Gambar hiasan. |
KOTA BHARU: Peningkatan jumlah sampah setiap kali Ramadan dan Aidilfitri bukan lagi perkara luar biasa di negeri ini, malah saban tahun hampir dua kali ganda sisa pepejal dihasilkan setiap hari.
Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB- BRI), Rosnazli Amin berkata, sekitar 360 tan metrik sampah diangkut sehari pada hari biasa berbanding 500 hingga 700 tan metrik sehari bermula awal hingga pertengahan Ramadan lalu.
“Peningkatan terus berlaku pada penghujung Ramadan sehingga hari raya kelima dengan purata 800 tan metrik sehari (termasuk 550 tan metrik diangkut Alam Flora Sdn Bhd), berbanding sekitar 360 tan metrik sehari pada hari biasa.
“Ia (peningkatan) dikatakan berpunca daripada pertambahan jumlah aktiviti perniagaan seperti bazar Ramadan dan penjaja perseorangan,” katanya, mengulas situasi semasa pengurusan sisa pepejal sepanjang musim perayaan di negeri ini.
Rosnazli berkata, peningkatan jumlah sisa pepejal juga dikatakan berpunca daripada kerja pembersihan rumah dilakukan orang ramai menjelang musim perayaan, selain aktiviti rumah terbuka yang menjadi amalan kebanyakan masyarakat di negeri ini.
Mengulas lanjut, Rosnazli berkata, kerja pembersihan sisa pepejal musim perayaan ini masih dijalankan MPKB- BRI dan dijangka berakhir Ahad ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd Zain Hassan berkata, dalam tempoh 10 hari, Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mengutip 550 tan metrik sisa domestik dan sisa pukal serta kebun ketika menjalankan kerja kutipan dan pembersihan di Kota Bharu.
Menurutnya, kerja kutipan dan pembersihan dilakukan di jalan utama dan protokol seperti Jalan Tok Guru, Jalan Sultan Yahya, Jalan Pasir Puteh dan Jalan Long Yunus, bermula 12 hingga 21 Julai lalu.
Mohd Zain berkata, daripada jumlah keseluruhan sampah dipungut, hampir 70 peratus adalah sisa makanan, manakala selebihnya sisa pukal dan sisa kebun.
“Perbuatan membeli pelbagai jenis juadah berbuka puasa melebihi kebiasaan, selain peningkatan tapak jualan sementara terutama sepanjang sambutan Aidilfitri termasuk rumah terbuka dikatakan antara penyumbang peningkatan jumlah sampah di negeri ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 24 Julai 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan