Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 4 Mei 2014

Motosikal klasik bentuk kepuasan diri, kebajikan

Abdul Rahim bersama ahli kelab pada program belia baru-baru ini.
KUALA KRAI: Siapa menyangka hobi baharu seorang penduduk di Telekong, di sini akhirnya bukan sekadar memberi kepuasan buat dirinya, malah berjaya membentuk sebuah kelab yang dapat menyumbang kepada aktiviti sosial dan kebajikan untuk masyarakat.

Abdul Rahim Mat Isa, 54 mula tertarik untuk memiliki dan mengubahsuai motosikal klasik, Honda C70 selepas melihat ada pemilik motosikal jenis itu berbuat demikian.

"Dengan hanya bermodalkan RM300, saya beli motoskal lama, kemudian mula mencari aksesori dan alat ganti untuk mencantikkan motosikal itu, namun tetap mengekalkan ciri-ciri keasliannya.

"Saya guna kreativiti sendiri untuk hias motosikal tersebut. Kini saya berasa bangga kerana dengan modal keseluruhan RM3,000, saya mampu penuhi impian memiliki motosikal klasik yang dihias dengan daya kreativiti sendiri," katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Rahim berkata, lebih membanggakan apabila dia dapat mengumpulkan peminat motosikal klasik dan menubuhkan kelab Made In Japan untuk membolehkan mereka berkongsi maklumat serta idea.

Menurutnya, kelab itu kini telah mempunyai seramai 30 ahli yang kesemuanya merupakan pemilik motosikal lama jenis Honda.

"Menerusi kelab ini kami rancang pelbagai aktiviti bermanfaat untuk ahli dan masyarakat. Selepas kelab ini dikenali penduduk, kami terima undangan ke pelbagai program termasuk majlis perkahwinan untuk mengiringi tetamu jemputan.

"Undangan sedemikian sedikit sebanyak dapat mengetengahkan kelab ini kepada pengetahuan umum dan kini, boleh dikatakan sepanjang cuti sekolah, kami terima undangan ke majlis perkahwinan," katanya.

Selain itu, dia berhasrat melihat kelab tersebut terlibat dalam aktiviti kebajikan seperti gotong-royong membersihkan masjid, tanah perkuburan dan aktiviti bermanfaat lain.

Katanya, ahli kelab berkenaan juga pernah menderma darah dan berhasrat dapat terus melaksanakan program seumpama itu pada masa akan datang.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 4 Mei 2014

Penyamun gagal larikan mesin ATM di Machang

Kakitangan bank mengangkat mesin ATM yang ditinggalkan di atas jalan selepas suspek gagal melarikannya.
MACHANG: Dua penjenayah berputih mata apabila usaha mereka melarikan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank, di sini, gagal sekalipun telah berjaya menarik keluar mesin berkenaan dari kedudukan asalnya, semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 5.20 pagi itu, kedua-dua suspek yang memakai penutup muka bertindak mengikat mesin ATM itu pada kenderaan mereka sebelum menariknya keluar daripada bank berkenaan dan terjatuh di atas jalan.

Saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Roslan berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terdengar bunyi deruman kuat enjin kenderaan sebelum meninjau keadaan di sekitar kedainya.

Katanya, ketika itu dia sedang bersiap-siap untuk membuka kedai makan yang terletak berdekatan dengan bank berkenaan.

"Pekerja saya beritahu mengenai bunyi itu (kereta). Mungkin ada rompakan berlaku, lalu saya segera melihat melalui tingkap dan ternampak dua lelaki berada berdekatan bank. Mereka cuba menarik sesuatu dengan sebuah kereta jenis Proton Waja.

"Saya hanya lihat dari jauh dan tidak berani pergi lebih dekat kerana bimbang penjenayah menyedari kehadiran saya," katanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Superintendan Loo Lian Lai berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek didapati telah berjaya menarik keluar mesin ATM berkenaan menggunakan tali yang dipercayai jenis dawai.

Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai telah menghampiri mesin ATM tersebut untuk mengambil sesuatu sebelum beredar meninggalkan tempat kejadian.

"Selang beberapa minit kemudian, suspek berpatah balik dan cuba membuka mesin ATM itu tetapi gagal sehingga memaksa mereka meninggalkannya," katanya.

"Hasil pemeriksaan ke atas mesin ATM terbabit, didapati tiada kehilangan wang direkodkan dan jumlah keseluruhan baki wang di dalamnya ialah RM178,550,” katanya.

Tambah Lian Lai, pihaknya berjaya mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian untuk membantu siasatan dan berharap dapat mengesan kedua-dua suspek terlibat dengan segera.

"Selain itu, kita juga telah berjaya mengesan lima cap jari pada pemegang pintu bank dan satu kesan cap jari pada tin cat hitam yang dipercayai digunakan suspek," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 4 Mei 2014

Asal usul Kg. To' Uban di Pasir Mas

Penduduk, Zakaria Idris, 75, menunjukkan makam Allahyarham Tok Uban yang terletak di kampung tersebut.
Sejarah To' Uban

Menurut Mohd Yasin atau lebih mesra dengan panggilan Pak Cu Mat Sin nama To' Uban ini diabadikan oleh penduduk sebagai menghargai sumbangan seorang tokoh yang bertanggungjawab membuka tanah di kawasan ini pada zaman dahulu iaitu Tok Sulaiman.

Cerita Pok Su Mat Sin lagi, dahulunya kawasan ini merupakan hutan tebal serta tidak mempunyai penduduk dan Tok Sulaiman merupakan orang pertama menetap di situ bersama dengan isterinya.

“Jadi selepas dia buka tanah dan tinggal di kawasan ini barulah ada beberapa penduduk mula menetap dan tinggal bersama dengan Tok Sulaiman,” katanya.

Menurutnya, Tok Sulaiman berasal dari Pattani dan merupakan seorang panglima perang kerajaan berkenaan namun melarikan diri ke negeri ini selepas kalah dalam peperangan dengan kerajaan Siam ketika itu.

“Tempat tinggal pertamanya di negeri ini ialah Kampung But di Kok Lanas, dan kemudiannya berpindah ke Kampung Kangkong, Pasir Mas,” katanya.

Katanya, selepas itu Tok Sulaiman mengambil keputusan untuk berpindah sekali lagi dan menetap terus di Tok Uban serta bersemadi di situ.

Menurut Pok Su Mat Sin, ketika menetap di kawasan ini Tok Sulaiman sering menjadi tempat rujukan di kalangan penduduk dalam semua perkara.

Gelaran To' Uban

Pok Su Mat Sin berkata, gelaran To' Uban itu diberikan oleh penduduk kepada Tok Sulaiman disebabkan rambut lelaki berkenaan dipenuhi dengan uban putih.

Katanya, bukan itu sahaja, To' Uban turut mempunyai janggut serta bulu roma putih yang memenuhi lengannya. “Maka dari situlah gelaran itu diberikan kepada Tok Sulaiman,” katanya.

Menurutnya, sebagai menghargai sumbangan dan jasa yang telah diberikan oleh Tok Sulaiman kawasan tersebut dinamakan dengan To' Uban sempena mengambil nama gelarannya.

Pok Su Mat Sin berkata, sejarah To' Uban yang diceritakan olehnya ini adalah hasil dari maklumat diperolehi secara lisan dari generasi keempat waris Tok Uban iaitu Hassan Yasin.

Katanya, maklumat tersebut akan terus disampaikan kepada generasi To' Uban agar sejarah asal usul kampung ini terus terpahat dalam ingatan mereka.

Nama To' Uban jadi tarikan

Bagi penduduk mukim To' Uban, keunikan nama itu menjadi satu kebanggaan apabila mereka tidak malu atau segan silu untuk mengaku berasal dari kawasan berkenaan.

Malah mereka cukup bangga menjadi anak kelahiran To' Uban kerana nama tersebut cukup unik dan mudah untuk diingati.

Bukan itu sahaja, ada penduduk yang berasal dari kawasan bersebelahan sanggup mengaku sebagai anak mukim To' Uban disebabkan oleh keunikan nama tersebut.

Perkara itu diakui sendiri oleh salah seorang anak kelahiran To' Uban iaitu Shukri Ibrahim, 47, yang menyifatkan nama kampungnya itu cukup unik.

“Setiap kali memperkenalkan diri dan memberitahu saya berasal dari To' Uban, ramai yang akan bertanyakan tentang asal usul nama Kampung To' Uban,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya ramai yang beranggapan kampung ini dibuka oleh seorang lelaki tua memandangkan namanya To' Uban, namun sebaik sahaja diceritakan perkara sebenar barulah mereka memahaminya.

“Secara ringkasnya, apa yang saya tahu gelaran To' Uban itu diberikan kerana rambut lelaki berkenaan dipenuhi dengan uban putih, maka dari situlah namanya diambil.

“Selain itu, kampung ini diabdikan dengan nama ini sebagai menghormati sumbangan dan jasa yang telah dicurahkan oleh Tok Uban atau nama sebenarnya Tok Sulaiman,” katanya.

Tok Uban merupakan salah satu mukim yang terdapat di jajahan Pasir Mas dan berkeluasan 30 kilometer persegi serta dihuni oleh lebih 5,000 penduduk.

Antara kampung berada di mukim ini ialah Kampung Chat, Nibong, Rasal, Sila, Gong Dayak, Mok Kalut, Bechah Kida, Batu Hampar, Padang Mulong dan beberapa buah lagi.

Selain itu, keunikan nama To' Uban turut menyimpan pelbagai khanazah yang masih belum terungkai antaranya sejarah pembinaan Danau To' Uban.

Bukan itu sahaja, stesen kereta api yang terdapat di kawasan berkenaan turut mempunyai nilai sejarah yang harus dirungkai untuk tatapan generasi masa hadapan.

Hal ini penting dalam usaha mengukuhkan jati diri mereka agar menjadi insan yang mengenal sejarah dan asal usul mereka.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 3 Mei 2014

Mitos Kampung Berok di Tumpat

Kampung Berok kini dikenali sebagai Kampung Jambu.
TERDAPAT sebuah perkampungan Siam di sini  yang agak terpencil di daerah Tumpat dikenali sebagai Kampung Berok.

Kampung yang memiliki nama unik itu terkenal dengan patung Sleeping Buddha di mana ia patung terbesar di Asia tenggara  telah berdiri gah di Wat Phothivihan.

Perkampungan Siam itu didiami kira-kira 300 masyarakat Siam dan ia bersempadan dengan daerah Pasir Mas.

Disebalik nama kampung itu, pelbagai versi asal-usul kampung berkenaan.

Ada yang mengaitkan dengan mitos hantu beruk besar yang sering menganggu penduduk di sini iaitu di sempadan Kampung Berok dengan Pasir Mas.

Ada juga yang mengaitkannya dengan cerita seorang ketua sami yang memelihara beruk besar di dalam kuil Buddha di kampung terbabit dan kemudiannya haiwan itu dicuri.

Didiami hanya 10 keluarga

Penduduk Kampung Berok, Mek Kecur Chaw Din, 79, berkata, suatu ketika dahulu kampung itu merupakan sebuah perkampungan yang sunyi dan hanya didiami 10 keluarga.

Menurutnya, walaupun agak sunyi, kawasan kampung itu juga dipenuhi hutan yang tebal. Walaubagaimanapun, ia menjadi laluan penduduk dari kampung sekitar terutamanya dari Pasir Mas yang berjalan kaki ke bandar Kota Bharu.

“Dulu kawasan kampung ini dipenuhi dengan pokok sagu, mana ada jalan seperti sekarang ini, yang ada hanya jalan laluan kerbau, ia berselut tetapi itulah jalan kami guna berulang alik ke ke kampung sebelah mahu pun ke bandar Kota Bharu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, tiba-tiba kisah hantu beruk besar tersebar merata tempat apabila ada dakwaan  yang mengatakan penduduk kampung diusik hantu itu ketika melalui kawasan alur di hujung kampung.

“Entah macam mana muncul cerita hantu yang menyerupai beruk besar di hujung kampung ini. Dengar cerita, sesiapa yang melalui kawasan alur yang sunyi itu, pasti akan diganggu hantu beruk,” katanya.

Menurutnya lagi, beruk itu akan menggoyangkan pokok sagu dan cuba menakutkan sesiapa saja yang melintasi kawasan itu.

Nama kampung sudah diubah

Kisah seram itu yang berlaku di zaman kanak-kanaknya mempopularkan kampung itu sehinggalah ia dikenali sebagai Kampung Berok sehingga sekarang.

“Bagi generasi baru, mungkin sudah tidak mengenali Kampung Berok ini kerana ia sekarang sudah ditukar dengan nama baru iaitu Kampung Jambu.

“Walaupun sudah ditukar nama, masih ramai lagi yang memanggil kampung ini sebagai Kampung Berok terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu,” katanya.

Mek Kecur berkata, kampung itu juga sudah tidak sunyi lagi kerana sudah didiami ramai penduduk, dilengkapi kemudahan asas seperti jalan raya yang menghubungkan Pasir Mas dengan daerah Tumpat dan Kota Bharu.

Lokasi yang dikatakan diganggu hantu beruk besar pun sudah diterokai dan didiami penduduk apabila terdapat empat buah rumah dibina di situ.

'Beruk ketua sami kena curi'

Bagi Pegawai Pengerak Masyarakat Wilayah Timur, Eh Deng Eh Chek yang dilahirkan di Kampung Berok berkata, yang peliknya kampung ini tersohor sebagai Kampung Berok dalam kalangan masyarakat Melayu sahaja tetapi bukan dalam kalangan masyarakat Siam dari luar kampung berkenaan.

Baginya, asal usul Kampung Berok bukan dikaitkan cerita hantu beruk tetapi kisah ketua sami di sebuah kuil Siam yang kini dikenali Wat Phothivihan yang memelihara beruk besar sekitar tahun 1920-an.

“Nak dijadikan cerita, kuil yang didiami ketua sami dimasuki pencuri, tetapi tiada apa yang dapat diambil pencuri itu selain seekor beruk besar kepunyaan sami tersebut.

“Apabila tersebar cerita kuil Siam di Kampung Jambu ini dimasuki pencuri tiba-tiba kampung ini dipanggil Kampung Berok sempena beruk ketua sami kena curi,” katanya.

Katanya, sekitar tahun 1975, Kampung Berok ini  ditukar kepada Kampung Jambu kerana nama berok itu dikatakan nama yang kurang baik.

Apatah lagi untuk dinamakan kepada sebuah kampung yang menjadi tumpuan pelancong  yang mahu melihat Sleeping Budha tersebut.

“Sekitar tahun 90-an, saya mengarahkan penduduk  menukarkan alamat Mykad masing-masing kepada Kampung Jambu, begitu juga generasi baru,” katanya.

Bagaimanapun, bagi penduduk yang berumur 50 tahun ke atas, masih tercatat Kampung Berok di sijil kelahiran mereka termasuk di sijil lahirnya sendiri.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 3 Mei 2014

Legenda Kg. Berhala Lima tinggalkan batu

Batu inilah yang dikatakan perigi tempat Puteri Saadong bersiram.
LIMA batu besar yang masih kukuh di Kampung Berhala Lima, Peringat, Kota Bharu ini diakui kurang diketahui kewujudannya, namun tiada siapa menyangka lagendanya agak unik untuk dikenang.

 ‘Salam’ perlu diberikan sebaik sahaja sampai ke tempat lima batu besar yang ada di pinggir Sungai Kemasin (Peringat) sebagai tanda kita hadir ke tempat tinggalan sejarah berkenaan.

 Terletak di ceruk kepesatan Bandar Satelit Pasir Tumboh ke Limbat (Gutong), Kampung Berhala Lima menyimpan khazanah batu besar yang didakwa pernah menjadi tempat bersiram Puteri Saadong suatu masa dahulu.

 Menurut penduduk, Siti Fatimah Mamat, 76 berkata, nenek moyangnya pernah menceritakan sejarah kampung tersebut bermula apabila pengasuh Puteri Saadong iaitu Awang Selamat memikul batu datang sehingga ke Bukit Marak.

 “Sejak beratus tahun dahulu, lima batu kecil yang dipikul Awang Selamat jatuh ke kampung ini, manakala batu-batu besar jatuh di Kampung Bukit Marak, berdekatan kampung ini.

 “Sebelum ini, kampung ini dipanggil Kampung Tok Batu, namun setelah lima batu ini dipuja (Kelantan memanggil ‘puja’ sebagai ‘berhala’), lalu nama baru kampung ini menjadi Kampung Berhala Lima,” katanya yang tinggal 100 meter dari tempat lima batu berkenaan.

 Lagenda kampung ini bermula apabila pada ketika itu, Puteri Saadong menjadikan lima batu tersebut sebagai tempat persinggahan untuk bersiram dan bermain-main pada waktu kelapangan.

 “Dahulu, sesiapa yang akan mengadakan kenduri datang memberikan salam dan menyatakan hasrat meminjam pinggan-mangkuk milik Puteri Saadong, lalu dikatakan Puteri Saadong menghulurkan apa yang diminta penduduk.

 “Penduduk ketika itu tidak dapat melihat wajah sebenar Puteri Saadong, sebaliknya hanya boleh melihat separuh tangan yang menghulurkan barangan dipinjam,” katanya.

 Bagaimanapun, berlaku perlanggaran perjanjian apabila Puteri Saadong dikatakan merajuk dan membawa diri ke Gunong Ayam (Sempadan Kelantan-Pahang) setelah mendapati barang pinjaman rosak.

 “Apa yang menyedihkan Puteri Saadong, barangan seperti pinggan-mangkuk yang dipinjam dihantar tidak cukup dan rosak, malah penduduk tidak memaklumkan masalah itu,” katanya.

 Bagi Abdul Kadir Mat, 74, jika ditinjau ke tempat legenda berkenaan, terdapat lima batu besar dengan kawasan sekelilingnya paya kering tanah beralun-alun.

 “Lima batu ini dilihat ada yang kecil dan ada yang besar (batu gajah). Satu batu kelihatan seperti jelujur (jalan yang diperbuat daripada batu) kononnya digunakan sebagai hamparan untuk Puteri Saadong pergi ke tempat bersiram.

 “Di tempat bersiram pula terdapat perigi kecil dan pada perigi berkenaan terdapat batu seolah-olah menghadang Puteri Saadong ketika mandi,” katanya.

 Sementara itu, bagi penduduk asal, Deraman Nor, 70 berkata, suatu masa dahulu, mengikut cerita orang terdahulu, setahun sekali hadir ‘harimau jadian’ yang datang ke tempat batu berkenaan, namun sekarang ia hanya tinggal cerita.

 “Tempat ini menjadi kawasan pemujaan bomoh, namun mereka yang berniat tidak baik dikatakan mengalami pengalaman pelik, namun sehingga kini, tiada lagi pemujaan memandangkan lebih 200 keluarga kampung ini adalah Melayu dan beragama Islam,” katanya.

 Bagi pesara kakitangan awam, Mat Esa Mohamad, 59, penduduk sudah mengadakan perbincangan mahu pihak berkaitan menukar nama kampung memandangkan maksudnya tidak elok.

 “Berhala tidak sesuai kerana ia bermaksud pemujaan, jadi kami setuju pilih nama Kampung Batu Lima sempena lima batu besar yang menjadi tinggalan sejarah. Kami juga mahu pihak tertentu jadikan tempat ini sebagai kawasan rekreasi, sesuai untuk berkelah bersama keluarga kerana ia kawasan kebun buah-buahan dan getah,” katanya.

 Menariknya, katanya, ia terletak di tepi sungai yang masih terpelihara dengan ekosistem hidupan dan menjadi tumpuan pemancing, lalu penduduk bersetuju jika kolam mandi dibina sebagai tarikan pelancongan.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 3 Mei 2014

Kg. Pauh Butut: Asal pokok usia lebih 200 tahun

Ketinggian pauh butut ini mencecah 30 meter di tepi jalan berdekatan simpang tiga Pauh Butut.
BUAH mangga, mempelam atau dalam bahasa mudahnya merujuk kepada buah pauh bagi penduduk Kelantan.

Buah ini terdiri daripada 35 spesies pokok buah tropika dalam keluarga Anacardiaceae dan ada sesetengahnya dinamakan sempena nama tempat seperti Pauh Lima, Pauh Sembilan di Bachok.

Namun, satu lagi pauh yang ada di Bachok ialah Pauh Butut, berdekatan Gunung. Ia dinamakan Pauh Butut berikutan terdapat banyak bonjolan besar pada bahagian batangnya.

Bagi seorang penduduk, Ibrahim Yusof,62, ketika dia lahir pokok pauh itu sudah wujud, malah dikatakan sudah ada ketika arwah datuknya menjadi penghulu di kawasan itu.

 “Ia dikenali sebagai Pauh Butut kerana pada batang pokok itu mempunyai banyak bonjol yang besar yang dikenali sebagai butut. Pokok ini jarang dijumpai dan kalau tak silap ada ada sebatang pauh yang sama di Pasir Tumbuh tetapi bututnya tidak sebanyak dan sebesar ini

“Penceritaan orang tua-tua memaklumkan pokok ini sudah ada ketika arwah datuk saya dahulu. Dahulu datuk saya Penghulu Pak Teh Ahmad di kawasan ini dan orang panggil dia Penghulu Pak Teh Ahmad Pauh Butut. Mungkin sebab itu ia mula dikenali sebagai Kampung Pauh Butut.

“Pokok ini juga dikenali sebagai pauh gatal. Buahnya amat besar dan manis suatu ketika dahulu, tetapi kini ia tidak lagi berbuah,” katanya.

Ibrahim yang lebih dikenali sebagai Pok Wi Cermin berkata, dahulu kawasan itu hanya mempunyai lima buah rumah penduduk Melayu dan dua buah rumah penduduk Cina.

Katanya, kampung itu dahulu tidak mempunyai sebarang kemudahan asas dan penduduk hanya berjalan atau menggunakan kereta lembu sebagai kenderaan.

Ketika itu, hanya Penghulu Pok Teh Ahmad sahaja yang mempunyai kereta lembu dan dianggap orang yang berkemampuan ketika itu.

Jalan berbatu hanya dibuat menjelang tahun 1960-an dan hanya diturap sekitar 1970-an.

“Apabila jalan tar hendak dibina, pokok itu tidak dapat ditebang walaupun pelbagai jenis gergaji dan jentera digunakan. Orang yang cuba hendak tebang pokok tu juga demam bila balik ke rumah. Sebab itulah ia masih kekal dan jalan yang dibina dilencongkan sedikit ke tepi pokok.

“Dahulu ada orang letak makanan, jamu di bawah pokok itu sebelum main menora kerana ia dianggap berpenunggu. Dulu pun orang takut nak makan buah yang gugur sebab takutkan penunggu,” katanya.

Pok Wi berkata, kali terakhir perkara pelik berlaku beberapa bulan lalu apabila kerja memecah batu dilakukan berdekatan pokok itu menemukan sebuah mangkuk cina seperti dari zaman dahulu.

Katanya, selepas batu bukit di kawasan itu dipecahkan, sebuah mangkuk ditemui dengan tiga jenis barang di dalamnya termasuk syiling India dan kain kuning.

Barangan itu dibawa pulang oleh dua lelaki yang menemuinya, namun ia menyebabkan penghuni rumah lelaki itu tidak dapat tidur.

“Seorang lagi pula bawa barang yang dijumpainya untuk tikam nombor ekor di Ketereh. Tetapi bomoh nombor ekor itu dikatakan tak izinkan lelaki itu naik ke rumah dan suruh dia pulangkan barang yang dibawa.

“Begitu juga dengan penghuni rumah yang tak dapat tidur tadi. Dia bawa isterinya yang tak dapat tidur ke rumah bomoh tetapi bomoh tak bagi naik atas rumah dan suruh dia pulangkan barang yang diambil ke tempat asalnya,” katanya.

Akhirnya barangan yang dijumpai itu dipulangkan semula ke tempat asal kerana mereka bimbang gangguan itu berterusan.

Bagi seorang lagi penduduk lama, Mail Hak, 90, atau lebih dikenali sebagai Wak Mail bomoh ular berkata, ketika dia kecil, butut pokok pauh itu lebih tinggi dan boleh dijadikan tempat berteduh.

“Mungkin kerana aktiviti manusia menimbus kawasan itu, kini bututnya sudah di bawah sedangkan dahulu bututnya tinggi. Butut pada batangnya mencecah lapan pemeluk lelaki dewasa dan dengan ketinggian pokoknya kira-kira 30 meter.

“Dulu orang tak panggil sini Pauh Butut dan hanya dikenali sebagai Keting atau Belukar. Sejak ia semakin maju, Pauh Butut mula dikenali,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 3 Mei 2014

Sabtu, 3 Mei 2014

Anak positif pil kuda pukul bapa di Besut

BESUT: Sorang anak dilaporkan memukul bapanya dengan botol setelah tidak melayan pertanyaan anaknya di mana letaknya gelas minuman di rumah bapanya di Kampung Bukit Jerok di sini semalam.

Akibatnya si bapa yang bekerja sebagai penoreh getah yang berumur 66 tahun itu cedera di kepala, mata, telinga dan betis dan terpaksa dirawat di wad kecemasan Hospital Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria mengesahkan kejadian itu dan berkata si anak yang berumur 21 tahun dan bekerja dengan sebuah syarikat kabel elektrik tidak berpuas hati dengan jawapan bapanya lalu dia mengamuk.

Beliau berkata pemuda tersebut telah ditahan dan ujian air kencing mendapati dia positif pil kuda.

Sumber: Bernama | 2 Mei 2014


PIL KUDA CELAKA | PIL KUDA MENGKHINZIRKAN HIDUP ANDA | ANAK KELANTAN JAUHILAH PIL KUDA | PIL KUDA ADALAH DADAH | PENGEDAR PIL KUDA ADALAH PENGEDAR DADAH | HIDUP TIADA KEBERKATAN DENGAN MENJUAL PIL KUDA | PERGI JAHANAM PARA PENGEDAR PIL KUDA CELAKA | SEMOGA PENGEDAR PIL KUDA CEPAT MAMPUS BAHAM TANAH