PASIR PUTEH: Manifesto yang sedang dirangka Barisan Nasional (BN) Kelantan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah berteraskan Islam bagi menyelesaikan pelbagai kemelut yang sedang dihadapi rakyat di negeri ini.
Pengerusi Biro Agama Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pembangunan yang akan dibawa oleh UMNO bukan berbentuk retorik dan semangat semata-mata bagi mengaburi mata rakyat untuk menang pilihan raya.
"Sebaliknya ia berbentuk holistik dan komprehensif berasaskan kemampuan yang ada," katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra pemimpin bersama nelayan di Tok Bali di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Datuk Zawawi Othman dan ADUN Selising, Zulkifli Ali menyertai perarakan lebih 100 bot nelayan sepanjang lebih satu kilometer di Terusan Semerak bermula di muara Tok Bali hingga Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali.
Asyraf Wajdi yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata antara agenda yang akan dimasukkan dalam manifesto itu ialah pembangunan di kawasan Tok Bali yang berpotensi sebagai pusat pertumbuhan baharu ekonomi Kelantan.
Beliau berkata pelbagai projek ekonomi yang akan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat akan diwujudkan di kawasan itu menerusi rancangan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Katanya melalui projek tersebut, rakyat Kelantan terutama golongan muda tidak perlu lagi berhijrah ke negeri lain untuk mencari pekerjaan dengan meninggalkan ibu bapa yang sudah tua dan memerlukan penjagaan oleh anak-anak.
Sementara itu, Zawawi yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh berkata lebih 1,000 nelayan di Tok Bali terutama nelayan tradisional yang berpendapatan rendah akan turut mendapat manfaat hasil limpahan pembangunan ekonomi itu.
Beliau berkata hasil tangkapan nelayan terbabit boleh dikomersialkan menerusi projek hiliran di bawah Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Sumber: Bernama | 6 Januari 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan