Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 28 Julai 2017

Masjid Brunei mercu tanda 'tersembunyi' di Danau Tok Uban


Masjid Brunei yang tersergam indah di Tasik Danau Tok Uban antara mercu tanda tersembunyi di kawasan Chetok, Pasir Mas, Kelantan.
PASIR MAS: Masjid Brunei yang tersergam indah di Tasik Danau Tok Uban di sini merupakan antara mercu tanda ‘tersembunyi’ di kawasan Chetok.

Mana tidaknya, masih ada dalam kalangan penduduk di kawasan sekitar bahkan di nege­ri ini tidak mengetahui kewujudan masjid berkenaan yang mempunyai pemandangan cantik terutama setiap kali matahari terbenam.

Sementara itu, seni binanya yang bercirikan Asia Barat serta Melayu Brunei yang klasik, di samping warnanya yang putih bersih berjaya menarik perhatian sesiapa sahaja yang melalui kawasan tersebut.

Meskipun terletak agak jauh di kawasan pedalaman, masjid berkenaan tidak pernah sunyi dengan kegiatan keagamaan.

Masjid yang tersergam indah di tepi Tasik Danau Tok Uban tersebut digunakan oleh pelajar sebuah maahad tahfiz sebagai lokasi untuk mereka mendalami ilmu agama.

Pada waktu pagi dan petang penduduk di sekitar kawasan berkenaan pasti akan terde­ngar alunan merdu ayat suci al-Quran yang dilontarkan oleh para pelajar tersebut.

Seorang penduduk, Osman Hussain, 74, berkata, pembina­an masjid itu merupakan lambang persahabatan utuh antara bekas Menteri Besar sekitar tahun 70-an, Datuk Muhamed Nasir de­ngan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Menurutnya, hubungan erat itu diterjemahkan menerusi pembinaan bangunan masjid yang kosnya dibiayai sepenuh­nya oleh baginda.

“Hubungan Muhamed de­ngan Sultan Brunei cukup rapat dan beliaulah yang bertang­gungjawab merealisasikan pem­binaan masjid berkenaan.

“Selain itu, Sultan Brunei turut memberi perkenan membina sebuah maahad tahfiz di kawasan tasik berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Osman memberitahu, sebagai penduduk Chetok pembinaan masjid itu merupakan satu kebanggaan kepada mereka yang tinggal berhampiran kawasan tersebut.

Katanya, masjid berkenaan kini digunakan sepenuhnya oleh pelajar mahaad tahfiz untuk mendalami ilmu agama.

“Saya difahamkan operasi pe­ngurusan pusat pengajian yang kini digelar Maahad Tahfiz Tok Uban berkenaan disumbangkan secara terus oleh Sultan Brunei,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 27 Julai 2017 | Terbitan 28 Julai 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan