Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 23 Disember 2013

Kerajaan Kelantan & Tourism Malaysia perkasa industri pelancongan Kelantan

Md. Anizam Abd Rahman melekatkan pelekat Tahun Melawat Malaysia pada sebuah kereta sambil diperhatikan oleh Noraida Ismail (kanan) di KB Mall, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk memperkasakan industri pelancongan di negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Md. Anizam Abdul Rahman berkata, pihaknya menyasarkan kedatangan seramai enam juta pelancong ke negeri ini pada tahun depan.

"Bagi mencapai misi, pihak kami akan memberi fokus kepada mempromosi budaya, makanan dan tempat beli-belah yang menarik di negeri ini. Pihak kami juga mahu sebanyak 30 peratus pelancong asing hadir ke negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Peraduan Foto Pelekat atau Stiker Tahun Melawat Malaysia di KB Mall dekat sini semalam. Turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia, Noraida Ismail.

Md. Anizam berkata, kerajaan negeri turut berharap lebih ramai pelancong asing seperti Thailand dan juga negara lain hadir ke Kelantan bagi menyemarakkan lagi industri pelancongan tempatan. Jelasnya, pada tahun lalu sebanyak 5.2 juta pelancong telah datang ke negeri ini.

Mengulas mengenai program pada hari ini, beliau berkata, ia diadakan serentak di seluruh negara bagi mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014. Katanya, pelekat kenderaan ini akan diedar di 15 lokasi iaitu enam lokasi tol dan satu di kawasan rehat dan rawat di bawah seliaan PLUS.

"Peraduan tersebut akan berlangsung selama tiga bulan bermula pada 1 Januari sehingga 31 Mac 2014 dan pelbagai hadiah menarik termasuk pakej pelancongan domestik.

"Bagi mereka yang ingin menyertai peraduan ini, boleh di buat melalui laman sosial Facebook Cuti-Cuti 1 Malaysia dengan mengambil gambar kenderaan yang diletakkan pelekat TMM 2014 dengan berlatar belakangkan tarikan pelancongan yang terdapat di Malaysia," ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 20 Disember 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan