 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan