Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 7 Mac 2019

Kelantan dapat lima projek utama - Azmin Ali

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan sempena lawatan kerja di Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tunjong, hari ini.
KOTA BHARU: Kelantan bakal mendapat limpahan pembangunan apabila lima projek utama akan diberi keutamaan oleh kerajaan Persekutuan untuk disiapkan dalam tempoh terdekat, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata lima projek tersebut adalah Pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, laluan baharu antara Pasir Puteh-Machang-Jeli, Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dan Jambatan Palekbang-Kota Bharu.

Beliau berkata kesemua projek tersebut telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mempengerusikan mesyuarat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebelum ini.

“Kami memutuskan projek ini perlu diberi keutamaan untuk disiapkan,” katanya kepada pemberita selepas buat pertama kali mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) dan mengadakan pertemuan dengan penjawat awam di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi MTNg, Dr Mohd Radzi Jidin.

Selain itu, Azmin juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion oleh kerajaan Persekutuan untuk program pembangunan Kelantan pada tahun ini iaitu melebihi RM200 juta daripada peruntukan sebelum ini.

Menurutnya, kesemua projek yang akan dilaksanakan itu mampu memberikan impak besar kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat Kelantan serta mampu membuka ruang pekerjaan kepada anak negeri ini.

Mengenai pembinaan LPT3, beliau menjelaskan ia membabitkkan laluan antara Gemuruh di Kuala Terengganu dan sehingga Tumpat yang sepanjang 150 kilometer.

Katanya, laluan berkenaan adalah penting terutamanya untuk merancakkan ekonomi di Pelabuhan Tok Bali, Pasir Puteh.

"Kawasan pelabuhan Tok Bali ini berpotensi menjadi koridor ekonomi baharu dan pentingnya dijadikan kawasan industri agar produk dapat dikeluarkan dengan lebih efisien lagi," katanya.

Bagi merancakkan kawasan tersebut, Azmin berkata, laluan baharu antara Pasir Puteh menghubungkan Machang dan Jeli perlu diwujudkan bagi mempercepatkan perhubungan laluan darat.

Katanya, sebelum ini semua urusan perlu melalui Kota Bharu terlebih dahulu dan ia melambatkan perjalanan.

Menyentuh mengenai naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, beliau berkata ia membabitkan kos sebanyak RM450 juta yang dijangka akan dapat dibina pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

"Ïni kerana telah berlaku kesesakan di lapangan terbang itu yang kini mencatat penumpang seramai 1.5 juta dan dengan siapnya dalam tempoh kira-kira tiga tahun ia mampu menampung penumpang seramai empat juta orang dan menjadi hab lapangan terbang serantau," katanya.

Mengenai Jambatan Palekbang ke Kota Bharu itu, Azmin berkata, dengan siapnya jambatan berkenaan ia mampu mempercepatkan laluan antara Tumpat ke Kota Bharu yang kini laluan sedia ada adalah sesak terutama ketika masa puncak.

Bagaimanapun, Azmin berkata, kos pembinaannya akan ditentukan kemudian.

Bagi projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai sepanjang 123 kilometer, beliau berkata sebahagian laluan berkenaan telah pun siap dan mengharapkan ia mampu disiap mengikut jadual dan berkualiti demi keselamatan pengguna.

"Laluan itu membabitkan perhubungan antara beberapa daerah di Kelantan dan dibina secara Central Spine Road yang juga termasuk cadangan Lebuh Raya Rakyat yang tidak mampu dibina oleh kerajaan negeri sebelum ini," katanya.

Pada mesyuarat itu juga, Azmin berkata majlis berkenaan turut diberikan taklimat oleh kementerian berkaitan bagi mengetahui status semua projek tersebut.

Beliau berkata bagi melancarkan kesemua pembinaan projek itu, beliau akan bertemu dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bagi membincangkan jalinan kerjasama kerana ia bukan bermotifkan politik.

Beliau mengulangi Kerajaan Persekutuan tetap memberikan keutamaan kepada Kelantan agar tidak ketinggalan dan berharap segala apa yang dirancangkan akan mendapat kerjasama kerajaan negeri.

Sumber: Bernama | 7 Mac 2019

Tiada ulasan:

Catat Ulasan