Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 8 Mac 2019

LPT3, naik taraf lapangan terbang antara 5 projek untuk Kelantan di bawah RMK-11

KOTA BHARU: Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra antara dua daripada lima projek utama yang diluluskan Kerajaan Persekutuan bagi pembangunan negeri Kelantan.

Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan, Mohamed Azmin Ali berkata, bagi tahun 2019 sejumlah RM1.4 bilion diperuntukkan bagi tujuan pembangunan di Kelantan sebagai sumbangan Kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, lima projek pembangunan itu diperhalusi dan diluluskan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melalui mesyurat Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECERDC), Isnin lalu (4 Mac 2019).

"Dalam mesyuarat ini (ECERDC) ada beberapa projek yang melibatkan kepentingan negeri Kelantan telah pun diperhalusi dan diluluskan oleh perdana menteri. 

"Antara projek-projek diluluskan ialah pembinaan LPT3, kerja-kerja menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, pembinaan jalan raya yang menghubungkan Pasir Puteh-Machang-Jeli dan Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) sepanjang 123 kilometer.

"Selain itu, ECERDC juga meluluskan pembinaan jambatan Palekbang di Kota Bharu, yang dilihat mampu menyuraikan kesesakan trafik di bandar Kota Bharu.

"Mesyuarat (MTNg) hari ini juga meneliti projek pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KB-KK) yang sebahagiannya telah siap, dan fasa-fasa lain dalam pelaksanaan dan perancangan.

"Saya juga akan memastikan projek ini tidak tergendala dan mengikut jadual ditetapkan serta menjamin kualiti pembangunan yang selamat," katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Pembangunan adil

Terdahulu Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi dalam lawatan kerja dua hari ke Kelantan mempengerusikan mesyuarat pertama MTNg yang turut dihadiri timbalannya, Mohd Radzi Jidin.

Azmin berkata, dasar Kerajaan Persekutuan kini memberi keutamaan untuk merapatkan jurang antara wilayah seperti yang terkandung dalam tonggak ketiga dokumen kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dan merupakan agenda penting untuk tempoh tiga tahun terakhir.

"Kerajaan PH peringkat persekutuan yang dipimpin oleh Dr Mahathir mahu melihat pembangunan saksama dan adil kerana menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan untuk membangunkan negeri, daerah dan setiap wilayah di Malaysia.

"Dalam dokumen sama juga ada enam buah negeri yang dipilih untuk diberikan keutamaan, selain sabah dan sarawak, Kelantan juga menjadi negeri keutamaan untuk mendapat pengagihan peruntukan pembangunan dalam RMK-11," jelasnya.

Mengulas lanjut Azmin berkata, pembinaan LPT3 sejauh 150 km bermula di Gemuroh (Terengganu) sehingga di Tumpat dilihat penting kerana akan memberikan impak besar kepada Kelantan.

"Ia akan mewujudkan satu koridor ekonomi baru di pesisiran pantai di Kelantan dan dapat membantu kemajuan Pelabuhan Tok Bali yang telah pun dibina atas inisiatif pihak swasta.

"Kita merasakan potensi pelabuhan ini harus dikembangkan dan dengan wujudnya LPT3 ia akan mewujudkan jaringan perhubungan antara Tok Bali dengan kawasan pesisiran pantai negeri Kelantan.

"Selain itu antara kebaikan projek LPT3 ini ia akan mewujudkan satu perkembangan untuk kawasan-kawasan industri di kawasan Tok Bali bagi memastikan produk-produk dapat dikeluarkan dengan sistem pengangkutan dengan lebih efisen," katanya.

Sumber: Malaysia Kini | www.malaysiakini.com | 7 Mac 2019

Khamis, 7 Mac 2019

Kelantan dapat lima projek utama - Azmin Ali

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan sempena lawatan kerja di Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tunjong, hari ini.
KOTA BHARU: Kelantan bakal mendapat limpahan pembangunan apabila lima projek utama akan diberi keutamaan oleh kerajaan Persekutuan untuk disiapkan dalam tempoh terdekat, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata lima projek tersebut adalah Pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, laluan baharu antara Pasir Puteh-Machang-Jeli, Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dan Jambatan Palekbang-Kota Bharu.

Beliau berkata kesemua projek tersebut telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mempengerusikan mesyuarat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebelum ini.

“Kami memutuskan projek ini perlu diberi keutamaan untuk disiapkan,” katanya kepada pemberita selepas buat pertama kali mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) dan mengadakan pertemuan dengan penjawat awam di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi MTNg, Dr Mohd Radzi Jidin.

Selain itu, Azmin juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion oleh kerajaan Persekutuan untuk program pembangunan Kelantan pada tahun ini iaitu melebihi RM200 juta daripada peruntukan sebelum ini.

Menurutnya, kesemua projek yang akan dilaksanakan itu mampu memberikan impak besar kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat Kelantan serta mampu membuka ruang pekerjaan kepada anak negeri ini.

Mengenai pembinaan LPT3, beliau menjelaskan ia membabitkkan laluan antara Gemuruh di Kuala Terengganu dan sehingga Tumpat yang sepanjang 150 kilometer.

Katanya, laluan berkenaan adalah penting terutamanya untuk merancakkan ekonomi di Pelabuhan Tok Bali, Pasir Puteh.

"Kawasan pelabuhan Tok Bali ini berpotensi menjadi koridor ekonomi baharu dan pentingnya dijadikan kawasan industri agar produk dapat dikeluarkan dengan lebih efisien lagi," katanya.

Bagi merancakkan kawasan tersebut, Azmin berkata, laluan baharu antara Pasir Puteh menghubungkan Machang dan Jeli perlu diwujudkan bagi mempercepatkan perhubungan laluan darat.

Katanya, sebelum ini semua urusan perlu melalui Kota Bharu terlebih dahulu dan ia melambatkan perjalanan.

Menyentuh mengenai naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, beliau berkata ia membabitkan kos sebanyak RM450 juta yang dijangka akan dapat dibina pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

"Ïni kerana telah berlaku kesesakan di lapangan terbang itu yang kini mencatat penumpang seramai 1.5 juta dan dengan siapnya dalam tempoh kira-kira tiga tahun ia mampu menampung penumpang seramai empat juta orang dan menjadi hab lapangan terbang serantau," katanya.

Mengenai Jambatan Palekbang ke Kota Bharu itu, Azmin berkata, dengan siapnya jambatan berkenaan ia mampu mempercepatkan laluan antara Tumpat ke Kota Bharu yang kini laluan sedia ada adalah sesak terutama ketika masa puncak.

Bagaimanapun, Azmin berkata, kos pembinaannya akan ditentukan kemudian.

Bagi projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai sepanjang 123 kilometer, beliau berkata sebahagian laluan berkenaan telah pun siap dan mengharapkan ia mampu disiap mengikut jadual dan berkualiti demi keselamatan pengguna.

"Laluan itu membabitkan perhubungan antara beberapa daerah di Kelantan dan dibina secara Central Spine Road yang juga termasuk cadangan Lebuh Raya Rakyat yang tidak mampu dibina oleh kerajaan negeri sebelum ini," katanya.

Pada mesyuarat itu juga, Azmin berkata majlis berkenaan turut diberikan taklimat oleh kementerian berkaitan bagi mengetahui status semua projek tersebut.

Beliau berkata bagi melancarkan kesemua pembinaan projek itu, beliau akan bertemu dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bagi membincangkan jalinan kerjasama kerana ia bukan bermotifkan politik.

Beliau mengulangi Kerajaan Persekutuan tetap memberikan keutamaan kepada Kelantan agar tidak ketinggalan dan berharap segala apa yang dirancangkan akan mendapat kerjasama kerajaan negeri.

Sumber: Bernama | 7 Mac 2019

Kerajaan Kelantan mohon semula laksana Lebuh Raya Rakyat

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan sempena lawatan kerja di Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tunjong, hari ini.
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengemukakan permohonan rasmi kepada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan semula projek Lebuh Raya Rakyat sepanjang 10 kilometer yang dibatalkan sebelum ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata permohonan itu telah dikemukakan oleh kerajaan Kelantan dan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) di sini, hari ini.

"Permohonan rasmi telah dikemukakan dan MTNg telah meminta agar Jabatan Kerja Raya meneliti permohonan tersebut," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan di sini.

Azmin berkata sebelum ini kerajaan negeri membatalkan projek tersebut kerana syarikat yang mendapat kontrak tidak mampu meneruskan pembinaan lebuh raya itu yang membabitkan kos sebanyak RM200 juta.

Beliau berkata permohonan itu bagaimanapun perlu diteliti kerana tidak mahu wujud masalah memandangkan Lebuh Raya Rakyat itu berada di pertengahan projek Central Spine Road.

Pada 2017, kerajaan negeri mengumumkan sebanyak RM3.2 juta dikumpul menerusi Tabung Akaun Amanah Lebuh Raya Rakyat yang diwujudkan sejak lima tahun sebelum itu, bagi membiayai pembinaan lebuh raya dari Machang ke Kuala Krai itu.

Projek yang asalnya dijadualkan siap pada Mac 2018 dibatalkan kontraknya atas persetujuan bersama antara pemaju dengan kerajaan negeri.

Sumber: Bernama | 7 Mac 2019

Kerajaan Pas Kelantan mohon ambil alih projek Lebuh Raya Rakyat

Mohamed Azmin Ali (kiri) dan Mohd. Radzi Md Jidin (kanan) pada mesyuarat MTNg di Pusat Transformasi Luar Bandar Tunjong di Kota Bharu, hari ini.
KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Kerajaan Pusat untuk mengambil alih pembinaan Lebuh Raya Rakyat yang telah dibatalkan beberapa tahun lalu. 

Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) (MTPNg) Kelantan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya meniliti permohonan tersebut supaya projek yang terletak di dalam jajaran Jalan Raya Lingkaran Tengah (CSR) itu tidak terputus. 

Beliau berkata, projek tersebut telah dibatalkan sebelum ini disebabkan syarikat yang mendapat tender membina lebuh raya sepanjang 10 kilometer bernilai RM200 juta itu tidak mampu melaksanakannya. 

"MTNg memutuskan supaya pihak JKR dapat meniliti cadangan kerajaan negeri itu kerana kita tidak mahu terputus disebabkan lebuh raya ini terletak di dalam CSR. 

"Tidak munasabah sekiranya kita menyiapkan CSR tanpa mengambil pertimbangan projek Lebuh Raya Rakyat yang terbengkalai atas inisiatif kerajaan negeri Kelantan sebelum ini," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu dengan ketua-ketua jabatan kerajaan dan mempengerusikan mesyuarat MTNg Kelantan kali pertama di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini hari ini. 

Lebuh Raya Rakyat dilancarkan pada Mei 2012 oleh bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merasmikan majlis pecah tanah dan meletakkan batu asas pembinaan di FELCRA Mek Nab, Berangan, Machang dan dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan. 

Bagaimanapun pada tahun 2015, Kerajaan Pas Kelantan memohon untuk menyerahkan projek tersebut kepada Kerajaan Pusat kerana tidak mampu untuk melaksanakannya. 

Pembinaan CSR yang menelan kos RM8.4 bilion telah bermula sejak Rancangan Malaysia Ke-10 dan turut menjadi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 demi kemudahan rakyat

Projek ini telah dipecahkan kepada dua fasa iaitu melibatkan Simpang Pelangai, Bentong (Pahang) ke Kuala Krai, Kelantan sepanjang 390 kilometer dan Kota Bharu ke Kuala Krai sepanjang 61.5 kilometer. 

Sumber: Utusan Online | 7 Mac 2019

Kelantan dijangka terima royalti petroleum seawal bulan depan

Datuk Seri Mohamed Azmin bersama tetamu yang hadir pada Program 'Ministerial Talk Series' di Kota Bharu, hari ini.
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan dijangka melunaskan bayaran royalti petroleum kepada Kerajaan Pas Kelantan sebaik sahaja pertikaian perundangan antara kedua-dua belah pihak diselesaikan seawal-awalnya bulan depan. 

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, setakat ini, proses menarik balik saman terhadap Kerajaan Pusat dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) oleh kerajaan negeri masih berlangsung di mahkamah. 

Kata beliau, prosiding kes itu mengambil masa agak lama kerana peguam kedua-dua pihak perlu meneliti dokumen-dokumen berkaitan. 

"Dalam perbincangan antara saya dan Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) petang ini, saya dimaklumkan kerajaan negeri sudah memulakan prosiding untuk menarik balik saman. 

"Proses ini dijangka selesai bulan April dan kalau betul boleh selesaikan pertikaian perundangan ini pada April, kita akan lunaskan apa yang telah kita janjikan," katanya. 

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program 'Ministerial Talk Series' di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa, di sini hari ini. 

Oktober lalu, Kerajaan Pas Kelantan mengumumkan menarik balik tuntutan saman royalti minyak yang pernah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2011 terhadap Petronas dan Kerajaan Persekutuan. 

Penarikan balik saman itu diputuskan selepas mengambil kira kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Negara yang berjanji untuk menyerahkan bayaran tunai petroleum kepada negeri yang terbabit. 

Mohamed Azmin berkata, adalah mustahil Kerajaan Persekutuan dapat membuat pembayaran segera jika pertikaian berkaitan perundangan di mahkamah masih belum selesai. 

Bagaimanapun beliau memberi jaminan bahawa kerajaan Pusat akan mengotakan janji dan perkara itu terbukti apabila Kerajaan Pas Terengganu telah pun menerima bayaran royaltinya

"Kita sudah menunaikan janji kita bahawa royalti petroleum minyak akan dibayar terus kepada kerajaan negeri, misalnya kerajaan Terengganu yang menerima sepenuhnya tuntutan itu pada tahun lalu," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan berkata, kerajaan Pusat mahu memastikan pembangunan di semua negeri diberi tumpuan supaya dapat merapatkan jurang antara Pantai Timur dan Barat. 

"Tidak adil bagi rakyat Kelantan sedangkan anak negeri ini banyak menyumbang pertumbuhan ekonomi negara. Jadi ini adalah giliran kerajan Pusat mengenepikan perbezaan politik dan membangunkan negeri ini

Sumber: Utusan Online | 7 Mac 2018

Kerajaan bayar royalti kepada Kelantan selepas prosiding penarikan saman selesai April depan

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan akan membayar royalti minyak kepada Kelantan selepas selesai prosiding penarikan balik saman terhadap Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan kerajaan pusat selesai.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Kerajaan Kelantan telah memulakan prosiding berkenaan dan dijangka selesai pada April depan.

"Selepas semua prosiding tersebut selesai, kita akan lunaskan apa yang telah kita janjikan dengan membuat pembayaran terus kepada kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas berucap di Program Ministerial Talk Series di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, hari ini.

Turut hadir timbalannya Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Naib Canselor UMK Prof Dr Noor Azizi Ismail.

Mohamed Azmin berkata kerajaan telah melunaskan semua bayaran royalti bagi tahun 2018 kepada Terengganu, manakala Kelantan hanya menerima sebahagian bayaran pada tahun lepas berikutan pertikaian berhubung saman berkenaan belum selesai.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub pada 14 Januari lepas memperbaharui permohonan tuntutan royalti petroleum dengan Kerajaan Persekutuan menerusi pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya.

Kerajaan Negeri Kelantan telah mengemukakan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti di Mahkamah Tinggi pada 2011 dan pada Oktober tahun lalu kerajaan negeri menarik balik saman tersebut.

Dalam pada itu Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan memberi jaminan akan memberi perhatian kepada pembangunan negeri Kelantan termasuk UMK dalam usaha memajukan sosio ekonomi rakyat negeri ini.

Katanya UMK sebagai universiti keusahawanan mempunyai potensi besar sebagai inkubator usahawan yang akan menjadi asas kepada pembangunan ekonomi rakyat Kelantan.

Sumber: Bernama | 7 Mac 2019

Isnin, 4 Mac 2019

UMK berpotensi jadi pelopor keusahawanan peringkat global - Maszlee

BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mempunyai potensi sebagai universiti yang mampu mempelopori bidang keusahawanan di peringkat antarabangsa, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata ini mampu dicapai berdasarkan profil dan kekuatan kepimpinan lembaga pengarah serta pengurusan tertinggi UMK ketika ini.

"UMK mungkin boleh menerokai peluang yang terdapat di negara-negara Asia yang berdekatan sebagai permulaan misalnya IndoChina termasuk Thailand, Kemboja dan Laos sebelum ke peringkat global," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sepetang Bersama Menteri Pendidikan di UMK Kampus Bachok di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMK Datuk Hussamuddin Yaacub dan Naib Canselor UMK Prof Dr Noor Azizi Ismail.

Pada majlis itu Maszlee turut merasmikan Bangunan Canselori UMK dan Galeri Sastera di bangunan sama.

Sementara itu, Maszlee berkata universiti sebagai medan intelektual terbuka tidak seharusnya mengecilkan diri kepada skop tertentu sahaja.

Katanya, usaha UMK menjadikan sasterawan negara Datuk Dr Anwar Ridhwan sebagai sasterawan universiti itu adalah satu langkah yang boleh dicontohi oleh universiti lain, selain memberi nafas baharu bidang sastera negara.

"Kita mahu bidang sastera menjadi sebahagian oksigen yang dihirup oleh semua rakyat Malaysia dan universiti perlu memainkan peranannya sebagai medan intelektual terbuka," katanya.

Sumber: Bernama | 3 Mac 2019

Kekal IPG Kota Bharu jadi pusat latihan antarabangsa

Maszlee (dua, kanan) menghadiri Majlis Kesyukuran Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKKB) di Pengkalan Chepa. Foto: Bernama
KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan yang membuat keputusan mengekalkan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu, mahu institut itu menjadi pusat melatih guru sehingga peringkat antarabangsa.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata keputusan membatalkan usaha kerajaan terdahulu yang mahu IPG itu ditukar fungsi kepada kolej vokasional, dibuat selepas melihat banyak pandangan dan keperluan untuk diteruskan.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa prihatin dan cakna pandangan masyarakat yang mahu IPG Kota Bharu diteruskan memandangkan pusat pendidikan berkenaan sudah melahirkan puluhan ribu guru.

Namun, kita melihat IPG Kota Bharu perlu menambah peranan menjadi pusat latihan bukan saja kepada guru di negara ini, malah mereka dari Selatan Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam.

“Ketika ini, IPG ini sudah memberi latihan kepada 30 guru dari Selatan Thailand melalui kursus pendek secara berkala dengan kerjasama Jabatan Bahasa mereka.

Jadi ini adalah visi kementerian mahu menjadikan taraf IPG Kota Bharu sehingga peringkat antarabangsa sekali gus meningkatkan nilai ekonomi kepada rakyat Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Kesyukuran dan Pemerkasaan IPG Kampus Kota Bharu, di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor dan Pengarah IPG Kampus Kota Bharu, Hashim Deraman.

Maszlee turut mengumumkan peruntukan lebih RM1 juta untuk membaik pulih, penyelenggaraan dan membaiki kerosakan di empat sekolah masing-masing Sekolah Kebangsaan (SK) Chantum sebanyak RM130,000; SK Pa Pura RM463,200; SK Seri Kemudi RM479,600 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor RM30,000.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, dalam tempoh terdekat, kementerian mahu meningkatkan kualiti pensyarah dan guru di IPG Kota Bharu dengan mengadakan lebih banyak latihan perkhidmatan.

“Alasan utama kerajaan terdahulu mahu IPG Kota Bharu ditutup disebabkan tiada kemasukan cukup selain pentadbiran lama mendakwa pusat pendidikan berkenaan tidak berkualiti.

“Kalau kualiti tidak cukup, kita cuba tingkatkan. Sebab itu kita mahu IPG Kota Bharu bertaraf seperti Universiti International Singapura melalui sokongan pensyarah IPG dengan menukar budaya dan sistem supaya kualiti mereka ditingkatkan.

“Satu lagi alasan mereka adalah IPG ada peruntukan lebih, namun banyak kelas kosong. Tapi kita boleh fikirkan kelas berkenaan diguna oleh pelajar vokasional yang mungkin boleh bergabung dengan IPG,” katanya.

Sumber: Berita Harian | 3 Mac 2019

Denggi: 107 kes baharu demam denggi di Kelantan

Nyamuk Aedes
KOTA BHARU: Kelantan mencatatkan 107 kes demam denggi sepanjang minggu ke-9, menjadikan jumlah keseluruhan 805 kes dengan dua kematian akibat denggi sepanjang dua bulan pertama tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zaini Hussin jumlah itu menunjukkan peningkatan 618 kes (330.5 peratus) untuk tempoh masa sama tahun lepas.

Katanya, Kelantan turut mencatatkan dua kes terbaharu chikungunya sepanjang minggu ke-9, iaitu masing-masing satu di Lorong Masjid Lundang, Kubang Krian dan Jalan Embi di Kota Bharu menjadikan 20 kes demam chikungunya sepanjang tempoh dua bulan ini berbanding 33 kes untuk tempoh sama tahun lepas.

"Sepanjang minggu ke-9 hingga 2 Mac, sebanyak 59 lokaliti wabak denggi dilaporkan berbanding tujuh lokaliti wabak denggi pada tempoh sama tahun sebelumnya dengan 22 daripadanya masih aktif ," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata pihaknya telah melakukan pemeriksaan di 76,021 premis dengan 2,988 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.

"Pihak jabatan telah mengeluarkan 465 kompaun yang dicadangkan dengan nilai RM232,500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan 182 Notis Seksyen 8 dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi pembiakan aedes," katanya.

Sumber: Bernama | 4 Mac 2019

IPG Kota Bharu ‘hidup’ kembali, berperanan sebagai pusat latihan guru dari rantau Indochina

Mazlee Malik bersama sebahagian warga IPG Kota Bharu dalam Majlis Kesyukuran dan Pemerkasaan IPG Kota Bharu di Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU: Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu akan dikekalkan dan berperanan sebagai pusat melatih guru dari rantau Indochina.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, langkah memperkasa dan memperluas peranan institusi itu dibuat selepas mengambil kira kebitaraannya dalam aspek latihan guru serta potensinya yang mampu meningkatkan ekonomi negeri ini.

‘‘Saya secara khusus gembira dengan perkembangan terbaharu IPG Kota Bharu yang kini bukan sahaja kembali menjadi pusat latihan guru dalam negara, bahkan sudah mula melatih guru-guru dari selatan Thailand.

‘‘Hasrat kita ialah supaya IPG Kota Bharu dapat terus berkembang di peringkat antarabangsa sebagai pusat latihan guru negara-negara rantau Indochina seperti Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam,’’ katanya selepas menghadiri Majlis Kesyukuran dan Pemerkasaan IPG Kampus Kota Bharu, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Husam Musa.

Maszlee memberitahu, setakat ini, IPG Kota Bharu sudah melatih 30 guru dari selatan Thailand melalui kursus pedagogi secara berkala dengan kerjasama Jabatan Bahasa institut tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia | 3 Mac 2019 | Terbitan 4 Mac 2019