Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 28 Disember 2013

Tabiat meletak sampah di atas but kereta menjengkelkan

KOTA BHARU: Denda mungkin dikenakan kepada pemilik kenderaan yang meletakkan sampah di atas but kenderaan mereka bagi memastikan aspek kebersihan dijaga dalam konteks lebih tersusun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood (gambar) berkata, penguatkuasaan tersebut bertujuan melatih masyarakat agar lebih berdisiplin, selain mengutamakan kebersihan dalam setiap kegiatan mereka.

“Mulai 2014, kita sudah ada aturan untuk mendenda mereka meletakkan sampah di atas but kenderaan mereka.

"Kita telah kemas kini undang-undang kecil, jika didapati ada yang bertindak demikian, mereka boleh didenda di bawah Akta Kebersihan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Selain itu katanya, jadual pembuangan sampah juga akan dikeluarkan supaya bahan buangan itu tidak dibuang di luar waktu ditetapkan sehingga mengganggu proses mengangkut, seterusnya menyebabkan ia tidak dapat diurus dengan baik.

“Kita mahu sampah  dapat dipungut dan dihantar ke tempat sepatutnya mengikut waktu ditetapkan kerana kita tidak mahu masyarakat terbeban dengan perkara ini,” katanya.

Abdul Fattah berkata, pemerhatian pihaknya juga mendapati sampah tidak dibuang dengan baik sehingga terdapat tong sampah kosong, sedangkan bahan buangan bertaburan di kawasan sekitarnya sehingga menampakkan betapa kotornya kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, dalam menangani masalah sampah, peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan individu penting bagi memastikan penguatkuasaan yang telah dan akan dilaksanakan mencapai matlamat.

Beliau yang juga Adun Bukit Panau berkata, pihaknya juga akan menghidupkan semula program kitar semula dan untuk peringkat pertama, sebanyak 10 tong akan diagihkan sebelum diletak di kawasan pusat beli-belah seperti Pasar Siti Khadijah dan stesen bas.

“Ia bukan sekadar untuk membuang sampah, malah diwujudkan ruang menjana pendapatan kepada pihak yang menjaga tong berkenaan, sebab saya melihat di Malaysia kita banyak membazir, sedangkan sesetengah negara, bahan buangan mampu menjana pendapatan kepada syarikat mereka,” katanya.

Abdul Fattah berkata, pihaknya sentiasa berusaha mengendalikan tempat pembuangan sampah yang ada sebaiknya dan penambahbaikan dari masa ke semasa akan dilakukan demi meningkatkan lagi tahap kebersihan di negeri ini.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 28 Disember 2013

Pondok Tok Kenali perlukan dana dan sumbangan

Bangunan Tahfiz al-Quran dan Dewan Tok Kenali tingkat dua dan tiga masih memerlukan dana untuk menyiapkannya.
KOTA BHARU: Dana dan sumbangan diperlukan bagi menggerakkan semula tapak asal pergerakan ulama serta Pondok Tok Kenali yang pernah terkenal di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian.

Penaung Masjid Tok Kenali, Lokman Ahmad berkata, Pusat Tahfiz Al-Quran dan Dewan Tok Kenali masih dalam pembinaan.

“Sekarang tingkat bawah bangunan Dewan Tok Kenali atau tingkat satu dewan serba guna ini boleh dikatakan hampir siap, cuma masih memerlukan dana bagi tingkat kedua dan ketiga," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ahmad berkata, bagi membaik pulih ketiga-tiga bangunan tersebut iaitu pusat tahfiz dan dewan, masjid dan pondok, kira-kira RM1 juta dijangka diperlukan termasuk pembinaan pagar besi bagi keselamatan penghuni.

Katanya, pembinaan tingkat dua dewan dan Pusat Tahfiz Al-Quran Tok Kenali sudah dimulakan dengan pembinaan besi konkrit berikutan tingkat satu akan disiapkan dalam masa terdekat.

“Sebanyak RM157,000 diperuntukkan bagi pembinaan tingkat bawah dewan berkenaan dan sekarang pihak kami mencari dana bagi membolehkan kawasan sekitar Pondok Tok Kenali ini dibaik pulih," katanya.

Katanya, sumbangan dana boleh disalurkan melalui akaun Maybank 553104411293 atas nama Dewan Tok Kenali. "Mereka yang prihatin juga boleh menghubungi talian 012-9540237 atau  09-7654666," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 28 Disember 2013

Isnin, 23 Disember 2013

FAMA jamin bekalan makanan mencukupi

KOTA BHARU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bahawa bekalan makanan di negeri ini yang dijangka bakal berdepan banjir gelombang kedua, adalah mencukupi.

Pengarah FAMA Wilayah Timur, Mohd. Ariffin Awang berkata, setakat ini bekalan makanan masih lagi mencukupi dan pengguna tidak perlu bimbang kemungkinan bekalan akan terputus.

"Pihak kami mendapati keperluan harian terutama sayur-sayuran, ikan, daging mencukupi dan tidak menghadapi masalah. Buat masa ini kesemua jenis barangan terkawal termasuk daging dan ayam masih lagi dapat memenuhi keperluan pengguna," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya mengambil berat akan keperluan orang ramai khususnya bagi mereka yang menghadapi banjir.

"Pihak kami juga akan sentiasa memantau semua barangan yang diperlukan agar ia sentiasa memenuhi permintaan," katanya.

Sementara itu, Mohd. Ariffin memberitahu, setakat ini bekalan dan harga barangan keperluan yang terdapat di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjong di sini, masih kekal.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 21 Disember 2013

Kerajaan Kelantan & Tourism Malaysia perkasa industri pelancongan Kelantan

Md. Anizam Abd Rahman melekatkan pelekat Tahun Melawat Malaysia pada sebuah kereta sambil diperhatikan oleh Noraida Ismail (kanan) di KB Mall, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk memperkasakan industri pelancongan di negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Md. Anizam Abdul Rahman berkata, pihaknya menyasarkan kedatangan seramai enam juta pelancong ke negeri ini pada tahun depan.

"Bagi mencapai misi, pihak kami akan memberi fokus kepada mempromosi budaya, makanan dan tempat beli-belah yang menarik di negeri ini. Pihak kami juga mahu sebanyak 30 peratus pelancong asing hadir ke negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Peraduan Foto Pelekat atau Stiker Tahun Melawat Malaysia di KB Mall dekat sini semalam. Turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia, Noraida Ismail.

Md. Anizam berkata, kerajaan negeri turut berharap lebih ramai pelancong asing seperti Thailand dan juga negara lain hadir ke Kelantan bagi menyemarakkan lagi industri pelancongan tempatan. Jelasnya, pada tahun lalu sebanyak 5.2 juta pelancong telah datang ke negeri ini.

Mengulas mengenai program pada hari ini, beliau berkata, ia diadakan serentak di seluruh negara bagi mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014. Katanya, pelekat kenderaan ini akan diedar di 15 lokasi iaitu enam lokasi tol dan satu di kawasan rehat dan rawat di bawah seliaan PLUS.

"Peraduan tersebut akan berlangsung selama tiga bulan bermula pada 1 Januari sehingga 31 Mac 2014 dan pelbagai hadiah menarik termasuk pakej pelancongan domestik.

"Bagi mereka yang ingin menyertai peraduan ini, boleh di buat melalui laman sosial Facebook Cuti-Cuti 1 Malaysia dengan mengambil gambar kenderaan yang diletakkan pelekat TMM 2014 dengan berlatar belakangkan tarikan pelancongan yang terdapat di Malaysia," ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 20 Disember 2013

Jumaat, 20 Disember 2013

Mundur 40 tahun, Kamaruddin tidak kenal Kelantan

KUALA LUMPUR: Tuduhan dilemparkan Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar (gambar)  kononnya  Kelantan mundur 40 tahun membuktikan beliau tidak pernah menjejakkan kaki serta mengenali negeri itu secara dekat.

Jelas Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd Hatta Ramli kepada Harakahdaily, kenyataan Kamaruddin itu turut menunjukkan beliau tidak mendapat maklumat serta statistik yang lengkap mengenai kejayaan Kelantan berbanding negeri-negeri lain.

Menurutnya lagi, Kamaruddin perlu melawat Sabah dan Sarawak terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan yang tidak berasas.

"Saya tidak tahu dari mana beliau mendapat maklumat tersebut dan bagi saya kenyataan sedemikain menunjukkan beliau tidak pernah menjejak kaki ke Kelantan atau mengenali negeri itu.

"Nasihat saya cuba melawat Sabah dan Sarawak, lihat negeri yang berada di bawah  BN dari segi kemajuan lepas itu baru boleh bandingkan dengan Kelantan.

"Baru kita tahu negeri mana yang lebih mundur, jangan menuduh tanpa bukti serta fakta yang kukuh," jelasnya.

Pembangunan pesat bandar raya Kota Bharu, Kelantan sejak 10 tahun lepas.
Dr  Hatta menambah, Kelantan selama ini telah melahirkan pelajar yang mempunyai pendidikan terbaik serta golongan profesional serta usahawan yang berjaya.

Malah turut menjadi tumpuan kepada mereka yang ingin mendalami pendidikan Islam sehinggakan dapat menghantar lebih ramai pelajar ke luar negara dalam bidang pendidikan Islam.

"Selama ini kita melihat Kelantan telah melahirkan ramai pelajar yang terbaik dalam segala  bidang termasuk pendidikan agama dan mampu melahirkan ilmuwan dalam pendidikan Islam.

"Malah ramai golongan profesional dan korporat yang juga berasal dari negeri ini termasuk mereka yang memegang jawatan tinggi di sektor awam. 

"Bukti ini jelas menunjukkan Kelantan bukan sebuah negeri yang mundur jika dibandingkan negeri lain, malah lebih maju lagi. Kalau mundur mana mungkin kita dapat melahirkan individu yang hebat," sambungnya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat meminta Kamaruddin lebih berhati-hati dalam percakapannya dan jika ingin membuat perbandingan dari segi fizikal perlu membandingkan Sabah dan Sarawak yang sejak dahulu di bawah pentadbiran BN.

Katanya lagi, Kamaruddin tidak perlu bercakap seperti ‘tong kosong’ hanya semata-mata ingin mendapat tempat dalam BN.

Sumber: Harakah Daily | 19 Dis. 2013

Kesihatan: Hidup sihat tanpa buasir

MENDENGAR penyakit buasir atau hemoroid, ramai malu untuk berbincang secara terbuka. Namun hakikatnya penyakit itu boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengenal usia akibat gaya hidup, pemakanan dan kurang senaman. Lebih mengejutkan apabila pengamal perubatan mengesahkan penghidapnya ada yang seawal belasan tahun.

Mengikut ilmu perubatan, penyakit yang terjadi di bahagian dubur itu diakibatkan saluran darah venus yang mengembang dan bengkak di sekitar dubur (rektum dan anus). Akibatnya, setiap kali seseorang pesakit mahu membuang air besar atau melalui proses meneran, mereka akan berasa sakit dan mengeluarkan darah bersama najis atau menitis, sama ada sebelum atau selepas.

Buasir mempunyai dua jenis iaitu;

Buasir luar - Ia berlaku  di bawah kulit, betul-betul di luar pembukaan dubur. Ia mungkin akan menyebabkan sakit dan rasa gatal terutama ketika proses pembuangan air besar. Buasir jenis ini agak lembut (jika dipegang dengan tangan).

Buasir dalam - Buasir jenis ini berlaku di bahagian dalam rektum. Selalunya buasir jenis ini tidak sakit sebaliknya penderita buasir jenis ini hanya akan menyedari masalah yang menimpa bila terdapat darah yang keluar dari duburnya. Bahaya seperti penyakit lain, buasir juga mempunyai beberapa peringkat iaitu;

Tahap 1: Berlaku pendarahan dan bengkak dan ketulan menonjol keluar

Tahap 2: Disebabkan oleh pergerakan usus, bengkak akan keluar tetapi secara spontan akan masuk balik ke dalam dubur.

Tahap 3: Keadaan sama seperti tahap dua, tetapi bengkak tersebut akan hanya berada di dalam setelah ditolak masuk.

Tahap 4: Darah keluar ketika mahu membuang air besar dan rasa sakit. Buasir (ketulan) tidak boleh lagi dimasukkan ke dalam dubur. Penghidap tidak akan rasa selesa untuk menjalankan aktiviti harian.

Gaya hidup tidak sihat
Buasir berpunca daripada gaya hidup yang tidak sihat. Antara punca penyakit itu dapat dilihat jika melibatkan seseorang itu kurang minum air dan makanan berserat tinggi yang membolehkan berlaku sembelit. Cirit-birit juga boleh menjadi punca kepada penyakit itu. Wanita hamil berisiko dapat buasir. Namun ia tidak membahayakan ibu dan anak.

Pencegahan
Walaupun tiada kaedah khusus untuk mencegah buasir, tetapi amalan gaya hidup sihat dapat menghindarkan kita daripada masalah ini. Antara saranan yang digalakkan, ubah gaya pemakanan dengan melebihkan pengambilan sumber serat (sayur-sayuran dan buah-buahan); lebih baik jika dapat makan lima hidangan sayur dan buah setiap hari.

Minum banyak air masak, sekurang-kurangnya satu hingga dua liter sehari. Ia bertujuan melembutkan najis supaya ia senang keluar. Pengambilan serat perlu diselaraskan dengan air.

Lebih banyak serat diambil, jadi lebih banyak air diperlukan. Selain itu pelajari cara betul untuk buang air besar dan senaman seperti kegel bagi menguatkan tulang bahagian punggung. Senaman mudah seperti berjalan cepat selama 30 minit sehari juga sudah memadai bagi menyihatkan badan sekali gus dapat mengelakkan penyakit.

Rawatan
Bagi buasir yang tidak dapat disembuhkan dengan rawatan konservatif, rawatan yang standard boleh dijalankan iaitu mengikat dengan lingkaran getah. Satu atau dua lingkaran getah diikat di sekeliling pangkal buasir. Ini akan menyekat peredaran darah ke buasir tersebut. Dalam masa tujuh hingga 10 hari buasir tersebut akan tertanggal keluar.

Koagulasi Inframerah - Sinaran inframerah dipancarkan selama satu atau dua saat untuk menghentikan bekalan darah ke buasir. Anda mungkin terasa bahang panas ketika prosedur ini dilakukan dan terdapat sedikit pendarahan berlaku dalam beberapa hari selepas itu.

Prosedur ini sama juga seperti ikatan lingkaran getah, dilakukan hanya untuk buasir dalaman. Tetapi ia lebih cepat dan kurang menyebabkan jangkitan. Elektrokoagulasi bipolar - Prosedur ini dikenali juga dengan nama bicap, adalah sama seperti prosedur koagulasi Inframerah dan ia mempunyai kebaikan dan keburukan yang sama.

Terapi laser - Pancaran laser akan mengewapkan tisu buasir. Tetapi prosedur ini didapati lebih mahal dan tidak menunjukkan sebarang kelebihannya dari prosedur lain. Pembedahan biasanya dilakukan sebagai langkah terakhir apabila kedua-dua jenis buasir tersebut menjadi semakin teruk dan rawatan-rawatan lain tidak berjaya menyembuhkannya.

Kaedah ini didapati berkesan tetapi pesakit terpaksa tinggal di dalam hospital sehari dua dan mengambil masa yang agak lama untuk sembuh berbanding dengan pendekatan-pendekatan lain.

Anda juga harus mendapatkan nasihat doktor bagi rawatan yang cepat bertindak ke akar masalah buasir seperti krim, minyak, suppositories, kain lap, dan rawatan ais adalah sementara dan banyak kali boleh merengsakan permukaan dubur.

- Bersama pakar perubatan keluarga, Dr Razana Zakaria

Sumber: Sinar Harian | 15 Dis. 2013

Khamis, 19 Disember 2013

MP PAS & BN tuntut Kerajaan Pusat naik taraf Lapangan Terbang Kota Bharu

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen (MP) PAS dan BN bersatu hati menuntut Kerajaan Pusat memperuntukkan perbelanjaan di bawah Kementerian Pengangkutan bagi menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Mereka mengakui bahawa satu-satunya lapangan terbang di negeri itu wajar dinaik taraf segera kerana keperluan mendesak dengan aliran keluar masuk para pelancong ke negeri Kelantan.

Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary (gambar) melahirkan rasa kecewa apabila cadangan ini telah dibangkitkan beberapa kali di dalam Dewan Rakyat, malangnya kerajaan memberi jawapan yang mengecewakan.

"Ahli Parlimen Kelantan beberapa kali membangkitkan persoalan ini namun sehingga ini tidak ada apa-apa tercatat dalam bajet ini.

"Sudah sampai masanya lapangan terbang ini dijadikan lapangan terbang bertaraf antarabangsa. Jumlah pelancong keluar masuk terlalu ramai," katanya ketika berbahas di dalam dewan.

Beliau juga mempersoalkan mengapa peruntukan kali ini hanya memperuntukkan kepada Lapangan Terbang Sarawak dan Sabah sahaja. "Saya minta tambah peruntukan untuk Lapangan Terbang di Pengkalan Chepa ini," katanya.
 
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (gambar kedua) juga mengakui lapangan terbang itu antara yang tertua dan wajar ia diperbesarkan sebagai penerbangan di peringkat antarabangsa.

Bahkan katanya, dengan menaik taraf lapangan terbang itu sekali gus menjadikan Kelantan sebagai pintu masuk utama pelancong dari luar negara.

"Dan yang paling penting, terutama bagi jemaah haji daripada Kelantan agar mereka boleh terus ke Arab Saudi, inilah keperluan mendesak yang perlu disegerakan," katanya ketika mencelah memohon penjelasan daripada Marzuk.

Dalam jawapan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Karpawi menegaskan lapangan terbang sudah dinaik taraf dengan memanjangkan landasan lapangan terbang itu. "Menaik taraf akan ada dalam perancangan supaya dapat memenuhi keperluan masa akan datang," katanya.

Sumber: Harakah Daily | 3 Dis. 2013