Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 4 Mac 2019

UMK berpotensi jadi pelopor keusahawanan peringkat global - Maszlee

BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mempunyai potensi sebagai universiti yang mampu mempelopori bidang keusahawanan di peringkat antarabangsa, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata ini mampu dicapai berdasarkan profil dan kekuatan kepimpinan lembaga pengarah serta pengurusan tertinggi UMK ketika ini.

"UMK mungkin boleh menerokai peluang yang terdapat di negara-negara Asia yang berdekatan sebagai permulaan misalnya IndoChina termasuk Thailand, Kemboja dan Laos sebelum ke peringkat global," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sepetang Bersama Menteri Pendidikan di UMK Kampus Bachok di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMK Datuk Hussamuddin Yaacub dan Naib Canselor UMK Prof Dr Noor Azizi Ismail.

Pada majlis itu Maszlee turut merasmikan Bangunan Canselori UMK dan Galeri Sastera di bangunan sama.

Sementara itu, Maszlee berkata universiti sebagai medan intelektual terbuka tidak seharusnya mengecilkan diri kepada skop tertentu sahaja.

Katanya, usaha UMK menjadikan sasterawan negara Datuk Dr Anwar Ridhwan sebagai sasterawan universiti itu adalah satu langkah yang boleh dicontohi oleh universiti lain, selain memberi nafas baharu bidang sastera negara.

"Kita mahu bidang sastera menjadi sebahagian oksigen yang dihirup oleh semua rakyat Malaysia dan universiti perlu memainkan peranannya sebagai medan intelektual terbuka," katanya.

Sumber: Bernama | 3 Mac 2019

Tiada ulasan:

Catat Ulasan