Joyful Malaysia bersama Kerajaan Negeri Kelantan dan Pusat Maklumat Pelancongan Kelantan yang dilancarkan baru-baru ini di Terminal KLIA 2. |
KUALA LUMPUR: Sebagai tanah pertama dipijak pelancong yang datang melalui laluan udara, peranan lapangan terbang dalam memberikan gambaran baik buat negara kepada pelancong adalah sangat penting.
Sehubungan itu, Malaysia Airports mengambil inisiatif melaksanakan kempen Joyful Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ia bertujuan menyambut kedatangan pelancong dengan suasana ceria, ramah dan dipenuhi citra tempatan agar para pelancong mendapat gambaran keseronokan yang dapat dinikmati sepanjang berada di negara ini.
Menurut pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Raja Azmi Raja Nazuddin, pihaknya komited mahu mempromosi produk budaya dan layanan baik negara ini kepada pelancong.
“Terbaharu, kami berkerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan dan Pusat Maklumat Pelancongan Kelantan untuk mempromosi budaya serta produk dari negeri itu melalui kempen Joyful Malaysia.
“Sejak 2017 sehingga kini, kami telah mempamerkan keindahan budaya lapan negeri di KLIA. Tanpa sangsi, kempen Joyful Malaysia begitu popular dalam kalangan tetamu tempatan dan luar negara di lapangan terbang kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pasaran besar untuk produk Malaysia
Menurut Raja Azmi lagi, sehingga November tahun ini, seramai 89.8 juta penumpang dikendalikan di 39 buah lapangan terbang di bawah seliaannya.
Jumlah ini dilihat sebagai peluang besar untuk mereka membantu para pelancong mengenali keindahan budaya serta aneka produk unik tempatan.
“Kami mengendalikan lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18 lapangan pelepasan dan pendaratan singkat (STOLports).
Bukan sahaja budaya, malah jualan produk seperti makanan serta kraf tangan berjenama tempatan turut dipersembahkan di kawasan lapangan terbang bagi menyambut ketibaan para pelancong.
Strategi Reset Komersial
Sejajar dengan misi mengangkat jenama Malaysia yang unik, MAHB akan menjalankan strategi Reset Komersial pada lima lapangan terban antarabangsa, iaitu KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Menurut Raja Azmi, melalui strategi ini, kesemua lapangan terbang yang terlibat akan menjadi kawasan membeli-belah antarabangsa yang memasarkan pelbagai produk unik tempatan.
“Lapangan terbang bukan sahaja komponen penting dalam jaringan pengangkutan antarabangsa, malah memainkan peranan penting dalam menghubungkan komuniti, budaya dan perniagaan tempatan dengan dunia,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 20 Disember 2018
#visitmalaysia2020
Tiada ulasan:
Catat Ulasan