PASIR PUTEH: Kerajaan digesa melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai ejen membeli padi terus daripada pesawah bagi mengatasi masalah kesukaran menjual hasil kepada syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pasir Puteh Tengku Hussin Tengku Abdul Rahman berkata pada masa ini hanya Bernas memonopoli pembelian padi daripada pesawah selepas pihak swasta enggan membeli padi tanpa alasan kukuh.
"Saya bimbang petani akan mengalami kerugian besar apabila padi yang masak akan musnah kerana tidak dapat dijual dalam tempoh tertentu," katanya ketika ditemui pemberita semasa meninjau proses penjualan padi di Kilang Padi Bernas Padang Pak Amat, di sini Isnin.
Beliau mengulas keluhan pesawah di beberapa jajahan terutama di Pasir Mas, Bachok dan Pasir Puteh yang bimbang padi mereka yang sedang masak akan musnah kerana tidak dapat dijual.
Tengku Hussin berkata tiga kilang padi milik Bernas di negeri ini iaitu di Pasir Puteh, Kota Baharu dan Tumpat menghadapi masalah apabila terpaksa mengehadkan pembelian disebabkan tempat pengeringan padi yang sentiasa penuh.
Sementara itu, seorang pesawah dari Kampung Jelor di sini, Johar Abdul Hamid, 43, berkata beliau berjaya menjual separuh dari 15 hektar tanaman padi yang diusahakannya.
"Bagaimanapun, saya bimbang separuh lagi akan musnah jika Bernas tidak dapat membelinya dalam tempoh terdekat lebih-lebih lagi jika hujan dalam sehari dua ini," katanya.
Johar menganggarkan akan kerugian kira-kira RM15,000 modal pusingan jika separuh lagi tanamannya tidak dapat dijual dan rosak.
Sementara itu, tinjauan ke kilang yang sama mendapati lebih 100 van bermuatan padi terkandas apabila pihak berkuasa di situ, terpaksa mengehadkan operasi pembelian padi dari 9 pagi hingga 1 tengah hari sahaja.
Seorang pengusaha van, Mokhtar Ismail, 57, dari Bendang Bekelam, Bachok, berkata kebanyakan mereka terpaksa menunggu selama 24 jam untuk menjual padi di kilang itu termasuk bermalam di dalam van masing-masing kerana bimbang masalah kecurian bateri dan tayar kenderaan mereka.
Sumber: Bernama | 18 Mei 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan