Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman (tengah) menyertai kerja-kerja membina dinding rumah seorang penerima program Kembara Jalinan Kasih NBOS-CTU KKMM di Kampung Pak Mali, Bachok. |
Program itu dipelopori Jabatan Penerangan melalui Komuniti 1Malaysia dan dilaksanakan berperingkat secara bergotong royong.
Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata, program itu bukan sahaja bertujuan membantu masyarakat setempat yang kurang bernasib baik, malah merapatkan hubungan pihaknya dengan masyarakat setempat.
Menurutnya, kos diperuntukkan bagi sebuah rumah ialah RM25,000 namun nilai itu bergantung kepada keperluan semasa.
“Pada peringkat awal, kita akan mengenal pasti sejauh mana kerosakan rumah, jika hanya atap sahaja yang bocor jadi kita akan membaiki atap sahaja. Selebihnya kos yang ada akan disalurkan kepada rumah lain pula.
“Seandainya ada rumah yang perlu dibina baru, kita akan bina dengan peruntukan yang diberi. Kos tersebut merangkumi bahan keperluan seperti simen dan zink. Kerja-kerja membina pula dilakukan secara gotong royong dalam kalangan sukarelawan, “ katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri Program Kembara Jalinan Kasih NBOS-CTU Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (Pembaikan Rumah) melibatkan sebuah rumah penerima di Kampung Pak Mali, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Penerangan Kelantan, Azhar Ismail.
Sementara itu, penerima bantuan pembaikan rumah, Nor Azian Abu Bakar, 42, yang juga suri rumah meluahkan rasa bersyukur apabila nasibnya terbela dan mampu memiliki kediaman yang selesa untuk diduduki menerusi program tersebut.
“Kami sebelum ini tinggal dalam keadaan yang sangat tidak selesa apabila atap bocor dan tidak berlantai. Suami, Wan Hassan Wan Hamad,50, yang kerja sebagai buruh dengan pendapatan RM600 sebulan memang tidak mampu untuk membaiki rumah.
“Saya bersyukur kerana rumah yang dibina hampir 20 tahun ini dibaiki. Saya amat berterima kasih dengan keprihatinan pihak yang terlibat, “ ujarnya.
Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 21 Januari 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan