Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 7 Mac 2019

Kelantan dijangka terima royalti petroleum seawal bulan depan

Datuk Seri Mohamed Azmin bersama tetamu yang hadir pada Program 'Ministerial Talk Series' di Kota Bharu, hari ini.
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan dijangka melunaskan bayaran royalti petroleum kepada Kerajaan Pas Kelantan sebaik sahaja pertikaian perundangan antara kedua-dua belah pihak diselesaikan seawal-awalnya bulan depan. 

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, setakat ini, proses menarik balik saman terhadap Kerajaan Pusat dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) oleh kerajaan negeri masih berlangsung di mahkamah. 

Kata beliau, prosiding kes itu mengambil masa agak lama kerana peguam kedua-dua pihak perlu meneliti dokumen-dokumen berkaitan. 

"Dalam perbincangan antara saya dan Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) petang ini, saya dimaklumkan kerajaan negeri sudah memulakan prosiding untuk menarik balik saman. 

"Proses ini dijangka selesai bulan April dan kalau betul boleh selesaikan pertikaian perundangan ini pada April, kita akan lunaskan apa yang telah kita janjikan," katanya. 

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program 'Ministerial Talk Series' di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa, di sini hari ini. 

Oktober lalu, Kerajaan Pas Kelantan mengumumkan menarik balik tuntutan saman royalti minyak yang pernah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2011 terhadap Petronas dan Kerajaan Persekutuan. 

Penarikan balik saman itu diputuskan selepas mengambil kira kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Negara yang berjanji untuk menyerahkan bayaran tunai petroleum kepada negeri yang terbabit. 

Mohamed Azmin berkata, adalah mustahil Kerajaan Persekutuan dapat membuat pembayaran segera jika pertikaian berkaitan perundangan di mahkamah masih belum selesai. 

Bagaimanapun beliau memberi jaminan bahawa kerajaan Pusat akan mengotakan janji dan perkara itu terbukti apabila Kerajaan Pas Terengganu telah pun menerima bayaran royaltinya

"Kita sudah menunaikan janji kita bahawa royalti petroleum minyak akan dibayar terus kepada kerajaan negeri, misalnya kerajaan Terengganu yang menerima sepenuhnya tuntutan itu pada tahun lalu," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan berkata, kerajaan Pusat mahu memastikan pembangunan di semua negeri diberi tumpuan supaya dapat merapatkan jurang antara Pantai Timur dan Barat. 

"Tidak adil bagi rakyat Kelantan sedangkan anak negeri ini banyak menyumbang pertumbuhan ekonomi negara. Jadi ini adalah giliran kerajan Pusat mengenepikan perbezaan politik dan membangunkan negeri ini

Sumber: Utusan Online | 7 Mac 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan