KOTA BHARU: Tindakan seorang lelaki membuang bungkusan dipercayai berisi dadah bagi mengelak daripada ditahan gagal, apabila polis berjaya memberkasnya dan menemui semula bungkusan dadah mengandungi 12,000 biji pil kuda (methamphetamine) yang dianggarkan bernilai RM120,000 di Kampung Tasik Hulu, Gual Sitok, Rantau Panjang semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata dadah itu dijumpai dalam semak di belakang sebuah rumah dipercayai dibuang oleh suspek yang berumur 45 tahun kira-kira pukul 7 malam.
Rampasan dan tangkapan itu hasil daripada usaha risikan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am Batalion Kelapan (PGA8) di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.
Menurutnya suspek dipercayai membuang bungkusan itu selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa yang memantau pergerakannya sebelum cuba melarikan diri namun gagal apabila ditahan.
Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap bungkusan yang dibuang suspek menemui enam bungkusan plastik lutsinar mengandungi pil kuda berkenaan.
Katanya suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Hasanuddin berkata polis juga merampas sejumlah dadah jenis syabu dalam serbuan di Jalan Kampung Tendong, Pasir Mas, pukul 12.30 tengah malam tadi.
Katanya anggota polis yang sedang membuat rondaan di kawasan itu ternampak seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan dan apabila dihampiri suspek terus melarikan diri sambil mencampakkan sebuah beg kecil ke dalam semak.
"Pemeriksaan terhadap beg itu mendapati kandungannya terdiri sejumlah dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM4,200 serta satu kad pengenalan seorang lelaki berusia 54 tahun," katanya.
Polis sedang mengesan lelaki tersebut berdasarkan identiti kad pengenalan itu.
Sumber: Bernama | 4 Januari 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan