Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 7 Mac 2019

Kerajaan bayar royalti kepada Kelantan selepas prosiding penarikan saman selesai April depan

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan akan membayar royalti minyak kepada Kelantan selepas selesai prosiding penarikan balik saman terhadap Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan kerajaan pusat selesai.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Kerajaan Kelantan telah memulakan prosiding berkenaan dan dijangka selesai pada April depan.

"Selepas semua prosiding tersebut selesai, kita akan lunaskan apa yang telah kita janjikan dengan membuat pembayaran terus kepada kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas berucap di Program Ministerial Talk Series di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, hari ini.

Turut hadir timbalannya Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Naib Canselor UMK Prof Dr Noor Azizi Ismail.

Mohamed Azmin berkata kerajaan telah melunaskan semua bayaran royalti bagi tahun 2018 kepada Terengganu, manakala Kelantan hanya menerima sebahagian bayaran pada tahun lepas berikutan pertikaian berhubung saman berkenaan belum selesai.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub pada 14 Januari lepas memperbaharui permohonan tuntutan royalti petroleum dengan Kerajaan Persekutuan menerusi pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya.

Kerajaan Negeri Kelantan telah mengemukakan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti di Mahkamah Tinggi pada 2011 dan pada Oktober tahun lalu kerajaan negeri menarik balik saman tersebut.

Dalam pada itu Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan memberi jaminan akan memberi perhatian kepada pembangunan negeri Kelantan termasuk UMK dalam usaha memajukan sosio ekonomi rakyat negeri ini.

Katanya UMK sebagai universiti keusahawanan mempunyai potensi besar sebagai inkubator usahawan yang akan menjadi asas kepada pembangunan ekonomi rakyat Kelantan.

Sumber: Bernama | 7 Mac 2019

Tiada ulasan:

Catat Ulasan