KOTA BHARU: Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan bukan sahaja mampu melenyapkan mimpi ngeri Bah Kuning 2014 malah melonjakkan ekonomi rakyat yang tinggal di sepanjang Sungai Kelantan dan beberapa sungai utama lain.
Sebelum ini, banjir musim tengkujuh yang melanda negeri ini setiap tahun menyebabkan ramai yang terpaksa dipindahkan manakala tanaman seperti padi dan tanaman kontan musnah selain rumah serta harta benda turut rosak.
Namun kini, rata-rata penduduk yang ditemui melahirkan kegembiraan dengan keprihatinan kerajaan persekutuan untuk menyelamatkan mereka daripada bencana alam tersebut dan turut memberi kesan positif kepada ekonomi rakyat setempat.
Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Sangkar Laguna Tujuh, Tumpat, Saifullah Che Mat berkata projek PLSB akan membantu mengurangkan kerugian ratusan penternak di kawasan berkenaan setiap kali berlakunya banjir.
"Ramai penternak mengalami kerugian besar mencecah ribuan ringgit setiap tahun sedangkan ia merupakan sumber pendapatan utama mereka untuk menyara keluarga," katanya.
Beliau berharap pelaksanaan projek PLSB itu mampu memberi peluang kepada penternak menghasilkan 600 tan metrik ikan setahun seperti yang disasarkan Jabatan Perikanan berbanding pengeluaran hanya 100 tan metrik ketika ini.
Projek PLSB dilaksanakan secara bersepadu dan berfasa dengan kos keseluruhan RM9.6 bilion yang mana fasa 1 membabitkan kos RM572 juta telah bermula 29 Jan lepas dan dijangka siap pada pertengahan 2021.
Majlis pecah tanah bagi projek fasa 1 telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Jan lepas di sini, yang akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 penduduk di jajahan Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang dan Kota Bharu.
Projek fasa 2 pula akan dilaksanakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) membabitkan kos RM2.16 bilion manakala fasa 3 dilaksanakan dalam RMK13 membabitkan kos RM6.87 bilion.
Pembangunan infrastruktur berkenaan terdiri daripada empat komponen utama iaitu Rancangan Tebatan Banjir, 'Living River', Saliran Mesra Alam dan 'Water Balance'.
Nada gembira turut disuarakan wakil masyarakat Siam Tumpat, Chuan Ea Eng, 58, yang berasa lebih yakin dengan keselamatan keluarganya kerana sebelum ini mereka tidak dapat tidur nyenyak setiap kali tibanya musim tengkujuh.
"Tumpat menjadi jajahan terakhir digenangi banjir akibat limpahan air sungai Kelantan dan sungai Golok. Banjir di jajahan ini mengambil masa yang lama untuk surut, kadang-kadang melebihi seminggu dan kami terpaksa tinggal agak lama di pusat pemindahan sementara," katanya.
Beliau berkata setiap kali kembali ke rumah, mereka perlu membersihkan kediaman masing-masing dan selalunya banyak barangan yang rosak selain berdepan risiko kecurian.
Katanya dengan terlaksananya projek PLSB, diharap akan menamatkan pengalaman pahit itu dan penduduk tidak perlu lagi berpindah atau risau apabila tibanya musim tengkujuh.
Penduduk Kampung Bendang Pak Yong, Ariffin Awang Cik, 57, pula berkata projek tersebut menunjukkan kecaknaan kerajaan persekutuan terhadap rintihan rakyat selama ini untuk menyelesaikan masalah banjir selain mensejahterakan kehidupan rakyat Kelantan.
"Projek ini amat dinantikan semua penduduk yang terkesan banjir di negeri ini. Bagi kami ia hadiah paling bermakna yang mampu menamatkan penderitaan ribuan penduduk di sepanjang Sungai Kelantan," katanya.
Beliau berkata kecaknaan kerajaan itu amat dihargai mereka dan diharapkan akan menoktahkan masalah yang membelenggu mereka selama ini.
Sumber: Bernama | 5 Februari 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan