KOTA BHARU, 11 Ogos: Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan hampir 
RM1.6 juta bagi melaksanakan projek pembangunan infrastruktur di kawasan
 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas. Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad 
berkata, peruntukan tersebut membabitkan pembangunan infrastruktur serta
 pembinaan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Menurut beliau, setakat ini beberapa perkara telah dilaksanakan di 
kawasan terbabit sebagai tanda terima kasih di atas kepercayaan dan 
sokongan padu rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13. "Untuk Majlis Daerah Ketereh (MDK), sebanyak 11 projek telah 
dilaksanakan yang membabitkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta daripada 
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
"Peruntukan berkenaan digunakan untuk membangunkan kawasan tersebut 
seperti menaik taraf lampu stadium, lampu jalan serta longkang," katanya
 kepada pemberita selepas majlis penyampaian Program Ihsan Ramadan dan 
Aidilfitri di sini baru-baru ini.
Md. Alwi berkata, DUN Kok Lanas juga telah menerima peruntukan 
sebanyak RM200,000 daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri
 Kelantan. "JPP menyalurkan peruntukan tersebut di bawah program baik pulih 
infrastruktur bagi membaiki jalan-jalan kecil dan ia sedang dilaksanakan
 membabitkan 10 batang jalan di kawasan DUN Kok Lanas," katanya.
Kata Md. Alwi, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga kebajikan
 rakyat di kawasannya dan pelbagai usaha telah dilakukan bagi 
menyediakan kemudahan untuk keselesaan bersama. "Selain pembangunan infrastruktur, saya juga telah menerima 
peruntukan untuk membina tujuh buah rumah di bawah projek PPRT berharga 
RM45,000 sebuah.
"Peruntukan itu sudah diagihkan dan saya akan berusaha menyediakan 
lebih banyak lagi rumah PPRT bagi membantu golongan yang memerlukan," 
katanya Tambah beliau, keperluan terhadap rumah mampu milik kini semakin 
mendesak memandangkan harga rumah yang cukup tinggi dan tidak mampu 
dimiliki oleh pasangan muda yang baru berkahwin.
"Mereka tidak mampu membeli rumah yang kini rata-ratanya berharga 
RM100,000 ke atas menyebabkan masalah ini masih tidak dapat 
diselesaikan. Saya jangka di kawasan DUN Kok Lanas sahaja kita 
memerlukan hampir 4,000 buah rumah kos rendah dan ini adalah perkara 
yang telah lama saya perjuangkan," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan