Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 27 Disember 2018

Kota Bharu disasar jadi Bandar Pelancongan OIC 2025

Pasar Besar Siti Khadijah di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan yang menjadi salah satu tarikan pelancongan utama di bandar raya ini. Foto ihsan: http://gotravelaz.com/kota-bharu/
KOTA BHARU: Jawatankuasa Belia, Sukan, Seni dan Budaya yang ditubuhkan Pakatan Harapan (PH) di Kelantan bagi membantu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyasarkan Kota Bharu sebagai Bandar Pelancongan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 2025.

Pengerusi PH Kelantan Datuk Husam Musa berkata justeru itu, jawatankuasa berkenaan yang dianggotai beberapa agensi Kerajaan Persekutuan termasuklah MOTAC Kelantan dan Tourism Kelantan akan merangka pelan induk lima tahun pelancongan bagi mencapai tujuan tersebut.

"Tahun depan Dakar (di Senegal) dipilih untuk menjadi Bandar Pelancongan Islam OIC dan kita menyasarkan bermula 2025, Kota Bharu dipilih sebagai Bandar Pelancongan Islam OIC pula," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang turut dihadiri Pengarah MOTAC Kelantan Mohd Aidil Afizie Daud dan Pengarah Tourism Kelantan Hafiz Hazim di Pejabat MOTAC Kelantan di sini, hari ini.

Husam berkata antara program yang boleh dilaksanakan dalam pelan berkenaan termasuklah permulaan Perang Dunia Kedua yang bermula di Kelantan dengan pendaratan Jepun ke Pantai Pak Amat di sini, pada 8 Disember 1941.

"Salah satu perkara yang memberi kesan kepada seluruh dunia mudah untuk menarik minat masyarakat global untuk berkunjung ke tempat tersebut dan Perang Dunia ke-2 boleh menjadi satu tema yang menarik untuk kita.

"Kita bukan bercerita tentang sejarah pendaratan bot (tentera Jepun) semata-mata (di Pantai Pak Amat) tetapi boleh melihat pada skop yang lebih luas termasuklah keadaan pasca perang," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata jawatankuasa tersebut turut mencadangkan agar Pejabat Tourism Kelantan terus dikekalkan di negeri ini selepas diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk dibubarkan pada 2016.

"Selain itu, mesyuarat turut mencadangkan agar Majlis Tindakan Pelancongan dihidupkan kembali bagi membantu kerajaan negeri memajukan sektor ini di Kelantan," katanya.

Sumber: Bernama | 26 November 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan