Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 25 April 2018

Bangunan tambahan Hospital Tanah Merah RM147.6 juta

Fadillah Yusof menandatangani plak perasmian sambil diperhatikan Ikmal Hisham Abdul Aziz (kiri) dalam Majlis Permulaan Kerja Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Tanah Merah, Kelantan, kelmarin.
TANAH MERAH: Projek pembinaan bangunan tambahan Hospital Tanah Merah adalah antara pembangunan infrastruktur yang sangat penting untuk keperluan jangka panjang rakyat Kelantan khususnya warga jajahan ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pembinaan bangunan baharu tersebut membabitkan kos sebanyak RM147.6 juta dan dijangka siap pada Oktober 2021.

Beliau berkata, pembinaan itu bertujuan menaik taraf infrastruktur hospital sebagai persediaan menampung peningkatan kepakaran daripada minor ke major.

“Bangunan baharu ini bakal memberi manfaat kepada hampir 400,000 penduduk bukan sahaja di Tanah Merah malah di daerah-daerah sekitar iaitu Machang, Pasir Mas dan Jeli.

“Selain itu, bangunan ini juga mampu meningkatkan perkhidmatan kepakaran perubatan dan mengurangkan rujukan pesakit ke hospital berdekatan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Permulaan Kerja Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Tanah Merah, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Fadillah berkata, bangunan baharu itu akan melibatkan penambahan sebanyak 124 katil, pembinaan klinik pakar dan sokongan klinikal.

“Ia juga akan dilengkapi dengan kemudahan seperti klinik pakar, wad pesakit, unit rawatan rapi, unit penjagaan koronari, adewan bedah, unit radiologi, makmal, farmasi dan pelbagai kelengkapan lain.

“Oleh itu, diharap projek ini dapat disiapkan mengikut jadual dan kualiti yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada Kerajaan Pusat yang sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan warga Tanah Merah khususnya.

“Dengan pembinaan bangunan tambahan ini, ia akan memberi kemudahan yang lebih lengkap dan selesa untuk penduduk di sini berbanding sebelum ini.

“Kami warga Tanah Merah amat menghargai pelaksanaan projek ini dan menjadi satu lagi berita gembira dan kenangan indah buat kami,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 24 April 2018 | Terbitan 25 April 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan