Ketinggian pauh butut ini mencecah 30 meter di tepi jalan berdekatan simpang tiga Pauh Butut. |
BUAH mangga, mempelam atau dalam bahasa mudahnya merujuk kepada buah pauh bagi penduduk Kelantan.
Buah ini terdiri daripada 35 spesies pokok buah tropika dalam keluarga Anacardiaceae dan ada sesetengahnya dinamakan sempena nama tempat seperti Pauh Lima, Pauh Sembilan di Bachok.
Namun, satu lagi pauh yang ada di Bachok ialah Pauh Butut, berdekatan Gunung. Ia dinamakan Pauh Butut berikutan terdapat banyak bonjolan besar pada bahagian batangnya.
Bagi seorang penduduk, Ibrahim Yusof,62, ketika dia lahir pokok pauh itu sudah wujud, malah dikatakan sudah ada ketika arwah datuknya menjadi penghulu di kawasan itu.
“Ia dikenali sebagai Pauh Butut kerana pada batang pokok itu mempunyai banyak bonjol yang besar yang dikenali sebagai butut. Pokok ini jarang dijumpai dan kalau tak silap ada ada sebatang pauh yang sama di Pasir Tumbuh tetapi bututnya tidak sebanyak dan sebesar ini
“Penceritaan orang tua-tua memaklumkan pokok ini sudah ada ketika arwah datuk saya dahulu. Dahulu datuk saya Penghulu Pak Teh Ahmad di kawasan ini dan orang panggil dia Penghulu Pak Teh Ahmad Pauh Butut. Mungkin sebab itu ia mula dikenali sebagai Kampung Pauh Butut.
“Pokok ini juga dikenali sebagai pauh gatal. Buahnya amat besar dan manis suatu ketika dahulu, tetapi kini ia tidak lagi berbuah,” katanya.
Ibrahim yang lebih dikenali sebagai Pok Wi Cermin berkata, dahulu kawasan itu hanya mempunyai lima buah rumah penduduk Melayu dan dua buah rumah penduduk Cina.
Katanya, kampung itu dahulu tidak mempunyai sebarang kemudahan asas dan penduduk hanya berjalan atau menggunakan kereta lembu sebagai kenderaan.
Ketika itu, hanya Penghulu Pok Teh Ahmad sahaja yang mempunyai kereta lembu dan dianggap orang yang berkemampuan ketika itu.
Jalan berbatu hanya dibuat menjelang tahun 1960-an dan hanya diturap sekitar 1970-an.
“Apabila jalan tar hendak dibina, pokok itu tidak dapat ditebang walaupun pelbagai jenis gergaji dan jentera digunakan. Orang yang cuba hendak tebang pokok tu juga demam bila balik ke rumah. Sebab itulah ia masih kekal dan jalan yang dibina dilencongkan sedikit ke tepi pokok.
“Dahulu ada orang letak makanan, jamu di bawah pokok itu sebelum main menora kerana ia dianggap berpenunggu. Dulu pun orang takut nak makan buah yang gugur sebab takutkan penunggu,” katanya.
Pok Wi berkata, kali terakhir perkara pelik berlaku beberapa bulan lalu apabila kerja memecah batu dilakukan berdekatan pokok itu menemukan sebuah mangkuk cina seperti dari zaman dahulu.
Katanya, selepas batu bukit di kawasan itu dipecahkan, sebuah mangkuk ditemui dengan tiga jenis barang di dalamnya termasuk syiling India dan kain kuning.
Barangan itu dibawa pulang oleh dua lelaki yang menemuinya, namun ia menyebabkan penghuni rumah lelaki itu tidak dapat tidur.
“Seorang lagi pula bawa barang yang dijumpainya untuk tikam nombor ekor di Ketereh. Tetapi bomoh nombor ekor itu dikatakan tak izinkan lelaki itu naik ke rumah dan suruh dia pulangkan barang yang dibawa.
“Begitu juga dengan penghuni rumah yang tak dapat tidur tadi. Dia bawa isterinya yang tak dapat tidur ke rumah bomoh tetapi bomoh tak bagi naik atas rumah dan suruh dia pulangkan barang yang diambil ke tempat asalnya,” katanya.
Akhirnya barangan yang dijumpai itu dipulangkan semula ke tempat asal kerana mereka bimbang gangguan itu berterusan.
Bagi seorang lagi penduduk lama, Mail Hak, 90, atau lebih dikenali sebagai Wak Mail bomoh ular berkata, ketika dia kecil, butut pokok pauh itu lebih tinggi dan boleh dijadikan tempat berteduh.
“Mungkin kerana aktiviti manusia menimbus kawasan itu, kini bututnya sudah di bawah sedangkan dahulu bututnya tinggi. Butut pada batangnya mencecah lapan pemeluk lelaki dewasa dan dengan ketinggian pokoknya kira-kira 30 meter.
“Dulu orang tak panggil sini Pauh Butut dan hanya dikenali sebagai Keting atau Belukar. Sejak ia semakin maju, Pauh Butut mula dikenali,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 3 Mei 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan